Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy A42 5G – Peranti Midrange Yang Lengkap Dengan Sokongan 5G


Pengenalan 

Samsung Galaxy A42 5G yang dilancarkan beberapa bulan lalu adalah satu telefon pintar yang mahu memberikan pengguna satu telefon pintar sedia 5G yang termurah dipasaran.

Walaupun teknologi 5G masih belum ditawarkan di Malaysia, sebuah telefon pintar yang lengkap dengan teknologi 5G dilihat satu kemestian kerana rata-rata pengguna di Malaysia hanya menukar telefon pintar setiap 2 atau 3 tahun.

Samsung Galaxy A42 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,599 dan ini adalah ulasan satu-satunya telefon pintar 5G didalam siri  Galaxy A di Malaysia.

Reka Bentuk & Skrin Paparan

Samsung Galaxy A42 5G tampil dengan reka bentuk panel belakang yang unik iaitu didalam kemasan yang dikenali sebagai Prism Dot.

Unit ulasan yang kami terima adalah didalam warna Prism Dot Gray dan panel belakang ini mempunyai 4 tona kelabu yang berselang-seli untuk menghasilkan satu kemasan visual yang unik pada telefon pintar ini.

Panel belakang dan sisi Samsung Galaxy A42 5G adalah yang diperbuat daripada plastik namun sekilas pandang kemasan ini tidak nampak macam plastik.

Beralih ke bahagian hadapan Samsung Galaxy A42 5G, ianya dipenuhi dengan skrin paparan dan ianya adalah panel Super AMOLED berukuran 6.6-inci namun agak mengecewakan ianya hanya menyokong resolusi HD+ dan ianya dilihat sebagai satu tindakan untuk menjimatkan kos peranti 5G ini.

Selain itu, bezel skrin sekeliling panel Galaxy A42 5G adalah nipis kecuali pada bahagian bawah yang sedikit tebal dan ianya mungkin kerana penggunaan sensor capjari terbina dalam skrin.

Pada bahagian bawah, Samsung Galaxy A42 5G menampilkan satu slot USB-C, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara.

Selain itu,  pada sisi kiri telefon pintar ini, terdapat slot SIM hibrid manakala di sisi kanan terdapat butang kuasa dan butang kelantangan bunyi.

Samsung Galaxy A42 5G mempunyai ukuran  164.4 x 75.9 x 8.6 mm dengan berat 193 gram.

Secara keseluruhan, Samsung Galaxy A42 5G adalah telefon pintar yang sangat selesa untuk dipegang namun kemasan yang berkilat menjadikanya sebuah peranti yang menarik capjari.

Pemproses

Samsung Galaxy A42 5G tampil dengan cipset Qualcomm Snapdragon 750G yang merupakan sebuah cipset berkeupayaan tinggi yang dibuat berdasarkan proses 8nm.

Bercakap mengenai GPU pula, cip Snapdragon 750G ini disertakan dengan Areno 619 yang dikatakan 10% lebih pantas berbanding Adreno 618.

Selain itu, G pada nama cipset ini bermaksud telefon pintar ini menyokong Snapdragon Elite Gaming.

Seterusnya, Samsung Galaxy A42 5G bagi pasaran Malaysia ditawarkan didalam satu kapasiti RAM sahaja iaitu 8GB dan ianya dipadankan dengan storan dalaman 128GB iaitu jenis UFS 2.1.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy A42 5G hadir dengan antaramuka OneUI 2.5 berasaskan sistem operasi Android 10.

Pretasi penggunaan harian sepanjang kami menggunakan Galaxy A42 5G mendapati ianya telefon pintar yang berkebolehan tinggi dan memberikan pengguna pakej peranti yang sangat konsisten.


Kamera

Samsung Galaxy A42 hadir dengan tetapan quad-kamera yang menggunakan sensor 48MP sebagai sensor utama.

Selain itu, sensor kamera 48MP ini juga dipadankan bersama satu sensor ultrawide 8MP, sensor depth 5MP dan sensor makro 5MP.


Ianya dilihat sebagai tetapan modul kamera yang hampir sama dengan Galaxy A41 namun dengan tambahan sensor depth dan tidak lupa juga terdapat lampu flash LED.

Dalam pada itu, kamera selfie yang digunakan pada Galaxy A42 5G adalah unit 20MP.

Kualiti gambar yang dihasilkan melalui sensor ini adalah memuaskan dan sesuai untuk kegunaan rata-rata pengguna.

Bateri

Samsung Galaxy A42 5G hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang meletakkanya didalam kategori flagship setidak-tidaknya didalam kategori bateri.

Dengan bateri yang lebih besar, dipadankan dengan skrin HD+ dan cip Qualcomm Snapdragon, kehabisan bateri pada Galaxy A42 5G di tengah hari adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan.

Bercakap mengenai pengecasan pantas, Samsung Galaxy A42 5G mempunyai sokongan pengecasan 15W Adaptive Fast Charging namun dengan kapasiti 5,000mAh, pengecasan penuh mengambil masa sekitar 120 minit.


Penutup

Samsung Galaxy A42 5G adalah sebuah peranti midrange 5G mampu milik namun penggunaan panel skrin paparan HD+ adalah sedikit mendukacitakan pada pendapat kami.

Walaubagaimanapun pengunaan cipset Snapdragon 750G dengan bateri 5,000mAh memberikan telefon pintar ini kelebihan dari segi pretasi gaming dan kegunaan harian.

Samsung Galaxy A42 5G ditawarkan didalam dua warna iaitu Prism Dot Black dan Prism Dot Gray pada harga sekitar RM 1,599 (harga penjualan bergantung kepada penjual).

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.