Samsung Galaxy Ring diumumkan sepenuhnya pada harga sekitar RM 1,900 – tidak memasuki pasaran Malaysia
Samsung Galaxy Ring adalah satu produk yang dinantikan pada pelancaran Galaxy Unpacked 2024 malam tadi dan ianya kini telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran yang terpilih dan ini turut bermaksud ianya tidak akan ditawarkan di Malaysia.
Samsung Galaxy Ring ditawarkan didalam tiga warna iaitu Black, Silver dan Gold. Ianya tersedia dalam saiz cincin AS 5-13 yang semuanya diperbuat daripada aloi titanium gred 5. Reka bentuk cincin adalah cekung dengan sisi meruncing ke tengah. Semua sensor kesihatan, bateri dan pin pengecasan berada di bahagian dalam, di lapisi resin epoksi.
Selain itu, Galaxy Ring juga memiliki penarafan IP68 dan kalis air 10ATM supaya anda boleh memakainya dalam semua keadaan cuaca dan juga semasa sesi berenang. Saiz 5 Galaxy Ring mempunyai ukuran 7.0 mm x 2.6 mm dan berat hanya 2.3 gram manakala saiz 13 adalah sekitar 3 gram.
Dalam pada itu, Samsung akan menghantar kit saiz percuma dengan setiap pesanan Galaxy Ring dan anda kemudian dinasihatkan untuk memakai sampel pada jari anda selama sekurang-kurangnya 24 jam sebelum mengesahkan saiz pilihan anda. Anda juga boleh mencuba cincin saiz berbeza di stor Samsung dan memilih cincin yang betul di.
Seterusnya, Galaxy Ring disambungkan melalui Bluetooth LE 5.4 dan akan memerlukan telefon pintar yang menjalankan Android 11 dan pengguna tidak perlu membeli sebarang langganan tambahan untuk mengakses data kesihatan dan aktiviti mereka.
Lebih lanjut, Galaxy Ring juga menyokong kawalan gerak isyarat cubit. Anda boleh mencubit ibu jari dan jari telunjuk anda semasa memakai cincin untuk mengawal telefon pintar Galaxy anda dengan keupayaan untuk mengambil gambar atau mematikan penggera. Ia juga boleh digunakan dengan Samsung Find dan boleh menggunakan lampu LED terbina dalamnya untuk berkelip apabila hilang.
Tambahan lagi, Galaxy Ring juga mengukur metrik kesihatan anda termasuk kadar denyutan jantung melalui penderia PPG optikal dan suhu kulit . Samsung juga menyertakan penjejakan tidur dengan Galaxy Ring yang menjadikannya selesa untuk dipakai 24/7. Penjejakan tidur Galaxy Ring menampilkan skor tidur aktif dengan analisis dengkuran dan metrik tambahan seperti pergerakan semasa tidur, kependaman tidur, kadar jantung dan pernafasan.
Galaxy Rings bersaiz lebih kecil (saiz 5-7) menampilkan sel bateri 17 mAh yang memberikan sehingga 6 hari penggunaan dengan sekali cas. Saiz 8-11 pula hafir dengan bateri 18 mAh yang memberikan penggunaan sehingga 6 hari manakala model saiz 12 dan 13 menampilkan bateri 22.5 mAh dengan 7 hari penggunaan.
Bercakap tentang pengecasan, Galaxy Ring mempunyai bekas pengecasan yang mempunyai bateri 361 mAh yang menawarkan sehingga 20 kitaran pengecas lan penuh untuk saiz cincin yang lebih kecil.
Samsung Galaxy Ring akan ditawarkan pada harga $399 (RM 1,870) dan sekali lagi kami maklumkan bahawa ianya tidak memasuki pasaran Malaysia.