Asus ROG Phone 6D dan ROG Phone 6D Ultimate kini rasmi di Malaysia – harga dari RM 3,499
Asus secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar gaming Asus ROG Phone 6D dan Asus ROG Phone 6D Ultimate di Malaysia dan ianya menjadi telefon pintar ROG pertama untuk tampil dengan cipset daripada MediaTek iaitu Dimensity 9000+.
Asus ROG Phone 6D dan Asus ROG Phone 6D Ultimate hadir dengan skrin paparan Samsung AMOLED HDR10+ berukuran 6.78-inci dengan kadar segar semula 165 Hz yang sama seperti Asus ROG Phone 6 Series dan pada bahagian belakang terdapat paparan ROG Vision color PMOLED pada ROG Phone 6D Ultimate manakala ROG Phone 6D pula tampil dengan logo ROG dengan lampu RGB.
Selain cip MediaTek Dimensity 9000+, Asus ROG Phone 6D juga tampil dengan RAM LPDDR5X sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 256GB manakala Asus ROG Phone 6D Ultimate pula tampil dengan RAM sehingga 16GB (LPDDR5X) dan storan dalaman sehingga 512GB.
Asus ROG Phone 6D dan Asus ROG Phone 6D Ultimate berkongsi spesifikasi kamera yang sama iaitu sensor utama 50MP Sony IMX766, sensor ultrawide 13 MP dan sensor makro. Kamera selfie adalah 12MP.
ASUS ROG Phone 6D Series juga dilengkapi bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan HyperCharge 65W.
Dalam pada itu, Asus ROG Phone 6D Ultimate turut memiliki AeroActive Portal dan ianya memberikan akses terus kepada komponen penyejukan peranti yang ditutup dengan engsel bermotor dan akan terbuka secara automatik apabila kipas penyejuk AeroActive Cooler 6 dipasang.
Asus ROG Phone 6D akan ditawarkan didalam varian 12/256GB pada harga RM 3,499 manakala Asus ROG Phone 6D Ultimate didalam varian 16/512GB akan ditawarkan pada harga RM 4,999 bermula 9 November 2022.
Dalam pada itu, Asus juga telah mengumumkan kempen ROG Phone 6D Level Up Your Gameplay yang membolehkan pengguna menikmati rebat serta merta bernilai RM 300 dengan membawa peranti lama mereka ke mana-mana pengedar rasmi ROG dan ikuti lima langkah mudah.