ULASAN : Xiaomi Mi 9 – telefon pintar flagship terbaik pada harga bawah RM 2,000
Pengenalan
Selepas pelancaran Mi Mix 3 beberapa bulan lalu, Xiaomi telah mula menumpukan perhatian kepada pelancaran satu lagi telefon pintar flaghsip mereka iaitu Xiaomi Mi 9 yang sudah pasti akan menjadi antara telefon pintar flagship terbaik pada harga yang jauh lebih berpatutan dari pengeluar telefon pintar utama dunia.
Selepas pelancaran Mi 9 di China, Xiaomi telah memperkenalkan Xiaomi Mi 9 versi antarabangsa di Mobile World Congress pada penghujung bulan Februari sebelum mula memasuki pasara sejak awal bulan lalu.
Trend di pasaran telefon pintar global adalah peningkatan harga telefon pintar setiap tahun khususnya bagi model atasan namun Xiaomi cuba sedaya upaya untuk mengekalkan harga penjualan pada kadar yang munasabah.
Xiaomi Mi 9 adalah telefon pintar yang serba lengkap dengan pengunaan teknologi-teknologi terkini dan namun harga penjualan yang masih boleh dianggap sebagai tidak keterlaluan.
Berikut adalah ulasan Xiaomi Mi 9 yang ditawarkan di Malaysia pada harga serendah RM 1,699.
Reka Bentuk
Pada pandangan hadapan, Xiaomi Mi 9 mempunyai profil reka bentuk yang sudah biasa kita lihat iaitu reka bentuk skrin dew-drop yang memang tidak asing lagi pada pasaran telefon pintar.
Walaubagaimanapun, bezel bawah Xiaomi Mi 9 ini adalah lebih nipis iaitu hampir 40% lebih nipis berbanding pada Mi 8 selain gril pembesar suara yang lebih panjang.
Pada bahagian hadapan, Xiaomi Mi 9 disertakan dengan gelas keselamatan generasi terbaru daripada Corning iaitu Gorilla Glass 6 yang merupakan antara gelas keselamatan terbaik di pasaran ketika ini dan turut digunakan oleh kebanyakkan telefon pintar kelas flagship pengeluar lain yang memiliki harga penjualan yang jauh lebih tinggi.
Beralih kepada bahagian belakang, Xiaomi Mi 9 hadir dengan panel belakang yang melengkung yang ditawarkan dengan kemasan berkilau.
Kemasan ini dikatakan menghasilkan kesan gradiasi holografik namun unit yang kami terima adalah warna hitam dan kami tidak lihat sebarang efek ini pada warna ini.
Seperti pada panel hadapan, Xiaomi juga menawarkan gelas keselamatan Corning Gorilla namun ianya adalah generasi ke-5 dan bukanya yang terbaru.
Bercakap mengenai rangka yang menyambungkan panel hadapan dan belakang, ianya adalah aluminium siri 7000 dan terdapat jalur antena plastik pada bahagian atas dan bawah.
Xiaomi Mi 9 juga hadir dengan modul kamera tiga sensor yang dihadirkan didalam warna hitam dan ianya terbonjol daripada rangka.
Pada Sensor paling atas, ianya disertakan dengan gelung berwarna krom yang menghasilkan warna pelangi apabila terkena cahaya manakala lampu flash pula ditebuk terus dari rangka.
Xiaomi Mi 9 hadir dengan ukuran dimensi akhir 157.5 x 74.67 x 7.61mm dan dengan berat sekitar 173 gram yang mana ianya tidak terasa pada tangan walaupun Xiaomi telah menggunakan gelas Corning pada panel hadapan dan belakang.
Skrin Paparan
Xiaomi Mi 9 hadir dengan skrin paparan dew-drop Super AMOLED berukuran 6.39-inci yang hadir dengan resolusi FHD+ 2340 x 1080.
Ianya menawarkan nisbah skrin kepada badan 90.7% yang sangat tinggi dan ini dibantu lagi pengunaan sensor capjari terbina pada skrin.
Kehebatan panel skrin paparan AMOLED ini tidak boleh dipertikaian dan ianya mempunyai potensi dan syarat yang cukup untuk menjadi pemain multimedia yang berkuasa namun sedikit mengecewakan tiada pembesar suara stereo.
Panel skrin ini hadir dengan kepadatan piksel 403ppi dan ianya turut hadir dengan sokongan HDR10.
Penghasilan warna panel AMOLED adalah sangat tepat dan warna juga lebih terang tanpa terlalu banyak kekurangan.
Pemproses
Sebagai telefon pintar kelas flagship, adalah logic untuk Xiaomi Mi 9 hadir pengunaan pemproses terbaik dipasaran.
Namun apabila menjual telefon pintar dengan harga penjualan serendah RM 1,699, pasti ramai yang tertanya mampukah Xiaomi menawarkan pemproses terbaik dipasaran pada Mi 9.
Jawapanya adalah mengapa tidak, Xiaomi sekali lagi membuktikan bahawa harga bukan halangan untuk syarikat ini menawarkan spesifikasi terbaik pada telefon pintar.
Dengan ini, Xiaomi Mi 9 hadir dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 855 yang telah pun dibuktikan sebagai antara pemproses terbaik di pasaran.
Snapdragon 855 dibuat berasaskan pemproses 7nm yang menjanjikan kuasa pemprosesan dan penjimatan tenaga yang lebih baik berbanding generasi sebelum ini.
Ianya adalah cip 8-teras yang disertaka dengan unit pemprosesan grafik terbaru Adreno 640 yang menyokong Vulkan 1.1 dan HDR Gaming.
Walaupun Snapdragon 855 mempunyai kebolehan menyokong rangkaian 5G dengan pengunaan modem X50 namun Mi 9 tidak mempunyai versi 5G sebaliknya ianya hadir dengan modem X24 yang menyokong kelajuan 4G sehingga 2GBbps.
Bermain permainan video dengan tahap grafik tertinggi tidak menjadi masalah pada Xiaomi Mi 9 namun apabila telah mencapai sesuatu tempoh, anda mungkin boleh merasakan pengeluaran haba pada panel belakang telefon pintar ini.
Bagi pasaran Malaysia, Xiaomi Mi 9 hadir dengan kapasiti 6GB RAM yang dipadankan dengan dua pilihan memori simpanan dalaman iaitu 64GB atau 128GB.
Mi 9 disertakan UI terbaru Xiaomi iaitu MIUI 10 yang berasaskan Android 9.0 Pie yang hadir dengan banyak penambahbaikan berbanding MIUI 9.
Kamera
Mi 9 menjadi telefon pintar pertama Xiaomi untuk hadir dengan tetapa tiga kamera dibelakang yang telah menerima pensijilan DxOMark 107 mata yang meletakkanya sebagai lima telefon pintar dengan kamera terbaik di pasaran.
Xiaomi Mi 9 hadir dengan sensor utama 48MP Sony IMX586 yang hadir dengan teknologi Quad Bayer Filter + kamera lensa lebar 16MP dengan FOV 117° yang membolehkan anda mengambil gambar macro pada jarak hanya 4cm dan kamera telefon 2x 12MP dengan aperture f/2.2.
Mi 9 boleh diangkat sebagai telefon pintar yang mempunyai perisian kamera yang lengkap, pada aplikasi kamera Xiaomi Mi 9, terdapat mod gambar malam, mod 48MP (saiz gambar adalah sekitar 10MB), mod gambar biasa , portrait, panoramana, pro dan banyak lagi.
Kamera selfie Xiaomi Mi 9 adalah unit 20MP dengan pencantikkan AI dan portrait yang memberikan hasil gambar yang amat baik.
Secara keseluruhan kami amat kagum dengan kamera Xiaomi Mi 9 ini dan pengunaan sensor 48MP daripada Sony telah memberikan Mi 9 kebolehan untuk memberikan pengalaman fotografi yang terbaik walaupun ianya masih dibelakang telefon pintar premium yang lain seperti Huawei P30 Pro, Samsung Galaxy S10 Plus dan Huawei Mate 20 Pro (perbezaan harga penjualan hampir 50%).
Bateri
Xiaomi Mi 9 hadir dengan bateri berkapasiti 3,300mAh yang mana ianya adalah 100mAh lebih kecil apabila dibandingkan dengan Mi 8.
Walaubagaimanapun, jangka hayat bateri dijangka lebih baik atau setaraf dengan Mi 8 khususny kerana pengunaan Snapdragon 855 yang berasaskan cip 7nm yang lebih efisen.
Mi 9 juga hadir dengan sokongan pengecasan pantas menggunakan kable dan juga tanpa wayar namun anda perlu membeli plak pengecasan pantas 27W secara berasingan ( dipasaran China).
Pada kotak pengecasan Mi 9 yang dijual di Malaysia, Xiaomi hanya menyertakan plak pengecasan 18W yang mampu mengecas bateri dari 0-45% didalam 30 minit namun plak pengecasan 27W anda boleh mengecas sehingga ke tahap 70% didalam tempoh masa yang sama.
Teknologi pengecasan pantas Xiaomi ini dikenali sebagai Turbo Charge dan ianya juga telah mendapat pengiktirafan TÜV Rheinland.
Pengecasan tanpa wayar Xiaomi juga adalah antara yang terpantas di pasaran iaitu dengan output 20W yang menjanjikan pengecasan penuu didalam masa 90 minit sahaja.
Penutup
Selepas kejayaan Xiaomi Redmi Note 7, Xiaomi Mi 9 juga mempunyai potensi yang baik untuk menjadi antara telefon pintar flagship mampu milik terbaik di Malaysia.
Walaupun masih ada kekurangan di sini sana, harga penjualan Xiaomi Mi 9 yang sangat berpatutan bagi telefon pintar kelas flagship meletakkan telefon pintar ini diposisi yang baik kepada pembeli di Malaysia.
Xiaomi Mi 9 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,699 bagi versi 6GB/64GB dan RM 1,999 bagi versi 6GB/128GB.
Anda boleh beli Xiaomi Mi 9 di SINI.
Gambar-gambar yang diambil menggunakan Xiaomi Mi 9