vivo V70 kini rasmi di Malaysia pada harga dari RM 1,999
vivo V70 kini rasmi dilancarkan di Malaysia sebagai model terbaru dalam siri V yang terkenal dengan fokus kepada fotografi dan reka bentuk yang premium. Model ini tampil dengan peningkatan ketara pada sistem kamera, paparan, prestasi serta kapasiti bateri yang lebih besar.
Dari segi fotografi, vivo V70 dilengkapi sistem kamera yang dibangunkan bersama ZEISS. Ia menampilkan sensor Telefoto Super ZEISS 50MP dengan saiz 1/1.95 inci dan sokongan OIS.
Selain itu, kamera belakang juga terdiri daripada satu sensor wide ZEISS 50MP bersaiz 1/1.56 inci serta kamera ultra lebar 8MP, manakala di bahagian hadapan terdapat kamera selfie 50MP dengan autofokus untuk gambar selfie dan foto berkumpulan yang lebih tajam. Peranti ini juga menyokong rakaman video sehingga 4K pada 60fps.
Pada bahagian hadapan, vivo V70 tampil dengan paparan OLED berukuran 6.59 inci dengan resolusi 1.5K serta kadar segar semula 120Hz. Skrin ini turut dipadankan dengan pengimbas cap jari Ultrasonic 3D 2.0 yang menawarkan pengesanan lebih pantas dan selamat.
Reka bentuknya menampilkan rangka Aloi Aluminium Gred Aeroangkasa dengan bezel ultra nipis sekitar 1.25mm bersama panel belakang kaca AG dengan kemasan etching yang membantu mengurangkan kesan cap jari dan calar. Selain itu, peranti ini turut hadir dengan penarafan ketahanan IP68 dan IP69 untuk perlindungan terhadap habuk serta air.
Dari segi prestasi, vivo V70 dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 4, 8GB/12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Ia juga dilengkapi sistem penyejukan ruang wap seluas 4200mm² untuk membantu mengekalkan suhu peranti ketika penggunaan intensif.
Selain itu, vivo V70 juga memiliki bateri BlueVolt berkapasiti 6500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W FlashCharge untuk penggunaan sepanjang hari. vivo V70 menjalankan sistem operasi OriginOS 6 yang menawarkan pelbagai fungsi pintar berasaskan AI, termasuk AI Search, AI Creation dan AI Captions, selain integrasi pembantu Gemini.
Di Malaysia, vivo V70 ditawarkan dalam tiga pilihan memori iaitu 8GB + 256GB pada harga RM1,999, 12GB + 256GB pada harga RM2,199, dan 12GB + 512GB pada harga RM2,599. Peranti ini boleh didapati melalui kedai rasmi vivo serta saluran pengedaran terpilih di seluruh negara.



