Huawei Y Max akan dibuka untuk tempahan di Malaysia pada 10 Disember ini
Huawei secara rasminya telah mengesahkan bahawa satu telefon pintar dengan skrin paparan gergasi 7.12-inci akan dilancarkan secara rasmi bagi kempen penjualan atas talian 12.12.
Jika sebelum ini Huawei berteka-teki mengenai nama telefon pintar ini, ianya telah disahkan akan dikenali sebagai Huawei Y Max dengan tempahan akan dibuka secara eksklusif di stor atas talian rasmi Huawei mulai 10 Disember ini.
Huawei Y Max ini hadir dengan reka bentuk panel seakan jahitan kulit yang mengingatkan kami kepada reka bentuk kulit faux seperti pada Samsung Galaxy Note3.
Huawei Y Max ini akan hadir dengan skrin paparan fullview dewdrop berukuran 7.12-inci dengan resolusi FHD+ (2440 x 1080), pemproses Qualcomm Snapdragon 660, 4GB RAM, 128GB memori simpanan dalaman dan bateri berkapasiti 5,000mAh.
Pada bahagian belakang, Huawei Y Max akan hadir dengan tetapan 16MP + 2MP manakala kamera selfie adalah 8MP dengan aperture f/2.0.
Buat masa ini tiada sebarang maklumat harga Huawei Y Max ini diketahui namun setiap tempahan akan turut menerima hadiah percuma seperti Huawei A2 Band, Huawei AM116 Earphone, bekas flip Y Max dan beg kanvas krismas.
Maklumat lanjut mengenai Huawei Y Max boleh diketahui di sini