Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN: Nubia Red Magic 7s Pro – Satu lagi telefon pintar khas gaming di Malaysia

Pengenalan

Selepas penantian lama, pengeluar telefon pintar gaming Nubia akhirnya telah memasuki pasaran Malaysia baru-baru ini dengan pelancaran Nubia Red Magic 7s Pro.

Sedikit sejarah mengenai Nubia, ianya adalah syarikat milik ZTE yang lebih memfokuskan kepada penawaran telefon gaming.

Memasuki pasaran Malaysia secara rasmi bermaksud Nubia akan bersaing dengan beberapa jenama telefon pintar gaming seperti ROG Phone daripada ASUS dan BlackShark milik Xiaomi.

Telefon pintar pertama Nubia Red Magic yang akan menjadi pertaruhan syarikat ini adalah Nubia Red Magic 7s Pro yang telah dilancarkan dipasaran China sekitar bulan Julai dan ianya akan ditawarkan di Malaysia pada harga yang bermula dari RM 3,999.

Berikut adalah ulasan Nubia Red Magic yang kini sudah mula ditawarkan secara rasmi di Malaysia

Reka Bentuk

Nubia Red Magic 7s Pro adalah pengganti kepada Red Magic 7 Pro dan telefon pintar ini mempunyai rekaan yang  sama.

Kedua-duanya telefon pintar ini tampil dengan binaan yang kukuh dan kukuh dengan bingkai tengah aluminium gred industri penerbangan bersama kombinasi panel belakang kaca + aluminium dan panel hadapan yang dilapisi gelas keselamatan Gorilla Glass 5.

Nubia Red Magic 7s Pro tampil didalam tiga pilihan warna iaitu Obsidian Black yang hanya ditawarkan pada varian 12/256GB manakala warna Supernova dan Mercury pula ditawarkan untuk versi 18/512GB.

Unit ulasan kami hadir didalam warna Supernova yang tampil dengan panel kaca lutsinar yang sedikit sebanyak memberikan kita gambaran komponen dalaman dan terdapat plat aluminium dibahagian tengah yang juga menempatkan modul kamera telefon pintar ini.

Ini bermaksud anda dapat melihat kipas penyejuk terbina Red Magic 7s Pro berputar dan terdapat juga lampu RGB yang menarik.

Bercakap mengenai sisi telefon pintar Red Magic 7s Pro ini, pada bahagian sisi kanan terdapat butang kuasa, butang kelantangan bunyi dan shoulder trigger manakala pada sisi terdapat butang fizikal untuk mod gaming.

Pada bahagian bawah pula, Red Magic 7s Pro memiliki gril pembesar suara, slot USB-C dan bicu audio 3.5mm yang masih mendapat tempat pada arena telefon pintar gaming.

Secara keseluruhan, Nubia Red Magic 7s Pro adalah sebuah peranti gergasi dengan ukuran dimensi 166.3×77.1×10.0mm dan berat 235gram yang sudah pastinya akan terasa beban ditangan.

Skrin Paparan

Nubia Red Magic 7s Pro tampil dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.8-inci yang menyokong output 10-bit warna dan kadar segar semula 120Hz.

Khas untuk gamers diluar sana, Nubia Red Magic 7s Pro juga menyokong kadar pensampelan sentuhan 720Hz.

Apa yang agak mengecewakan sedikit adalah kadar kecerahan telefon pintar ini yang tidak mampu mencapai kecerahan yang mencukupi untuk dipakai pada keadaan dibawah cahaya matahari.

Selain itu, skrin paparan Nubia Red Magi 7s Pro juga mempunyai kamera terbina didalam skrin dan ianya amat sukar untuk dilihat lebih-lebih lagi jika anda menggunakan tema berwarna hitam.

Dalam pada itu, Nubia Red Magic 7s Pro juga mempunyai sokongan kawalan kadar segar semula yang boleh dikatakan tidak konsisten apabila dibandingkan dengan implementasi yang dilakukan oleh syarikat lain.

Pemproses

Nubia Red Magic 7s Pro dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 yang merupakan cip paling terkini sebelum pelancaran Snapdragon 8+ Gen 2 baru-baru ini.

Beralih kepada antaramuka, Red Magic 7s Pro tampil dengan Redmagic 5.5 yang berasaskan Android 12 dan ianya tampil dengan beberapa ciri tambahan untuk melengkapkan pengalaman gaming anda.

nubia mendakwa RedMagic 5.5 menawarkan peningkatan prestasi RAM sebanyak 10% manakala  peningkatan dari kelajuan baca/tulis adalah sekitar 50%, dan ini membolehkan proses muatnaik aplikasi yang lebih pantas.

Walaubagaimanapun,  satu ciri yang paling mencuri tumpuan adalah Redmagic Studio yang membolehkan anda menstrim sebarang permainan dari skrin telefon ke skrin luaran atau memainkannya di komputer.

Selain itu, Red Magic 7s Pro juga mempunyai Game Space yang memaparkan frekuensi CPU dan GPU, kadar segar semula langsung dan integrasi lebih baik dengan aplikasi permesejan seperti WhatsApp, Facebook dan banyak lagi.

Nubia Red Magic 7s Pro ditawarkan didalam dua konfigurasi RAM dan storan dalaman iaitu 12GB/256GB atau 18GB/512GB seperti unit ulasan kami.

Secara keseluruhanya, cip Snapdragon 8+ Gen 1 daripada TSMC menawarkan peningkatan prestasi yang baik berbanding Snapdragon 8 Gen 1 dan cipset ini juga lebih tidak mudah panas serta menawarkan jangka hayat bateri yang lebih baik.

Walaubagaimanapun, jika anda mempunyai keupayaan untuk menjadikan telefon pintar ini panas, anda tidak perlu risau kerana ianya turut dilengkapi sistem penyejukan ICE 10.0 yang juga dilengkapi kipas penyejuk terbina.

Kamera

Bahagian kamera bukan lah fokus utama telefon pintar gaming ini, namun Nubia masih menawarkan sistem kamera yang berkeupayaan pada Red Magic 7s Pro.

Ianya dilengkapi satu sensor utama 64MP, satu sensor ultrawide 8MP dan sensor 2MP. kamera selfie adalah 16MP.

Hasil gambar yang diperoleh dari telefon pintar gaming adalah memuaskan namun hanya sensor utama yang dilihat mampu menawarkan gambar yang berkualiti.

Berikut adalah hasil gambar Nubia Red Magic 7s Pro :

Bateri

Nubia Red Magic 7s Pro memiliki bateri berkapasiti 5,000mAh yang didakwa lebih efisien kerana prestasi cip Snapdragon 8+ Gen 1 keluaran TSMC.

Dalam pada itu, varian global telefon pintar ini hanya disertakan dengan sokongan kadar pengecasan 65W yang mampu memberikan anda pengecasan penuh sekitar 40 minit namun ianya masih tidak setaraf pengecasan pantas bagi telefon pintar ini untuk pasaran China.

Penutup

Nubia Red Magic 7s Pro terbukti sebagai sebuah lagi pilihan alternatif kepada pengguna yang sedang mencari sebuah telefon pintar gaming.

Jika sebelum ini, pembelian telefon pintar Nubia mempunyai masalah liputan waranti kerana tidak dijual secara rasmi, ianya kini tidak lagi menjadi satu masalah kerana jenama Nubia telah bertapak secara rasmi di Malaysia.

Nubia Red Magic 7s Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 3,999.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.