ULASAN : Samsung Galaxy Buds3 FE – Kualiti Audio Premium, Harga Mesra Poket
Pengenalan
Samsung secara rasminya telah melancarkan Galaxy Buds3 FE yang tiba bersama-sama Galaxy S25 FE sebagai generasi baharu Fan Edition yang menawarkan produk pada harga yang berpatutan dengan spesifikasi setaraf flagship.
Earbuds terbaru Samsung ini boleh dikatakan mengambil inspirasi sepenuhnya dari earbuds flagship mereka iaitu Buds3 Pro namun Samsung juga telah menambah baik beberapa aspek fon telinga ini.
Adakah Galaxy Buds3 FE sesuatu yang boleh dipertimbangkan sebagai fon telinga terbaik untuk anda?, teruskan membaca ulasan Galaxy Buds3 FE ini.
Untuk rekod, Samsung Galaxy Buds3 FE kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 499.
Rekaan
Samsung Galaxy Buds3 FE memiliki reka bentuk yang sama seperti Galaxy Buds3 Pro namun fon telinga ini tampil dengan kemasan matte yang lebih elegan dan lebih kalis calar.
Seperti Buds3 Pro, Galaxy Buds3 FE juga hadir dengan blade design namun sudah tiada tanda berwarna oren dan biru untuk membezakan buds kanan dan kiri. Ianya masih hadir dengan perkataan L & R pada setiap fon telinga ini.
Dalam pada itu, Galaxy Buds3 FE ini hadir dengan earbuds jenis in-ear yang memberikan kesan bass lebih mendalam dan merupakan aspek penting untuk ciri ANC. Samsung menyertakan dua saiz eartip tambahan didalam kotak yang boleh anda pilih mengikut kesesuaian telinga.
Bercakap mengenai berat, setiap satu earbuds Galaxy Buds3 FE ini adalah 5 gram manakala bekas pengecasan mempunyai berat 41.8 gram namun pengecasan tanpa wayar tidak disokong. Ianya hadir dengan penarafan IP54 yang masih menawarkan perlindungan daripada peluh ketika aktiviti kecergasan dan hujan.
Kualiti Audio & ciri-ciri Buds3 FE
Galaxy Buds3 FE dilengkapi dengan ciri ANC walaupun ianya adalah model yang lebih berpatutan. Ini bermaksud earbuds Buds3 FE akan sentiasa memantau persekitaran untuk menapis bunyi.
Walaubagaimanapun, prestasi ANC pada model Buds3 FE boleh dikatakan hampir setaraf malah lebih baik berbanding Buds3 Pro walaupun tiada adaptive ANC disertakan.
Dalam pada itu, mod ambient atau transparency pada Galaxy Buds3 FE juga baik dimana bunyi luaran adalah semulajadi tanpa sebarang bunyi tambahan yang pelik.
Selain itu, kualiti audio ketika menjawab panggilan telah ditambah baik berbanding generasi sebelum ini melalui model pembelajaran mesin pra-latihan lanjutan untuk panggilan yang dipertingkatkan, ia menganalisis bunyi ambien dan corak suara untuk menapis bunyi hingar yang memastikan suara jelas dan fokus, walaupun dalam persekitaran yang bising.
Seperti biasa, anda perlu memuat turun aplikasi Galaxy Wearable yang ditawarkan pada Google Play Store untuk akses kepada lebih banyak tetapan seperti EQ, kawalan ANC, kemaskini perisian dan ciri AI. Ini bermaksud menggunakan Buds3 FE bersama peranti iOS bermaksud hanya melalui sambungan Bluetooth dengan akses terhad kepada ciri-ciri lain.
Selain itu, ciri Auto Switch antara peranti juga disokong namun ianya hanya disokong pada peranti Galaxy seperti telefon pintar Galaxy , Galaxy Tab dan Samsung TV yang dilancarkan selepas tahun 2022.
Dari segi perisian pula, Galaxy Buds3 FE mengekod audio sehingga 24-bit/96kHz dan kemudian menyahkod bunyi pada kualiti yang sama dan Samsung mengelar teknologi ini sebagai Samsung Seamless Codec.
Lebih lanjut, pengguna telefon pintar Galaxy juga akan disajikan dengan ciri Spatial Audio, Galaxy AI Interpreter dan Gemini AI buat pertama kali pada Galaxy Buds.

Jangka Hayat Bateri
Samsung Galaxy Buds3 FE menawarkan jangka hayat bateri yang baik dimana anda boleh menikmati sehingga 6 jam dengan mod ANC (8.5 jam tanpa mod ANC) atau sehingga 26 jam dengan mod ANC (30 jam tanpa mod ANC).
Dalam pada itu, Galaxy Buds3 FE boleh dicaj melalui USB-C sahaja tanpa sokongan pengecasan tanpa wayar seperi yang kami maklumkan pada awal artikel.
Penutup
Samsung Galaxy Buds3 FE adalah sebuah earbuds yang ditawarkan pada harga lebih berpatutan namun masih hadir dengan ciri-ciri dan rekaan flagship seperti Galaxy Buds3 Pro.
Pada harga jualan RM 499, Samsung Galaxy Buds3 FE memberikan pengguna satu pakej earbuds yang bukan hanya kelihatan premium malah turut menawarkan pengalaman audio mudah alih yang sangat memadai serta ciri ANC yang turut boleh dibanggakan.
Anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy Buds3 FE sekarang di Samsung Online Store atau Samsung Experience Store yang berhampiran anda.









