Apple tingkatkan pengeluaran iPhone 13 Series tahun ini kepada 90 juta unit
Menurut laporan terbaru daripada Bloomberg, Apple telah mengarahkan pembekal untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan tinggi untuk Apple iPhone 13 Series yang akan dilancarkan pada September 2021.
Apple dikatakan mensasarkan untuk mengeluarkan 90 juta unit iPhone 13 Series iaitu 20% lebih banyak berbanding jumlah pengeluaran iPhone 12 Series (75 juta unit).
Selain daripada itu, Apple meramalkan peningkatan didalam jumlah jualan iPhone 13 Series kerana lebih banyak negara telah mula memberikan vaksinasi Covid-19 dan model tahun ini juga merupakan generasi kedua iPhone untuk memiliki sokongan 5G yang semakin meluas liputanya (bukan di Malaysia).
Dalam pada itu, laporan Bloomberg juga menyebut iPhone 13 Series akan terdiri daripada 4 model iaitu Apple iPhone 13 Mini (5.4-inci), iPhone 13 (6.1-inci), iPhone 13 Pro (6.1-inci) dan iPhone 13 Pro Max (6.7-inci).
Selain itu, Apple iPhone 13 Series juga dijangka akan menampilkan skrin paparan LTPO yang menawarkan kadar segar semula yang lebih tinggi dan sokongan variable refreshe rate.
Selain itu, Apple iPhone 13 Series juga akan menampilkan sensor kamera yang lebih besar dan takukan FaceID yang lebih kecil.
Akhir sekali, Apple iPhone 13 Series dijangka akan memasuki pasaran sekitar bulan September 2021 dan jika berdasarkan pelancaran tahun lalu, kita mungkin menyaksikan pelancaran telefon pintar ini di Malaysia sekitar awal bulan Oktober 2021.