realme Pad X kini rasmi dengan cip Snapdragon 695 dan skrin paparan 2K
realme secara rasminya telah melancarkan tablet ketiga syarikat ini iaitu realme Pad X selepas pelancaran realme Pad dan realme Pad Mini baru-baru ini.
realme Pad X hadir dengan skrin paparan LCD berukuran 11.1-inci dengan resolusi 2000x1200px (2K) yang mempunyai nisbah 5:3 dan kadar kecerahan maksima 450nits. realme Pad X ini juga hadir dengan sokongan stylus yang dijual berasingan.
Selain itu, realme Pad X dijana dengan cip Snapdragon 695, dua kapasiti RAM iaitu 4GB atau 6GB dan storan dalaman 64GB atau 128GB. Storan juga boleh ditambah dengan menggunakan slot microSD.
Beralih kepada kamera, tablet ini memiliki satu sensor 13MP dan satu sensor hadapan 8MP yang merupakan sensor wide-angle 105⁰.
Selain itu, realme Pad X juga memiliki bateri berkapasiti 8,340mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W namun masih mengekalkan profil yang nipis iaitu hanya 7.1mm dengan berat 499 gram.
realme Pad X juga hadir dengan sistem quad speaker Dolby Atmos, antaramuka realme UI 3.0 for Pad.
realme Pad X akan ditawarkan didalam tiga warna iaitu fluorescent green, sea blue, dan star gray pada harga CNY 1,299 (RM 845) bagi varian 4/64GB dan CNY 1,599 (RM 1,040) bagi varian 6/128GB.
Buat masa sekarang masih belum ada maklumat mengenai pelancaran pasaran antarabangsa.