Apple Watch Series 7 dijangka akan mula ditawarkan untuk jualan pada penghujung bulan ini
Baru-baru ini, Mark Gurman dari Bloomberg telah berkongsi berita kurang enak bahawa Apple Watch Series 7 akan menghadapi kelewatan akibat daripada masalah pengeluaran.
Walaubagaimanapun, penganalisa Ming-Chi Kuo melaporkan bahawa isu ini telah diselesaikan dan kelewatan yang dihadapi juga tidak terlalu lama.
Menurut Kuo , Apple akan memulakan proses pengkilangan pada pertengahan bulan ini dan unit akan dihantar untuk penjualan didalam waktu terdekat. Kelewatan selama 2 minggu ini mungkin bermaksud bahawa Apple Watch Series 7 akan memasuki pasaran pada lewat bulan September.
Punca kelewatan pengeluaran ini dikatakan adalah kerana penggunaan panel OLED G6 yang meruapakan jenis panel skrin yang baharu dan tidak pernah digunakan oleh syarikat ini namun ianya hadir dengan reka bentuk kabel yang baru dan dikatakan lebih tahan lasak.
Selain itu, panel OLED G6 ini juga dikatakan lebih mudah untuk dibuat dan kos juga lebih murah.
Dalam pada itu, Kuo turut berkongsi maklumat bahawa Luxshare akan mengeluarkan 70% unit Apple Watch Series 7 manakala baki 30% akan dikeluarkan oleh Foxconn dan beliau juga meramalkan sebanyak 14 hingga 16 juta unit jam pintar ini akan terjual menjelang penghujung tahun ini.
Pelancaran Apple iPhone 13 bersama-sama Apple Watch Series 7 akan berlangsung pada 14 September atau awal pagi 15 September waktu Malaysia.