Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Samsung Wallet Kini Sokong Pembayaran QR Maybank MAE di Malaysia

Samsung Wallet Kini Sokong Pembayaran QR Maybank MAE di Malaysia 1

Samsung Wallet Kini Sokong Pembayaran QR Maybank MAE di Malaysia 2

Samsung Malaysia dan Malayan Banking Berhad (Maybank) hari ini mengumumkan kerjasama strategik yang menandakan satu pencapaian penting dalam landskap pembayaran digital Malaysia dengan pengenalan pengalaman Samsung Wallet QR Payment yang pertama seumpamanya di negara ini.

Kerjasama ini menggabungkan inovasi mudah alih Samsung dengan ekosistem perbankan digital Maybank bagi menawarkan kaedah pembayaran harian yang lebih pantas dan lancar kepada pengguna Samsung Galaxy. Bermula 21 Julai 2026, pengguna Samsung Galaxy yang layak boleh mengakses fungsi MAE Scan & Pay Maybank secara terus dalam Samsung Wallet menerusi kemas kini aplikasi terkini.

Melalui integrasi ini, pengguna hanya perlu meleret untuk membuka Samsung Wallet, mengakses fungsi QR Payment dan menggunakan Maybank MAE Scan & Pay bagi melengkapkan transaksi QR dengan selamat, bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, Thailand, Indonesia dan Kemboja.

Integrasi terus ini mengurangkan langkah yang diperlukan, sekali gus membolehkan pembayaran dilakukan dengan lebih pantas ketika membeli makanan, barangan runcit, kopi dan keperluan harian lain.

Selain pembayaran yang lebih pantas, pengguna juga akan menerima Samsung Rewards Points bagi setiap transaksi. Mata ganjaran tersebut boleh ditebus untuk membeli produk Samsung serta menuntut pelbagai baucar yang tersedia menerusi aplikasi Samsung Members.

Kerjasama ini turut mengukuhkan kedudukan Samsung Wallet sebagai platform digital yang lebih komprehensif, melengkapkan fungsi sedia ada serta meningkatkan lagi nilai yang ditawarkan kepada pengguna Samsung Galaxy. Samsung Wallet QR Payment merupakan ciri pertama seumpamanya diperkenalkan oleh Samsung di Malaysia dan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memperluaskan keupayaan Samsung Wallet.

Dengan menggabungkan ekosistem mudah alih Samsung dan platform perbankan digital Maybank, kedua-dua syarikat menyasarkan untuk menyediakan pengalaman pembayaran yang lebih pintar, pantas dan mudah kepada jutaan pelanggan.

Pelaksanaan Samsung Wallet QR Payment ini telah bermula 21 Julai 2026 dan tersedia pada telefon pintar Samsung Galaxy terpilih menerusi kemas kini terkini Samsung Wallet serta perisian peranti.

Sempena kerjasama ini, pelanggan juga berpeluang menikmati ganjaran eksklusif bernilai keseluruhan sehingga RM500,000 menerusi kempen promosi masa terhad yang berlangsung dari 28 Julai hingga 30 Oktober 2026. Pelanggan yang layak akan menerima RM5 selepas berjaya menghubungkan dan mengaktifkan QR Payment dalam Samsung Wallet, selain berpeluang menikmati sehingga RM15 dalam bentuk pulangan tunai atau baucar apabila membuat perbelanjaan.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.