Apple Watch Series 7 kini rasmi dengan paparan yang lebih besar dan pengecasan yang lebih pantas
Apple secara rasminya telah melancarkan generasi terbaru jam pintar Apple Watch iaitu Apple Watch Series 7 yang hadir dengan paparan yang lebih besar namun masih mengekalkan rangka yang sama.
Apple Watch Series 7 hadir dengan bezel sekeliling skrin yang lebih nipis iaitu 1.7mm atau sekitar 40% lebih nipis berbanding skrin pada Series 6 dan ini juga membolehkan paparan yang digunakan adalah 20% lebih besar.
Skrin paparan yang digunakan adalah jenis OLED Always-On Retina yang juga adalah 70% lebih terang ketika tidak digunakan.
Selain itu, fokus Apple pada Watch Series 7 adalah untuk menawarkan ketahanan yang lebih tinggi dan untuk itu, jam pintar ini dilapisi gelas yang lebih tahan retak dan terdapat juga pensijilan kalis habuk IP6X dan kalis air WR50.
WatchOS terbaru juga akan tampil dengan UI yang disesuaikan untuk paparan lebih besar yang mana jumlah teks yang dipaparkan adalah 50% lebih banyak serta penawaran papan kekunci QWERTY.
Apple mendakwa Watch Series 7 akan menawarkan jangka hayat bateri yang hampir sama iaitu sekitar 18 jam namun pengecasan kini adalah 33% lebih pantas dengan menggunakan USB-C.
Apple Watch Series 7 diperbuat daripada 100% aluminum yang dikitar semula dan ianya ditawarkan didalam lima pilihan warna iaitu Green, Blue, Product Red, Starlight dan Midnight.
Apple Watch Series 7 akan memasuki pasaran lewat tahun ini dan buat masa ini harga jualan bagi pasaran Malaysia tidak lagi diumumkan.
Di Amerika Syarikat, Apple Watch Series 7 akan hadir dengan harga dari $399 (RM 1,655) dan Apple juga akan terus menawarkan Apple Watch SE dan Apple Watch Series 3.
Apple Watch Series 7 juga hadir didalam edisi Hermes dan Nike Edition.