ULASAN : Vivo X60 Pro Malaysia – Snapdragon 870 dan teknologi kamera ZEISS yang berpotensi tinggi
Pengenalan
Pelancaran telefon pintar Vivo ke pasaran Malaysia biasanya memfokuskan kepada sebuah telefon pintar kelas midrange dan entry-level.
Walaubagaimanapun ini tidak bermaksud, telefon pintar flagship Vivo tidak ditawarkan di Malaysia dan beberapa tahun kebelakangan ini, vivo Malaysia telah mula membawa masuk telefon pintar flagship siri X dan baru-baru ini Vivo X60 dan Vivo X60 Pro telah diumumkan untuk pasaran tempatan.
Kami telah diberikan unit reviu Vivo X60 Pro yang akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3,299 manakal Vivo X60 pula ditawarkan pada harga RM 2,699.
Siri Vivo X60 merupakan telefon pintar Vivo yang pertama untuk hadir dengan teknologi kamera Zeiss.
Reka Bentuk
Sebagai telefon pintar flaghsip, Vivo mahu memberikan pengguna X60 Pro sebuah telefon yang bukan hanya nampak dan berharga seperti flaghsip, malah kemasan dan penampilan juga turut telah dititik beratkan.
Siri Vivo X berazam untuk menjadi sebuah siri telefon pintar 5G ultranipis dan telefon pintar ini mempunyai ketebalan 7.59mm sahaja dengan berat 177gram.
Sedikit pelik adalah, vivo X60 Pro didalam kemasan Shimmer Blue mempunyai ketebalan 7.69mm dengan berat adalah 2gram lebih dari unit reviu kami yang hadir didalam warna Midnight Black.
Kami secara peribadi amat suka dengan reka bentuk vivo X60 Pro yang nipis dan kemasan satin panel belakang telefon pintar ini memastikan tiada sebarang capjari yang ketara kelihatan pada panel belakang ini.
Selain itu, anda juga dibekalkan satu casing plastik yang memberikan perlindungan kepada telefon pintar vivo ini namun bahagian sisi masih terdedah tanpa sebarang perlindungan.
Panel belakang ini juga menempatkan satu kepulauan yang menempatkan modul kamera dengan logo Zeiss turut dicetak pada modul kamera ini.
Beralih kepada bahagian hadapan, Vivo X60 Pro tampil dengan skrin paparan Ultra-O yang memiliki satu punch hole dibahagian tengah yang berukuran 3.96mm.
Panel skrin yang dimiliki adalah panel 3D Curved yang melengkung pada kedua-dua sisi manakala bezel pada keseluruhan sisi skrin adalah sangat nipis.
Pada bahagian sisi kanan, terdapat butang kuasa bergerigi selain butang suara yang sangat premium.
Bahagian bawah menyaksikan, Vivo X60 Pro mempunyai slot USB-C, slot Dwi-SIM yang tidak menyokong kad microSD dan gril pembesar suara namun mana agak mengecewakan tiada pembesar suara stereo ditawarkan pada telefon pintar flaghsip ini.
Akhir sekali, profil reka bentuk Vivo X60 yang nipis memberikan pengguna satu pengalaman pengunaan telefon pintar yang amat selesa dan tiada masalah untuk digunakan untuk operasi sebelah tangan.
Skrin Paparan
Vivo X60 hadir dengan skrin paparan AMOLED LTM yang telah dibangunkan bersama oleh Vivo dan Qualcomm.
Ianya adalah panel skrin berukuran 6.56-inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz.
Selain itu, skrin paparan Vivo X60 Pro ini juga menyokong HDR10+ dan panel skrin juga telah menerima pensijilan SGS Eye Care Display Certification dan SGS Seamless Certification(120Hz).
Vivo X60 Pro juga menyokong kadar segar semula automatik atau dikenali sebagai Smart Switch namun anda juga boleh mengekalkan kadar segar semula skrin ini pada kadar 120Hz atau kadar 60Hz yang lebih menjimatkan bateri.
Akhir sekali, panel skrin mempunyai kepadatan piksel 398ppi dan ianya turut dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 6.
Sensor capjari Vivo X60 Pro juga telah ditempatkan dibawah skrin dan ianya mempunyai operasi yang sangat pantas.
Sepanjang tempoh reviu ini, pengalaman skrin pada Vivo X60 boleh dikatakan sangat baik dengan penghasilan warna dan kecerahan juga amat memuaskan bagi kami secara peribadi.
Pemproses
Walaupun dikategorikan sebagai sebuah telefon pintar flagship, Vivo memilih untuk menawarkan cipset Snapdragon 870 5G pada X60 Pro dan bukanya Snapdragon 888 yang hanya digunakan pada Vivo X60 Pro+ dan ianya ditawarkan di pasaran Malaysia setakat ini.
Pengunaan cipset Snapdragon 870 tidak bermaksud Vivo X60 Pro tidak mampu memberikan anda prestasi setaraf sebuah flagship dan kami juga amat kagum dengan prestasi harian telefon pintar ini yang boleh dikategorikan sebagai tiada kekurangan.
Selain itu, pengunaan cipset Snapdragon 870 juga membolehkan Vivo mengekalkan harga penjualan X60 pada tahap yang lebih kompetitif namun di Malaysia ianya ditawarkan pada harga RM 3,299 dan anda boleh mendapatkan telefon pintar yang menggunakan cipset Snapdragon 888 pada harga yang lebih murah namun mungkin tidak dapat menikmati teknologi kamera yang ditawarkan pada Vivo X60 Pro.
Beralih kepada RAM, Vivo X60 Pro menampilkan pengunaan jenis LPDDR5 pada kapasiti 12GB namun ianya turut menampilkan teknologi Extended RAM yang mana sistem telefon pintar akan menggunakan sebahagian daripada ROM sebagai RAM (maksima 3GB) untuk meningkatkan prestasi ketika pelbagai aplikasi dibuka serentak.
Ini bermaksud secara tidak langsung, Vivo X60 Pro anda memberikan anda kapasiti RAM sehingga 15GB dan ianya turut dipadankan dengan storan dalaman 256GB jenis UFS 3.1 yang biasa digunakan pada telefon pintar flagship.
Selain itu, Vivo X60 Pro juga hadir dengan antaramuka FunTouchOS 11.1 yang berasaskan Android 11.
Menutup bahagian pemproses, pemproses Snapdragon 870 ternyata mampu memberikan anda satu prestasi pemprosesan dan grafik yang amat konsisten tanpa sebarang masalah didalam kegunaan harian.
Kamera
Demi merevolusikan semula fotografi pada telefon pintar, Vivo dan ZEISS telah bersama
membangunkan satu sistem pengimejan yang telah melepasi semua proses ujian profesional
dilakukan oleh ZEISS, termasuk tinjauan optik asal, optik ujian perkakasan dan pengesahan fotografi sebenar.
Dengan menyerap reka bentuk optik ZEISS, vivo telah bersama-sama membangunkan Zeiss Optik yang juga mematuhi standard kualiti proses optik yang relevan pada siri X60.
ZEISS Optics telah mengoptimumkan ketajaman gambar dan kejelasan untuk penghasilan semula warna yang jelas dan tepat.
Vivo X60 Pro hadir dengan tiga unit kamera yang turut menampilkan teknologi pengstabilan gimbal 2.0
Sensor utama yang digunakan pada Vivo X60 Pro adalah unit 48MP yang mempunyai pengstabilan gimbal dan teknologi ini memastikan pengambilan gambar lebih mudah dan kami juga amat kagum dengan hasil gambar dan video yang dihasilkan kamera Vivo X60 Pro ini.
Penghasilan warna dan pemfokuskan juga baik namun pada video kami perasan bahawa ianya mengambil sedikit masa untuk fokus pada subjek yang kita mahu.
Selain itu, hasil gambar potrait yang terhasil melalui kamera Vivo X60 Pro juga amat kami minati dan ianya boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik pernah kami uji setakat ini.
Dalam pada itu, Vivo X60 Pro juga mempunyai rakaman mod malam pada bahagian kamera dan jika anda tekan di bahagian ‘more’ pada aplikasi kamera, anda boleh lihat dua lagi fungsi yang menarik iaitu mod astro dan mod super moon.
Bersama-sama sensor 48MP ini, Vivo X60 Pro juga disertakan satu sensor ultrawide angle 13MP dan sensor makro 13MP.
Fotografi bukanlah sesuatu yang mudah untuk dimahiri dan vivo juga memberikan anda akses kepada lampu flash sebagai penerang ketika mengambil gambar makro yang sangat membantu anda mengambil gambar pada jarak ultra dekat.
Kamera selfie yang ditawarkan pada vivo X60 Pro memberikan anda hasil gambar swafoto yang memuaskan dan pasti cukup untuk memenuhi keperluan media sosial anda.
Secara keseluruhan, kamera yang ditawarkan pada Vivo X60 Pro adalah satu pakej kamera yang mampu bersaing dengan kebanyakkan telefon pintar flagship di pasaran.
Kerjasama pertama dengan Zeiss telah membuktikan bahawa potensi kamera pada telefon pintar Vivo di masa hadapan adalah tidak terbatas.
Berikut adalah gambar-gambar yang diambil menggunakan Vivo X60 Pro :
Bateri
Vivo X60 Pro hadir dengan bateri berkapasiti 4,200mAh yang juga menyokong pengecasan tanpa wayar 33W.
Kapasiti bateri 4,200mAh pada Vivo X60 Pro adalah sesuatu yang mengagumkan bagi kami kerana vivo berjaya ‘menyumbat’ bateri yang agak besar pada profil telefon pintar ini yang nipis dan kompak.
Selain itu, vivo X60 Pro juga menyokong pengecasan pantas 33W FlashCharge yang bukan lah antara yang terpantas dipasaran namun ianya menawarkan keseimbangan antara pengecasan yang pantas dan kitaran bateri jangka panjang yang lebih lama.
Adapter pengecasan yang disertakan didalam kotak jugak agak besar untuk kami dan ianya pasti satu yang membebankan untuk dibawa ketika anda keluar kawasan.
Satu lagi ciri flagship yang tidak ditawarkan pada vivo X60 Pro adalah pengecasan pantas tanpa wayar.
Penutup
Vivo X60 Pro ternyata telah berjaya mengatasi jangkaan kami tentang kebolehan telefon pintar flagship vivo ini.
Pengunaan cip Snapdragon 870 dan teknologi kamera dengan lensa Zeiss juga telah membuktikan bahawa vivo X60 Pro merupakan sebuah telefon pintar yang serba lengkap untuk kegunaan harian.
Vivo X60 Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3,299 dan ianya antara telefon pintar flaghsip yang berpatutan dipasaran.
Dapatkan Vivo X60 Pro di SINI