ULASAN : Samsung Galaxy S23 Ultra – Kombinasi Prestasi dan Kamera yang lebih Ultra
Pengenalan
Selang 12 bulan selepas pelancaran Samsung Galaxy S pertama dengan S-Pen, Samsung telah memperkenalkan Samsung Galaxy S23 Ultra di majlis Samsung Unpacked 2023 yang pertama bagi tahun ini dan yang pertama berlangsung secara fizikal sejak dunia mengharungi pandemik covid-19.
Tahun 2022 telah menyaksikan Samsung menggabungkan Galaxy S Series dengan Galaxy Note Series yang telah melahirkan Samsung Galaxy S22 Ultra dan ianya merupakan telefon pintar pertama Galaxy S Series untuk tampil dengan S-Pen.
Tahun ini Samsung Galaxy S Series telah mengambil insiatif lebih besar didalam penggunaan teknologi mampan dan Samsung Galaxy S23 Ultra kini menggunakan hampir dua kali ganda komponen yang dikitar semula berbanding pada Galaxy S22 Ultra iaitu 12 komponen berbanding 6 komponen.
Samsung Galaxy S23 Ultra mungkin tampil dengan rekaan yang hampir sama dengan Galaxy S22 Ultra namun perkara ini bukan sesuatu yang baru dipasaran (lihat saja Apple iPhone) dan rata-rata pengguna Galaxy S22 Ultra juga tidak akan beralih kepada model baharu ini.
Dalam pada itu, Samsung Galaxy S23 Ultra kini ditawarkan di Malaysia pada harga yang bermula dari RM 5,699 iaitu bagi varian permulaan yang lebih setaraf peranti Ultra iaitu 12GB RAM dan 256GB storan dalaman.
Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy S23 Ultra yang merupakan telefon pintar pertama Samsung dengan sensor 200MP.
Reka Bentuk
Samsung Galaxy S23 Ultra tidak begitu berbeza apabila dibandingkan dengan Galaxy S22 Ultra namun terdapat penambahbaikan kecil yang secara keseluruhanya meningkatkan lagi keselesaan ketika menggunakan telefon pintar ini.
Tahun ini, Samsung juga telah menyeragamkan reka bentuk kesemua model Galaxy S Series dengan modul kamera individu yang dikenali sebagai Floating Camera namun rekaan yang lebih ‘petak’ dikekalkan eksklusif untuk Galaxy S23 Ultra sahaja.
Pada bahagian hadapan, Samsung Galaxy S23 Ultra menampilkan panel skrin OLED berukuran 6.8-inci yang melengkung pada kedua-dua sisi dan ianya juga dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus 2 yang diperbuat daripada 22% bahan kitar semula dan ianya pertama kali digunakan pada telefon pintar.
Menyentuh sedikit mengenai skrin melengkung yang digunakan pada Galaxy S23 Ultra ini, Samsung telah menggunakan panel skrin yang mempunyai permukaan rata yang lebih luas dan lengkungan pada model ini adalah lebih kecil dan ini juga telah memberikan rangka sisi Armour Aluminium yang lebih tinggi.
Samsung Galaxy S23 Ultra memiliki berat 234gram bersama ukuran dimensi 163.34 x 78.1 x 8.9mm yang mana ianya adalah 6 gram lebih berat berbanding Galaxy S22 Ultra namun dengan dimensi yang hampir sama. Apabila dibandingkan dengan Apple iPhone 14 Pro Max, telefon pintar flagship Apple ini mempunyai berat 240 gram namun lebih nipis pada 7.85mm.
Selain itu, sinonim dengan telefon pintar premium Samsung, kemasan panel belakang berasaskan gelas yang digunakan pada Galaxy S23 Ultra ini adalah matte yang memastikan ianya kekal cantik kekal bersih khususnya pada warna Phantom Black seperti unit ulasan kami.
Tahun ini, Samsung Galaxy S23 Ultra tampil didalam 4 warna ‘low-key’ yang memberikan lebih ketenangan iaitu Phantom Black, Lavender, Cream White dan Green namun Samsung juga menawarkan 4 lagi warna eksklusif di Samsung.com yang turut ditawarkan di Malaysia iaitu Graphite, Lime, Sky Blue dan Red.
Rekaan Samsung Galaxy S23 Ultra tahun ini boleh dikatakan lebih stabil dan beberapa penambahbaikan kecil telah menjadikan penggunaan telefon pintar ini lebih selesa walaupun penambahan berat sebanyak 6 gram.
Secara keseluruhan, rekaan Samsung Galaxy S23 Ultra yang masih mengekalkan DNA Galaxy Note mungkin masih boleh diterima pada tahun ini namun pasti ramai yang berharap bahawa Samsung akan tampil dengan rekaan baharu yang lebih inovatif untuk meneruskan legasi telefon pintar Ultra ini.
Skrin Paparan
Sebagai telefon pintar premium terbaik Samsung, Galaxy S23 sudah pasti akan dilengkapi panel skrin terbaik iaitu panel Dynamic AMOLED 2x yang sesuai digunakan sepanjang masa pada apa jua keadaan cahaya.
Skrin paparan Dynamic AMOLED 2x ini mempunyai ukuran yang sama seperti pada generasi lalu iaitu dengan ukuran 6.8-inci pada resolusi maksima WQHD+ (3088 x 1440) dengan kepadatan piksel 501ppi.
Selain itu, Samsung Galaxy 23 Ultra juga memiliki skrin paparan AMOLED LTPO 2 yang bermaksud kadar segar semula telefon pintar ini adalah dinamik antara 1Hz sehingga 120Hz bergantung kepada kandungan pada skrin dan ini memberikan penjimatan bateri yang lebih tinggi.
Seterusnya, Samsung juga telah menambahbaik teknologi Vision Booster yang kini hadir dengan tiga tahap pelarasan akan dilakukan secara automatik mengikut keadaan.
Pada bahagian tetapan skrin, Samsung juga menyertakan ciri Eye Comfort Shield yang melindungi mata daripada cahaya biru dan didalam tetapan ini terdapat juga Enhanced Comfort yang turut melaras tona warna dan kontras skrin untuk penggunaan yang lebih selesa.
Selain itu, Samsung tidak mendedahkan maklumat kecerahan maksima yang ditawarkan oleh skrin paparan Samsung Galaxy S23 ini dan ini mungkin bermaksud ianya mampu menawarkan kecerahan sehingga 1,750 nits seperti panel yang digunakan pada Galaxy S22 Ultra.
Akhir sekali, Samsung Galaxy S23 Ultra juga dilengkapi sensor capjari dalam skrin iaitu sensor 3D Ultrasonic (Gen-2) yang sangat pantas.
Secara keseluruhan, penggunaan skrin paparan yang lebih rata pada Galaxy S23 Ultra bermaksud pengguna mempunyai ruang skrin yang lebih besar untuk digunakan dan bukan hanya sebagai rekaan kosmetik.
Pemproses
Secara tradisi, Samsung akan menggunakan dua jenis cipset pada Galaxy S Series namun tahun ini Samsung telah menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 secara eksklusif di semua pasaran yang bermaksud anda akan menerima prestasi yang sama tidak kira dimana anda membeli telefon pintar anda.
Lebih menarik di sini adalah kerjasama Samsung dengan Qualcomm yang mengeluarkan cip pemprosesan khas Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang tampil dengan kelajuan CPU yang lebih tinggi iaitu 3.36GHz (vs 3.2GHz) dan kelajuan GPU 719MHz (vs 680MHz).
Snapdragon 8 Gen 2 yang digunakan pada Samsung Galaxy S23 Ultra ini diperbuat daripada cip 4nm namun kadar prestasi dan kecekapan tenaga yang berjaya ditingkatkan adalah sangat drastik.
Selain itu, Samsung jug telah meningkatkan kapasiti storan permulaan kepada 256GB yang juga merupakan antara permintaan kami pada generasi sebelum ini dan bagi pasaran Malaysia, anda juga boleh memiliki telefon pintar ini didalam varian 512GB atau 1TB dengan kapasiti RAM adalah sama pada semua model iaitu 12GB. (varian 8GB/256GB tidak ditawarkan di Malaysia buat masa ini).
Dalam pada itu, Samsung masih menawarkan ciri RAM Plus yang menawarkan pengguna pilihan untuk menggunakan storan dalaman sebagai RAM iaitu antara 2GB hingga 8GB dan ini membolehkan anda membuka lebih banyak aplikasi serentak dengan lancar tanpa sebarang kesan kepada kelancaran peranti.
Selain daripada itu, cip Snapdragon 8 Gen 2 yang digunakan Samsung Galaxy 23 Ultra di Malaysia juga disertakan dengan sokongan 5G, Wi-Fi 6e, dual-band GPS, Bluetooth 5.3 dan UWB.
Bercakap mengenai antaramuka, Samsung Galaxy S23 Ultra tampil dengan One UI 5.1 yang berasaskan Android 13 dan kematangan Samsung didalam penawaran UI yang memenuhi keperluan penggunaan jelas untuk dirasai.
Ke S-Pen pula, stylus S Pen yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S23 Ultra ini adalah sama seperti pada Galaxy S22 Ultra dengan latensi yang hanya 2.8 saat.
Selain itu, S Pen juga boleh menyokong Screen-off memo yang membolehkan anda mencatat nota pada skrin dengan mengeluarkan S Pen tanpa perlu mengaktifkan telefon pintar dan skrin ini kekal didalam warna hitam. Terdapat 5 warna tulisan ditawarkan iaitu merah,hijau, putih, biru dan kuning.
Lain-lain ciri yang ditawarkan S Pen adalah Smart Select, Screen Write , Live Message, AR Doodle, Translate dan banyak lagi.
Dalam pada itu, fungsi S Pen juga meliputi beberapa fungsi lain seperi Air View yang boleh digunakan pada aplikasi Gallery yang membolehkan anda menunjukkan S pen pada sesuatu imej untuk previu imej yang lebih besar.
S-Pen mungkin adalah sesuatu yang berguna kepada golongan profesional namun bagi rata-rata pengguna, ianya dijangka akan kekal didalam slot kerana penggunaan telefon pintar dengan sentuhan jari pada skrin paparan sudah menjadi satu kebiasaan.
Menutup bahagian pemproses, penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy pada Galaxy S23 Ultra juga bermaksud ianya memiliki satu kelebihan kompetitif berbanding telefon pintar flagship Android lain dipasaran kerana kebanyakkan telefon pintar ini akan turut menggunakan cipset Snapdragon 8 Gen 2.
Selain daripada itu, Samsung juga telah menyatakan bahawa sistem penyejukan pada Galaxy S23 Ultra adalah lebih baik berbanding pada Galaxy S22 Ultra dan ini sudah pastinya akan membantu cip ini beroperasi pada prestasi maksima untuk tempoh yang lebih lama.
Kamera
Telefon pintar flagship Galaxy S Series sudah terkenal dengan penawaran kamera yang boleh dikatakan antara yang terbaik dipasaran dan tahun ini Samsung melakukan satu lagi lompatan besar dari segi sensor yang digunakan iaitu sensor utama 200MP.
Sensor 200MP yang digunakan oleh Samsung ini adalah eksklusif pada Galaxy S23 sahaja dan ini adalah kelebihan yang boleh dinikmati syarikat ini kerana ianya mempunyai saluran bekalan dalaman bagi kebanyakkan komponen yang digunakan.
Samsung Galaxy S23 Ultra menampilkan penggunaan sensor utama 200MP HP2 yang merupakan sensor 1/1.3″ dengan size piksel 0.6µm dan sensor ini sekurang-kurangnya adalah lebih kecil berbanding sensor 200MP HP3 yang dibekalkan kepada pengeluar lain namun Samsung pasti menyimpan teknologi sensor terbaik untuk kegunaanya sendiri.
Selain itu, sensor 200MP ini menampilkan teknologi Tetra2pixel RGB Bayer Pattern yang menggabungkan 16 piksel kepada 1 piksel dan ini memberikan anda output imej beresolusi 12MP namun anda juga boleh mengambil gambar pada resolusi penuh 200MP atau 50MP.
Seterusnya, sensor utama ini juga tampil dengan teknologi pemfokusan Super QPD yang menawarkan pemfokusan auto lebih menyeluruh dan ianya juga disertakan sekali dengan teknologi OIS yang mampu mengstabilkan optik pada kadar yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Peningkatan menyeluruh sensor utama Samsung ini menjanjikan hasil gambar yang amat baik dengan kecerahan dan kadar dinamik yang sempurna pada apa juga keadaan cahaya yang dilemparkan.
Hasil gambar dari sensor 200MP :
Selain sensor 200MP, Samsung dilihat mengekalkan penggunaan sensor sampingan yang sama seperti pada generasi sebelum ini.
Ini bermaksud Galaxy S23 mewarisi sensor ultra wide 12MP, yang sama seperti pada Galaxy S22 Ultra iaitu dengan aperture f/2.2 dan bidang pandangan 120° dan mempunyai satu-satunya sensor ultrawide yang mempunyai pemfokusan auto didalam keluarga Galaxy S Series ini.
Sensor Ultrawide
Walaupun tampil dengan sensor ultrawide yang sama, prestasi sensor ini pada Samsung Galaxy S23 Ultra menampakkan peningkatan yang membolehkan hasil gambar yang diperoleh lebih berkualiti dan kurang kabur.
Hasil gambar ultrawide pada Galaxy S23 Ultra ini adalah satu sensor yang mampu memberikan prestasi fotografi yang baik dengan gambar yang tajam dan penuh maklumat.
Hasil Gambar dari sensor Ultrawide
Sensor Telefoto
Seterusnya ke sensor telefoto 3x 12MP yang mana ianya turut diwarisi daripada Samsung Galaxy S22 Ultra
Dalam pada itu, sensor telefoto kedua iaitu jenis periskop 12MP juga memberikan hasil 10x yang memuaskan dan ini membolehkan anda mengambil gambar dari jauh jarak tanpa sebarang kesulitan dan lebih penting tanpa terlalu banyak kekaburan dan sensor ini juga mampu memberikan anda sehingga 100x Space Zoom namun kegunaan zoom sehingga 100x ini adalah sangat terbatas dan hasil gambar yang diperoleh juga tidak begitu baik.
Mengulas mengenai Nightography yang sekali lagi dilihat menjadi fokus kepada Samsung untuk mempromosikan kemajuan yang dicapai pada fotografi dan videografi malam.
Kemajuan yang dicapai ini boleh dikatakan hasil teknologi AI dan ISP yang kini lebih berkuasa berbanding cipset pada generasi sebelum ini selain penggunaan sensor 200MP.
Dengan AI pada mod malam, sensor mengambil berbilang gambar cahaya malap seterusnya melakukan proses membuang kekaburan sebelum menggabungkan beberapa hasil gambar yang baik ke dalam satu foto yang sempurna.
Hasil gambar sensor telefoto : 1x > 3x > 10x > 50x atau 100x
Fotografi Makro
Samsung Galaxy S23 Ultra juga menyokong pengambilan gambar makro yang mana aplikasi kamera akan mengesan keperluan fotografi makro apabila sensor berada dekat dengan sesuatu objek namun pastikan Focus enhancer diaktifkan.
Hasil gambar makro dari Samsung Galaxy S22 Ultra ternyata sangat menarik dan anda boleh mengambil gambar makro yang sangat dekat dengan objek yang diambil.
Hasil Gambar Makro
Selain itu, Samsung Galaxy 23 Ultra juga hadir dengan satu lagi ciri kamera yang dikenali sebagai Expert RAW namun tahun ini ianya terbina pada aplikasi kamera tanpa perlu anda beralih ke aplikasi berasingan. ini memberikan anda lebih banyak kebebasan untuk mengambil gambar dengan lebih banyak kawalan dan hasil gambar yang lebih sesuai untuk proses edit.
Expert Raw juga menawarkan anda ciri untuk mengambil gambar Astrophoto yang boleh ditetapkan pada durasi antara 4 minit, 7 minit atau 10 minit dan terdapat juga sky guide untuk rujukan mudah ketika membuat pengambilan gambar.
Selain itu, Samsung juga telah meningkatkan kemampuan videografi Samsung Galaxy S23 Ultra dengan pengstabilan yang lebih luas dan rakaman video 8K kini boleh dilakukan pada kadar 30fps dan bukanya 24fps seperti pada generasi sebelum ini.
Secara keseluruhan pengstabilan video adalah sangat baik pada sensor utama dan sensor ultrawide yang mana terdapat juga mod super steady yang kini menyokong rakaman video pada resolusi maksima QHD 60fps.
Menutup bahagian kamera ini, potensi sensor 200MP adalah sesuatu yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh Samsung dan masih terdapat ruang untuk menambahbaik beberapa kekurangan yang ada.
Bercakap mengenai kamera selfie, Samsung Galaxy S23 Ultra tampil dengan sensor kamera 12MP yang mana ianya menggantikan sensor 40MP yang digunakan pada Galaxy S22 Ultra namun sensor ini ternyata menawarkan hasil gambar selfie yang lebih baik atau setaraf dengan sensor 40MP.
Bateri
Samsung Galaxy S23 Ultra tampil dengan kapasiti bateri yang sama berbanding Galaxy S22 Ultra dan ianya satu-satunya model Galaxy S Series pada tahun ini yang tidak menerima peningkatan kapasiti.
Walaubagaimanapun, dengan penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 2 dan beberapa penambahbaikan lain, jangka hayat bateri pada Samsung Galaxy S23 Ultra adalah lebih baik.
Kami memperoleh waktu penggunaan yang lebih lama berbanding Galaxy S22 Ultra dan ini sudah pastinya memberikan waktu penggunaan tambahan tanpa sebarang peningkatan kapasiti yang sudah pastinya akan memberatkan lagi peranti ini.
Bercakap mengenai pengecasan pantas pada Samsung Galaxy S23 Ultra, syarikat Korea ini dilihat tidak mengejar kemuncak teknologi pengecasan pantas dengan angka pengecasan pantas luar biasa seperti pengeluar dari China namun tahun ini ianya disertakan dengan teknologi pengecasan Super Fast Charging 2.0 yang masih pada kadar 45W.
Umum diketahui bahawa pengecasan 45W pada generasi sebelum ini tidak membawa sebarang peningkatan pengecasan berbanding pengecasan 25W namun tahun ini terdapat sedikit peningkatan yang membolehkan kadar 68% dicapai didalam masa 30 minit manakala pengecasan penuh mengambil masa sekitar 60 minit.
Selain pengecasan berwayar, Samsung Galaxy S23 Ultra juga tampil dengan pengecasan tanpa wayar Fast Wireless Charging 2.0 pada kadar 15W seperti sebelum ini dan tidak lupa ciri Wireless Power Share.
Pembesar Suara
Ciri ini kebiasaanya tidak ulas oleh kami, namun pembesar suara stereo yang digunakan pada Galaxy S23 Ultra ini menawarkan kelantangan bunyi yang lebih baik berbanding pada Galaxy S22 Ultra dan terdapat juga sokongan audio Dolby Atmos.
Penutup
Samsung Galaxy S23 Ultra mungkin tidak menawarkan perubahan kosmetik namun peningkatan dari segi dalaman adalah sangat menyeluruh khususnya cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang memberikan prestasi lebih berkuasa tinggi, sistem penyejukan lebih besar dan tidak lupa sensor 200MP.
Selain itu, penggunaan teknologi mampan pada kebanyakkan komponen Galaxy S23 Ultra juga harus diberikan pujian yang bermaksud namun anda kini turut memainkan peranan untuk memelihara kelestarian alam semulajadi.
Dengan semua penambahbaikan yang disertakan, Samsung Galaxy S23 Ultra adalah antara telefon pintar Android kelas flagship yang akan kami syorkan kepada anda.
Anda kini boleh mendapatkan Samsung Galaxy S23 Ultra di Malaysia pada harga yang bermula dari RM 5,699.