Perkhidmatan MRT, LRT, Monorel akan beroperasi secara percuma untuk tempoh satu bulan
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL akan beroperasi secara percuma untuk tempoh sebulan bermula dari 16 Jun 2022.
Ianya adalah sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu, hari ini.
Tambang percuma itu merangkumi perkhidmatan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel serta bas RapidKL.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) yang meliputi 12 stesen akan dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.
Antara stesen baharu yang dibuka ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, serta Sri Delima dan Kampung Batu.
Pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan dijangka sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat terutama dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup.