Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HUAWEI Band 6 – Peranti Kecergasan Yang Komprehensif Pada Harga RM 219 Sahaja

Pengenalan

Huawei Band 6 adalah sebuah jam kecergasan baharu yang dilancarkan di Malaysia pada awal bulan April yang mana pasaran Malaysia juga merupakan pasaran pertama didunia untuk menerima generasi terkini HUAWEI Band.

Selain itu, HUAWEI Band 6 juga mempunyai reka bentuk yang lebih konvesional seperti sebuah jam biasa dengan skrin paparan yang paling besar pernah digunakan pada HUAWEI Band.

Seterusnya, selepas jualan secara online bermula pada 4 April lalu, HUAWEI Malaysia telah mengesahkan bahawa HUAWEI Band 6 akan ditawarkan secara offline di semua stor HUAWEI Experience mulai 16 April ini iaitu pada harga RM 219 sahaja.

HUAWEI Malaysia telah memberikan kami satu unit review HUAWEI Band 6 dan kami sedikit sebanyak telah menguji pelbagai ciri-ciri menarik yang dimiliki oleh jam kecergasan ini.

Reka Bentuk

HUAWEI Band 6 adalah seutas jam kecergasan yang sangat ringan dan selesa untuk dipakai sepanjang hari tanpa anda sedar ianya ada pada pergelangan tangan anda.

Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai reka bentuk, HUAWEI Band 6 tampil didalam tiga warna tali iaitu Graphite Black, Amber Sunrise (Oren) dan Forest Green.

Tali jam HUAWEI Band 6 ini adalah sangat lembut dan mesra pada kulit. ianya juga telah melalui rawatan UV dan sangat anti-kotoran.

Tali jam ini juga boleh ditukar dengan mudah mengikut citarasa

Beralih kepada rangka HUAWEI Band 6 ini, ianya menampilkan rangka plastik dengan kemasan berwarna perang iaitu bagi unit reviu kami yang hadir didalam warna Amber Sunrise.

Selain itu, bagi warna Graphite Black dan Forest Green, rangka jam hadir didalam kemasan berwarna kelabu.

Menutup bahagian reka bentuk ini dengan satu lagi ciri penting HUAWEI Band 6 iaitu kadar kalis air 5ATM yang memastikan pemakaian ketika bersenam atau hujan tidak menjadi satu masalah.

Skrin Paparan

HUAWEI Band 6 tampil dengan skrin paparan AMOLED berukuran 1.47-inci yang mana lebih menakjubkan adalah, saiz skrin yang digunakan pada generasi baru ini adalah 148% lebih besar berbanding saiz skrin pada generasi sebelum ini.

Selain itu, skrin paparan HUAWEI Band 6 ini mempunyai resolusi 194 x 386 dengan kepatan piksel 282ppi.

Seterusnya, kadar kecerahan skrin paparan OLED ini juga baik dimana terdapat lima tahap kecerahan dan pengunaan dibawah cahaya terik juga tidak mendatangkan sebarang isu.

Walaubagaimanapun sedikit mendukacitakan, tiada tetapan kecerahan automatik ditawarkan pada HUAWEI Band 6.

Navigasi pada jam kecergasan terbaru HUAWEI ini boleh dilakukan secara terus pada skrin atau melalui butang yang terdapat disisi rangka peranti.

Selain itu, respon skrin kepada sentuhan juga amat baik dan HUAWEI juga menawarkan pelabagai koleksi Watch Faces yang boleh ditetapkan pada jam dan juga melalui aplikasi HUAWEI Health.

Anda juga boleh menetapkan gambar peribadi anda sebagai Watch Face namun kami tidak menjumpai fungsi tersebut pada aplikasi iOS Huawei Health.

Ciri-Ciri HUAWEI Band 6

96 Mod Kecergasan Pada Satu Peranti Kompak

Kelebihan HUAWEI Band 6 sebagai seutas jam kecergasan terserlah dengan penawaran 96 jenis aktiviti kecergasan yang mana 11 jenis aktiviti tersebut sedia diaktifkan serta merta namun anda boleh menukar senarai tersebut dengan menekan widget dan pilih aktiviti kecergasan yang anda mahu.

Selain itu, sepanjang anda melakukan aktiviti ini, HUAWEI Band 6 akan secara berterusan merekod kadar degupan jantung, pembakaran kalori dan banyak lagi.

Lebih penting data ini juga akan disimpan didalam graf yang memberikan analisis lengkap prestasi dan tahap kesihatan anda.

Bacaan Heart Rate 24/7

HUAWEI Band 6 juga dilengkapi fungsi bacaan kadar degupan jantung berterusan sepanjang hari tidak kira apa yang anda sedang lakukan.

Selain itu, HUAWEI Band 6 juga dilengkapi teknologi TruSeen 4.0 yang menggunakan lensa optikal dan pemprosesan data AI untuk memastikan kadar degupan jantung anda direkod dengan betul sepanjang masa.

Seterusnya, HUAWEI Band 6 juga menawarkan amaran degupan jantung yang terlalu tinggi dan terlalu rendah kepada pemakai dan anda boleh menetapkan kadar degupan tersebut melalui aplikasi HUAWEI Health.


Bacaan SpO2 automatik

HUAWEI Band 6 juga menawarkan bacaan kadar saturasi darah didalam oksigen yang boleh ditetapkan untuk mengambil bacaan berkala secara automatik.

Selain itu, anda juga boleh menetapkan supaya peranti menghantar amaran apabila bacaan SpO2 jatuh dari tahap yang dipilih namun amaran ini hanya akan dihantar jika anda tidak tidur.

Bagi menjimatkan bateri, anda boleh menetapkan bacaan SpO2 di buat secara manual apabila diperlukan.

HUAWEI TruSleep

HUAWEI TruSleep pada jam HUAWEI Band 6 membolehkan corak tidur anda direkodkan dan memberikan analisa kualiti tidur anda dan bagaimana untuk meningkatkan kualiti tidur.

Jangka Hayat Bateri 2 Minggu

HUAWEI Band 6 menawarkan pengguna sehingga 2 minggu jangka hayat bateri namun dengan pengunaan yang purata.

Walaubagaimanapun jika anda menggunakan HUAWEI Band 6 dengan lebih agresif, anda mungkin menerima sekitar 10 hari jangka hayat bateri.

Selain itu, 5 minit pengecasan HUAWEI Band 6 ini memberikan anda 2 hari pengunaan dan pengecasan dilakukan melalui kabel magnetik yang dibekalkan dan kabel ini adalah sama seperti yang ditawarkan pada HUAWEI Watch Fit.


Penutup

HUAWEI Band 6 telah terbukti sebagai sebuah jam kecergasan yang lengkap anda merupakan antara jam kecergasan mampu milik yang pasti menjadi pilihan pengguna.

Selain itu, HUAWEI Band 6 juga boleh digunakan bersama-sama peranti Android dan iOS yang sudah pasti membuka lebih akses lebih besar kepada pengguna.


HUAWEI Band 6 vs Mi Band 6

HUAWEI Band 6 juga dilihat bakal memberikan cabaran hebat kepada peranti wearable popular daripada Xiaomi iaitu Mi Band 6 yang akan ditawarkan di Malaysia pada 25 April ini dengan harga jualan RM 189.

Walaubagaimanapun, HUAWEI Band 6 yang ditawarkan pada RM 219 ini mempunyai beberapa kelebihan yang ketara iaitu panel skrin yang lebih besar, sokongan 96 mod aktiviti sukan (hanya 30 mod kecergasan pada Mi Band 6) dan reka bentuk yang lebih premium seperti sebuah jam.

HUAWEI Band 6 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 219 dan anda boleh mendapatkanya di SINI

Menangi HUAWEI Band 6 secara percuma dengan menyertai peraduan jawab & menang di Facebook MobileFokus 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.