Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Nokia 5.1 Plus – Telefon Pintar Android One Mampu Milik Terbaik Di Pasaran

Pengenalan

Nokia jenama ikonik yang tidak asing lagi telah kembali ke pasaran telefon pintar dunia beberapa tahun lalu dibawah naungan HMD Global.

Lebih menarik, peralihan pengeluar telefon pintar Finland ini telah menyaksikan kerjasama dengan Google yang menjadikan Nokia sebagai satu-satunya syarikat yang menawarkan kesemua model telefon pintar Nokia dengan sistem operasi Android yang asli (Android One).

Nokia 5.1 Plus atau Nokia X5 dipasaran China kini telah memasuki pasaran Malaysia dan ulasan kami akan memberikan anda sedikit sebanyak idea mengenai kelebihan dan kekurangan telefon pintar bernilai RM 899 ini.

Reka bentuk

Nokia 5.1 Plus hadir dengan reka bentuk skrin yang mempunyai takukan.

Walaupun reka bentuk ini dikatakan tidak popular, hampir 90% telefon pintar yang dikeluarkan hadir dengan takukan pada skrin.

Nokia turut tidak mahu ketinggalan didalam penawaran model yang memiliki reka bentuk skrin paparan seperti ini dan 5.1 Plus adalah salah satu daripada dua model yang memiliki ‘notch’.

Pada pandangan hadapan, Nokia 5.1 Plus memiliki saiz takukan lebih besar daripada diperlukan dan ianya turut hadir dengan bezel bawah skrin yang menempatkan nama Nokia.

Panel belakang Nokia 5.1 Plus ini adalah sama seperti pada hadapan iaitu berasaskan gelas yang tahan calar dan turut hadir dengan lapisan oleophobic yang memudahkan pembersihan capjari lebih mudah.

Rangka Nokia 5.1 Plus adalah berasaskan keluli dan ianya telah dicat pada warna yang menyerupai badan.

Logo Nokia dan Android One turut diletakkan dibahagian belakang selain modul kamera dan sensor capjari.

Skrin paparan

Nokia 5.1 Plus hadir dengan skrin paparan IPS LCD berukuran 5.8-inci dengan resolusi HD+ 1520 x 720.

Walaupun pada tahap harga ini, penawaran skrin paparan beresolusi HD+ adalah sesuatu yang tidak kami terima kerana pada tahun 2019 ini, skrin paparan 720p boleh dikatakan tidak lagi mampu memuaskan hati pengguna.

Secara keseluruhan, salah satu kelemahan utama Nokia 5.1 adalah pada skrin.

Pemproses

Nokia 5.1 Plus hadir dengan pemproses MediaTek Helio P60 yang dipadankan dengan 3GB RAM dan 32GB memori simpanan dalaman.

Prestasi keseluruhan MediaTek Helio P60 adalah sesuatu yang boleh dipuji dan ianya dilihat lebih berkuasa daripada pemproses Snapdragon 636 yang digunakan pada Nokia 6.1 Plus.

Walaubagaimanapun, Nokia telah menghadkan kelajuan Helio P60 pada 5.1 Plus ini ke 1.8GHz sahaja berrbanding telefon pintar lain yang hadir dengan pemproses yang sama (kelajuan asal Helio P60 adalah 2.0GHz).

Selain itu, sebagai telefon pintar dibawah program Android One, Nokia 5.1 Plus hadir dengan sistem operasi Android yang asli dan kemaskini Android Pie juga telah tiba kepada telefon pintar ini.

Nokia juga menjanjikan kemaskini sistem operasi Android bagi tempoh dua tahun manakala kemaskini keselamatan untuk tempoh tiga tahun dari pelancaran.

Kamera

Nokia 5.1 Plus hadir dengan tetapan dwi-kamera pada bahagian belakang iaitu satu sensor 13MP dan satu sensor 5MP yang ditugaskan khas untuk mod bokeh.

Kamera Nokia 5.1 Plus mempunyai prestasi yang memuaskan tanpa terlalu banyak kelebihan yang boleh membuat pengguna tertarik dengan nya.

Mod bokeh atau portrait Nokia 5.1 Plus juga  berada pada tahap yang memuaskan dan ianya adalah kerana perisian kamera telefon pintar ini yang  hampir setaraf dengan pengeluar telefon pintar lain di pasaran.

Kualiti gambar yang diambil melalui Nokia 5.1 Plus adalah baik khususnya apabila keadaan cahaya persekitaraan yang sempurna.

Nokia 5.1 Plus juga mampu merakam video 1080p pada kadar bingkai 30fps dan terdapat juga pengstabilan EIS.

Selain itu, tugas selfie Nokia 5.1 Plus ini diamanahkan kepada sensor 8MP yang memiliki aperture f/2.2 dengan lensar 80.4 darjah.

Bateri

Nokia 5.1 Plus hadir dengan bateri berkapasiti 3,060mAh yang disertakan dengan pengecasan 10W melalui slot USB-C.

Pengunaan USB-C pada telefon pintar mampu milik seperti Nokia 5.1 Plus memang patut diberikan pujian kerana masih adalah syarikat yang masih berkeras menggunakan Micro USB pada peranti mereka.

Nokia 5.1 Plus ini tidak hadir dengan apa-apa jenis pengecasan pantas namun dengan pengecasan yang disertakan anda boleh mengecas penuh peranti ini didalam masa 2 jam.

Penutup

Walaupun tidak sempurna, Nokia 5.1 Plus adalah telefon pintar yang mampu menarik minat golongan muda yang mahu memiliki telefon pintar Android One yang hadir dengan kemaskini Android terkini untuk tempoh dua tahun.

Nokia 5.1 Plus ini kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 899 dan pembelian boleh dibuat di stor rasmi Nokia di Lazada.

Nokia kini turut menawarkan promosi menarik sempena tahun baru cina yang membolehkan anda memiliki Nokia 5.1 Plus ini pada harga RM 799 sahaja ( dari 16-18 Januari 2019).

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.