Fitbit Versa dilancarkan secara rasmi, tiba di Malaysia suku kedua 2018
Fitbit secara rasminya telah melancarkan jam pintar terbaru mereka yang dikenali sebagai Versa dan ianya dianggap sebagai pencabar utama kepada Apple Watch.
Fitbit Versa merupakan jam pintar kedua syarikat ini selepas Fitbit Iconic dan Fitbit Versa juga beroperasi dengan Fitbit OS 2.0 namun dengan harga penjualan yang lebih murah ( mungkin kerana ketiadaan GPS).
Fitbit Versa menjanjikan jangka hayat bateri selama 4 hari dengan pengecasan penuh peranti hanya mengambil masa 2 jam.
Seperti Fitbit Iconic, Versa juga mempunyai sensor pengukur kadar degupan jantung, 15 mod senaman,kalis air sehingga kedalaman 50m dan maklumat kesihatan mingguan.
Fitbit Versa disambungkan kepada peranti pintar anda melalui Bluetooth LE dan menawarkan paparan notifikasi dari aplikasi kegemaran anda.
Fitbit Versa dijangka akan memasuki pasaran tempatan pada suku kedua 2018 dan akan dijual secara meluas melalui wakil penjual sah seperti All IT Hypermarket, AONE Plus, Best Denki, Harvey Norman, Timekeeper, Thunder Match Technology dan Lazada di Malaysia.
Harga penjualan Fitbit Versa adalah RM 990 bagi warna hitam, kelabu dan emas ros manakala Fitbit Versa Edisi Khas akan mempunyai harga penjualan RM 1,120 dengan beberapa aksesori tambahan dijual pada harga sekitar RM 130 sehingga RM 420.
Fitbit Versa – RM 990
Fitbit Versa Edisi Khas – RM 1,120