Samsung Galaxy S22 Ultra kini rasmi dengan cip 4nm Snapdragon 8 Gen 1, S-Pen dan sistem kamera terbaik pada Galaxy S Series – dari RM 5,099
Detik pelancaran Samsung Galaxy S22 Series yang baharu telah pun tiba dan Samsung telah melancarkan tiga peranti mercu didalam Galaxy S22 Series yang terdiri daripada Samsung Galaxy S22, Samsung Galaxy S22+ dan Samsung Galaxy S22 Ultra.
Samsung Galaxy S22 Ultra juga hadir dengan beberapa komponen yang diperbuat daripada bahan buangan lautan seperti jala ikan dan PCM dibawah inisiatif Galaxy for the Planet.
Samsung Galaxy S22 Ultra merupakan model flagship didalam keluarga flagship ini dan ianya merupakan model pertama Galaxy S Series untuk hadir dengan S Pen terbina. S-Pen terbaru Samsung ini juga hadir dengan kadar latensi yang sangat rendah iaitu hanya 2.8ms hasil penggunaan teknologi AI Based Coordinate Predecition dan komponen Wacom IC yang baharu.
Selain itu, Samsung Galaxy S22 Ultra juga mengambil inspirasi reka bentuk dari Galaxy Note Series dan ianya menggunakan chasis Armor Aluminum dan lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus+ yang buat masa ini eksklusif pada Galaxy S22 Series sahaja.
Beralih kepada skrin paparan, Samsung merupakan pengeluar panel skrin terbaik didalam industri telefon pintar dan Galaxy S22 Ultra hadir dengan panel yang terbaik dipasaran dengan kecerahan sehingga 1,750nits dan dengan Vision Booster.
Panel Dynamic AMOLED 2x Samsung Galaxy S22 Ultra ini hadir dengan skrin paparan berukuran 6.8-inci Edge QHD+ yang mempunyai kadar segar semula Super Smooth 120Hz. Panel skrin LTPO 2.0 ini menyokong kadar segar semula dinamik serendah 1Hz sehingga 120Hz. Skrin ini juga menempatkan sensor capjari ultrasonik.
Ke bahagian cipset pula, Samsung Galaxy S22 Ultra tampil dengan cip pemprosesan 4nm yang bermaksud terdapat dua jenis cipset iaitu Exynos 2200 atau Snapdragon 8 Gen 1 bergantung kepada pasaran. Samsung Galaxy S22 Ultra ini juga disertakan dengan 8GB atau 12GB RAM manakala storan dalaman kini mencecah sehingga 1TB.
Bercakap mengenai kamera, Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan tetapan kamera yang hampir sama seperti generasi sebelum ini namun dengan cipset baharu dan NPU yang lebih berkuasa sekaligus menjadikanya sistem kamera terbaik didalam sejarah Galaxy S Series.
Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan sensor utama 108MP f/1.8 dengan teknologi nona-binning, sensor ultra-wide 12MP dan satu sensor telefoto 10MP yang menawarkan 3x zoom optik dan satu sensor telefoto 10MP yang menawarkan 10x zoom optik dan kebolehan zoom sehingga 100x. Kamera selfie Galaxy S22 Ultra adalah 40MP.
Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan teknologi videografi dan fotografi terbaik pada Galaxy S22 Series dan ianya menyokong pelbagai fungsi kamera seperti pemfokusan auto berasaskan AI, Super Steady System dan Super HDR. Rakaman video pada waktu malam juga lebih cerah dan tanpa terlalu banyak kekaburan dengan NPU baharu yang lebih berkuasa tinggi.
Beralih kepada bateri, Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 45W, pengecasan tanpa wayar 15W dan Wireless PowerShare.
Samsung Galaxy S22 Ultra akan turut hadir pensijilan kalis air dan habuk IP68 dan antaramuka terbaru Samsung iaitu One UI 4 yang berasaskan Android 12 dengan ciri keselamatan Samsung Knox Vault yang dipertingkatkan.
Samsung telah juga memberikan jaminan 4 tahun kemaskini sistem operasi Android dan 5 tahun kemaskini keselamatan bagi Samsung Galaxy S22 Series.
Akhir sekali, Samsung Galaxy S22 Ultra akan ditawarkan didalam 4 pilihan warna iaitu Phantom White, Phantom Black, Green dan Burgundy.
Samsung Galaxy S22 Ultra telah disahkan akan ditawarkan di Malaysia mulai 10 Februari melalui Samsung.com/my, wakil pengedar sah, syarikat telko dan secara atas talian.
Berikut adalah harga Samsung Galaxy S22 Ultra di Malaysia :
Samsung Galaxy S22 Ultra 8/128GB – RM 5,099
Samsung Galaxy S22 Ultra 12/256GB – RM 5,499
Samsung Galaxy S22 Ultra 12/512GB – RM 5,899