Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Samsung Perluas Kerjasama Dengan ShopeePay, Integrasi Samsung Wallet Bakal Tiba Di Malaysia

Samsung Perluas Kerjasama Dengan ShopeePay, Integrasi Samsung Wallet Bakal Tiba Di Malaysia 1

Samsung Perluas Kerjasama Dengan ShopeePay, Integrasi Samsung Wallet Bakal Tiba Di Malaysia 2
Samsung Electronics telag mengumumkan peluasan kerjasama strategiknya bersama ShopeePay bagi memudahkan urusan pembayaran harian pengguna di seluruh Asia Tenggara. Menerusi integrasi ekosistem pembayaran kedua-dua platform ini, pengguna bakal menikmati lebih banyak pilihan pembayaran yang fleksibel, sama ada ketika membeli-belah secara dalam talian, menggunakan dompet digital mahupun membuat transaksi di kedai fizikal.

Kerjasama ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kolaborasi pertama Samsung di Asia Tenggara yang membolehkan pembayaran menggunakan kod QR melalui Samsung Wallet di beberapa pasaran.

Buat masa ini, integrasi tersebut sudah tersedia di Singapura dan Vietnam. Pengguna di kedua-dua negara berkenaan boleh membuat pembayaran menggunakan ShopeePay melalui Samsung Wallet, selain menggunakan Samsung Pay sebagai pilihan pembayaran ketika membuat pembelian di Shopee.

Selain itu, pengguna di Malaysia juga bakal menikmati kemudahan yang sama apabila kedua-dua integrasi ini dijangka diperkenalkan dalam beberapa bulan akan datang.

Samsung Perluas Kerjasama Dengan ShopeePay, Integrasi Samsung Wallet Bakal Tiba Di Malaysia 3

Pembayaran QR Lebih Mudah Dengan Samsung Wallet

Menerusi integrasi terbaharu ini, pengguna Samsung Wallet boleh mengimbas kod QR di premis perniagaan yang mengambil bahagian secara terus melalui aplikasi tersebut.

Pembayaran kemudiannya boleh dilakukan menggunakan kaedah pembayaran yang telah dipautkan kepada akaun ShopeePay masing-masing. Ini bermakna pengguna tidak lagi perlu bertukar antara aplikasi Samsung Wallet dan ShopeePay untuk menyelesaikan transaksi, sekali gus menjadikan proses pembayaran lebih pantas dan mudah.

Selain kemudahan pembayaran, pengguna juga berpeluang mengumpul Shopee Coins bagi pembelian yang layak apabila menggunakan ShopeePay.

Lebih Banyak Pilihan Pembayaran Untuk Pembelian Dalam Talian

Kerjasama ini bukan sahaja tertumpu kepada pembayaran di kedai fizikal, malah turut menawarkan lebih banyak fleksibiliti ketika membeli-belah dalam talian.

Samsung Pay kini boleh digunakan sebagai salah satu pilihan pembayaran ketika membuat pembayaran di Shopee. Pada masa sama, pengguna yang membeli produk Samsung melalui laman rasmi Samsung.com boleh menggunakan ShopeePay, termasuk kemudahan SPayLater.

Samsung turut merancang untuk memperluas penerimaan ShopeePay, termasuk SPayLater, ke lebih banyak saluran jualan fizikalnya di seluruh Asia Tenggara.

Dengan peluasan kerjasama ini, pengguna bakal menikmati pengalaman pembayaran yang lebih lancar merentasi pelbagai platform, sama ada ketika membeli-belah dalam talian atau berurus niaga di kedai fizikal. Bagi pengguna di Malaysia, kehadiran integrasi Samsung Wallet dan ShopeePay dalam beberapa bulan akan datang pastinya sesuatu yang dinantikan.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.