Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy Buds2 Pro – TWS premium dengan rekaan lebih ergonomik

Pengenalan

Bersama pelancaran Samsung Galaxy Z Series, Samsung juga telah memperkenalkan generasi baharu TWS flagship mereka iaitu Samsung Galaxy Buds2 Pro.

Samsung Galaxy Buds2 Pro adalah model susulan kepada Samsung Galaxy Buds2 yang dilancarkan bersama Galaxy Z 2021 Series.

Bersama Samsung Galaxy Z Fold4 dan Galaxy Z Flip4, Samsung Galaxy Buds2 Pro juga telah rasmi untuk pasaran Malaysia pada harga RM 899.

Pada harga premium seperti ini, Samsung Galaxy Buds2 Pro mesti mempunyai tarikan yang besar untuk memastikan ianya mampu bersaing dengan TWS premium lain dipasaran.

Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy Buds2 Pro.

Reka Bentuk

Samsung Galaxy Buds2 Pro menampilkan reka bentuk bekas pengecasan yang hampir sama seperti Samsung Galaxy Buds2 namun Samsung telah menggunakan kemasan matte pada keseluruhan bekas pengecasan ini dan ianya turut memiliki pensijilan kalis air IPX7.

Selain itu, tidak seperti pada Galaxy Buds2, bekas pengecasan Galaxy Buds2 Pro tampil didalam warna yang sama seperti earbuds yang mana terdapat tiga pilihan warna iaitu Bora Purple, Graphite dan White.

Walaubagaimanapun, earbuds Samsung Galaxy Buds2 Pro tampil dengan rekaan yang lebih ergonomik untuk memberikan anda pemakaian yang selesa pada telinga.

Ianya masih tampil didalam saiz yang sama iaitu 15% lebih kecil berbanding Galaxy Buds Pro dengan berat 5.5 gram dan terdapat earplug silikon didalam beberapa saiz berlainan disertakan dalam kotak.

Samsung Galaxy Buds2 Pro juga mempunyai panel sesentuh pada kedua-dua earbuds yang membolehkan anda mengaktifkan beberapa tetapan seperti satu tap untuk play/pause, dua tap untuk ke lagu seterunya dan tiga tap untuk ke lagu sebelum ini.

Pada bahagian hadapan dan dalam , Samsung Galaxy Buds2 Pro juga mempunyai lampu notifikasi LED untuk proses pairing dan pengecasan.

Aplikasi Galaxy Wearable

Samsung Galaxy Buds2 Pro disyorkan untuk digunakan bersama aplikasi Galaxy Wearable yang tersedia pada Google Play Store.

Selain itu, eksklusif pada telefon pintar Samsung adalah pengesanan pop-up automatik Samsung Galaxy Buds2 Pro apabila bekas pengecasan dibuka tanpa perlu melakukan pairing secara manual.

Tambahan lagi, Samsung Galaxy Buds2 Pro juga memiliki fungsi Auto Switch dimana earbuds ini mengesan aktiviti peranti dan beralih kepada sambungan peranti Galaxy yang sedang digunakan seperti tablet, jam pintar Galaxy Watch atau telefon pintar.

Lebih menarik, jika Galaxy Buds2 Pro anda disambungkan kepada TV, beralih kepada telefon pintar untuk menjawab panggilan juga berlaku secara automatik dan anda boleh terus menjawab panggilan pada earbuds.

Anda juga boleh meletakkan widget khas Galaxy Buds2 Pro pada home screen untuk akses kepada ciri ANC dan pengaktifan kawalan sesentuh serta maklumat peratusan bateri.

Kualiti Bunyi, Audio 24-bit dan 360⁰ Audio

Samsung Galaxy Buds2 Pro menawarkan kualiti muzik yang kukuh khususnya dengan 24-bit audio yang hanya ditawarkan pada telefon pintar Galaxy yang menawarkan anda kualiti muzik Hi-Fi yang memuaskan.

Selain itu, Samsung Galaxy Buds2 Pro juga memiliki ciri 360⁰ Audio dengan head tracking untuk pengalaman muzik yang lebih imersif dan ianya juga ditambah dengan ciri Voice Detect yang memperlahankan muzik anda untuk membolehkan anda berbual tanpa perlu menanggalkan earbuds dan muzik akan kembali kepada kelantangan asal selepas earbus tidak lagi mengesan suara.

Secara keseluruhan, kualiti muzik yang boleh dinikmati melalui Samsung Galaxy Buds2 Pro adalah antara yang terbaik dipasaran dengan elemen muzik yang sangat seimbang.

Ciri ANC

Sebagai sebuah TWS flagship Samsung, adalah logik untuk earbuds ini tampil dengan ciri pembatalan bunyi hingar aktif (ANC) yang baik.

Samsung mendakwa ciri ANC pada Samsung Galaxy Buds2 Pro adalah 40% lebih baik berbanding ciri ANC pada Galaxy Buds Pro dan ianya terbukti menawarkan anda pengasingan bunyi bising yang efektif.

Untuk pengalaman ANC yang lebih mudah, Samsung Galaxy Buds2 Pro juga dilengkapi ciri Advance Intelligent ANC yang akan mengaktifkan ANC mengikut keperluan dan akan menyahaktifkan ciri ini apabila suara perbualan dikesan.

Bagi kami, ciri ANC pada Samsung Galaxy Buds2 Pro menawarkan kesan pembatalan bunyi hingar aktif yang cukup baik namun ianya boleh dikatakan sebagai belum cukup sempurna.

Kami juga berpendapat bahawa ciri ANC Samsung Galaxy Buds2 Pro perlu hadir didalam beberapa tahap mengikut bunyi bising persekitaran pengguna.

Jangka Hayat Bateri

Samsung Galaxy Buds2 Pro menawarkan anda sehingga 18 jam pendengaran apbila digunakan bersama bekas pengecasan (bateri 500mAh) dan dengan mod ANC diaktifkan atau sehingga 29 jam jika mod ANC tidak diaktifkan.

Jika berkata mengenai earbuds (bateri 61mAh) sahaja, anda boleh menikmati 5 jam pendengaran muzik dengan ciri ANC atau 8 jam pendengaran tanpa ciri ANC.

Penutup

Samsung Galaxy Buds2 Pro terbukti sebagai satu penambahan yang baik bagi barisan TWS flagship Samsung dan jika anda pengguna tegar ekosistem produk Samsung, Galaxy Buds2 Pro akan menjadi pelengkap keperluan audio mudah alih anda yang terbaik.

Samsung Galaxy Buds2 Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 899 dan setiap pembelian akan turut menerima Galaxy Buds Cover secara percuma.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.