ULASAN: OPPO Pad Air – Tablet pertama OPPO dengan skrin 2K+ dan reka bentuk premium
Pengenalan
Selepas sekian lama, OPPO akhirnya telah memperkenalkan tablet pertama mereka pada tahun ini dan tablet ini baru sahaja dilancarkan di Malaysia.
OPPO Pad Air adalah nama tablet pertama daripada syarikat ini dan ianya adalah satu pertaruhan berani syarikat ini untuk menawarkan sebuah tablet yang boleh diklasifikasikan sebagai yang terbaik didalam kelas harganya.
Berikut adalah ulasan OPPO Pad Air yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 1,099.
Reka Bentuk
OPPO Pad Air adalah sebuah tablet yang mempunyai penampilan yang premium dengan reka bentuk kemasan panel 3D yang pertama kali digunakan dan ianya dilengkapkan dengan profil peranti yang nipis dan ringan iaitu hanya 440gram.
OPPO Pad Air tampil dengan tekstur 3D pada sebahagian panel belakang yang dikenali sebagai Sunset Dune 3D Texture.
Selain itu, tablet ini juga menampilkan proses Reno Glow yang melibatkan 5 lapisan untuk satu kemasan yang matte tanpa menampakkan kesan capjari.
Dalam pada itu, OPPO Pad Air tampil dengan reka bentuk rangka yang sangat nipis iaitu pada ukuran 6.94mm dan ini membolehkan ianya mudah dipegang dan dibawa kemana sahaja anda mahu.
Selain itu, OPPO Pad Air juga tampil dengan 4 pembesar suara Dolby Atmos untuk pengalaman audio yang terbaik dimana dua pembesar suara diletakkan pada rangka atas dan dua di rangka bawah.
Secara keseluruhan, OPPO Pad Air mempunyai rekaan yang premium dan kemampuan OPPO untuk menawarkan sebuah tablet yang mempunyai penampilan premium walaupun pada tahap harga berpatutan adalah sesuatu yang patut diberikan pujian.
Skrin Paparan
Sebagai sebuah peranti yang memfokuskan kepada hiburan dan kerja, skrin paparan adalah satu aspek utama bagi sebuah tablet dan skrin yang dimiliki OPPO Pad Air tidak mengecewakan kami.
OPPO Pad Air disertakan dengan skrin paparan LCD berukuran 10.36-inci dengan resolusi 2K+ atau 2000 x 1200 piksel yang merupakan panel skrin terbaik yang anda boleh peroleh pada tahap harga ini.
Skrin paparan OPPO Pad Air ini juga mempunyai saiz bezel sisi yang sama pada semua sisi iaitu pada ukuran 8mm dan ini membolehkan tablet ini memiliki kadar nisbah skrin kepada rangka sekitar 83.5%.
Selain itu, satu lagi kelebihan yang dimiliki skrin paparan OPPO Pad Air adalah ianya mampu memaparkan hampir 1 bilion warna yang realistik dan tepat.
Seterusnya, OPPO Pad Air telah menerima pensijilan TÜV Rheinland sebagai peranti dengan skrin yang menawarkan perlindungan daripada cahaya biru .
Paparan OPPO Pad Air ini menawarkan perlindungan mata yang mengurangkan ketegangan mata yang disebabkan oleh penggunaan skrin yang berpanjangan, dengan itu menawarkan pengalaman visual yang lebih selesa baik ketika menikmati hiburan atau fokus kepada tugas kerja.
Secara keseluruhan, panel skrin OPPO Pad Air dengan resolusi 2K+ ini terbukti mampu memberikan anda pengalaman visual yang imersif namun pada pendapat kami warna pada panel LCD ini adalah sedikit pudar dan pengguna dapat melihat perbezaan ini apabila beralih dari telefon pintar mereka yang mungkin menggunakan panel skrin OLED.
Pemproses
OPPO Pad Air dilengkapi dengan cip Snapdragon 680 yang dilihat mampu menawarkan prestasi yang stabil dan konsisten serta turut dibantu dengan AI System Booster 2.1 untuk memudahkan lagi multitasking.
Bersama cipset Snapdragon 680 ini, OPPO Pad Air juga disertakan dengan 4GB RAM dan terdapat juga ciri Extended RAM membolehkan tambahan sehingga 3GB RAM untuk multitasking dan pembukaan lebih banyak aplikasi tanpa sebarang masalah. Storan dalaman adalah antara 64GB atau 128GB.
Seterusnya, OPPO Pad Air juga hadir dengan antaramuka ColorOS for Pad yang secara asasnya adalah versi ColorOS 12.1 yang digunakan pada telefon pintar terbaru OPPO namun telah diubahsuai untuk ekosistem tablet.
Antara ciri menarik pada ColorOS for Pad ini adalah Two-finger split screen, dual windows, smart side bar, super recoding dan e-ink untuk pembacaan ebook.
Selain itu, OPPO Pad Air juga membawakan ciri Multi-Screen Connect yang membolehkan perkongsian fail antara telefon pintar dan tablet menjadi lebih mudah dimana anda hanya perlu drag & drop.
Multi-Screen Connect juga bermaksud anda boleh berinteraksi dengan telefon pintar anda secara terus pada skrin di tablet.
Prestasi harian OPPO Pad Air dijangka kekal stabil namun harus pengguna sedari bahawa kemampuan cipset Snapdragon 680 bukanlah setaraf cip kelas flaghsip dipasaran.
Bateri
OPPO Pad Air adalah sebuah tablet yang nipis namun ianya tidak bermaksud bateri yang ditawarkan pada tablet ini adalah kecil.
OPPO Pad Air telah disertakan dengan bateri berkapasiti 7,100mAh yang memastikan anda boleh melakukan aktiviti kegemaran anda untuk tempoh yang lebih lama tanpa perlu mengecas.
Selain itu, OPPO Pad Air juga disertakan dengan sokongan pengecasan pantas 18W.
Penutup
OPPO Air Pad adalah sebuah tablet yang tampil dengan penampilan premium yang sinonim dengan produk keluaran syarikat ini dan ianya ditambah dengan ciri premium seperti skrin paparan 2K+ dan 4 pembesar suara Dolby Atmos.
Jika anda sedang mencari sebuah tablet untuk dijadikan hub hiburan anda atau peranti pembelajaran mudah alih, OPPO Pad Air adalah sebuah tablet yang patut anda pertimbangkan kerana ianya tampil dengan tahap harga yang berbaloi sesuai dengan pakej yang ditawarkan.
OPPO Pad Air kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,099 bagi varian 4/64GB dan RM 1,299 bagi varian 4/128GB