ULASAN : HONOR 200 Pro – flagship killer dengan Magic AI Experience dan Potret Harcourt
Pengenalan
HONOR 200 Series telah dilancarkan secara rasmi dipasaran pasaran China beberapa minggu lalu dan kini tiba giliran telefon pintar ini memasuki pasaran global dan ianya tampil didalam dua varian iaitu HONOR 200 dan HONOR 200 Pro.
Lebih menarik bagi siri ini adalah, versi Pro juga akan ditawarkan di Malaysia selepas tidak ditawarkan di pasaran tempatan sebelum ini.
Seterusnya, HONOR 200 Pro ini juga memfokuskan kepada teknologi AI iaitu Magic AI Experience yang terbaharu, seperti pada telefon pintar flagship premium HONOR Magic Series.
Dalam pada itu, satu lagi ciri yang amat diberi perhatian pada HONOR 200 Pro ini adalah teknologi fotografi potret klasik yang dibangunkan bersama studio Harcourt bagi menghasilkan fotografi bertaraf studio yang cantik pada telefon pintar.
Memandangkan model terakhir HONOR number series yang dilancarkan di Malaysia adalah HONOR 90 pada tahun lalu, HONOR 200 Pro adalah model yang menawarkan pelbagai upgrade khususnya dari segi pengalaman AI kelas flagship.
Tanpa melengahkan masa, jom kita teruskan membaca ulasan HONOR 200 Pro yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 2,699.
Reka Bentuk
HONOR 200 Pro adalah telefon pintar yang sangat elegan dengan rekaan modul kamera yang unik dan penambahbaikan paling ketara pada bahagian rekaan adalah ianya kini mempunyai penarafan kalis air dan habuk IP56 selepas langsung tidak memiliki sebarang perlindungan seperti ini pada generasi sebelumnya.
Jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini, HONOR 200 Pro masih memiliki profil rekaan yang hampir sama dengan panel gelas dihadapan dan belakang pada bingkai aluminium.
Selain itu, HONOR 200 Pro masih mengekalkan rekaan nipis iaitu dengan ketebalan 8.2mm dengan berat 199 gram.
Seterusnya, panel hadapan HONOR 200 Pro ini memiliki rekaan skrin yang dikenali sebagai Quad-Curved Floating dimana ianya melengkung pada kesemua sisi dengan bezel yang sangat nipis. Ini memberikan penampilan yang sangat premium namun kekurangan utama rekaan seperti adalah ianya tidak memberikan cengkaman yang baik ketika dipegang.
Dalam pada itu, HONOR tidak menyertakan sebarang lapisan gelas keselamatan berketahanan tinggi seperti pada telefon pintar Magic6 Pro yang hadir dengan teknologi NanoCrystal Shield.
Kembali ke panel belakang, HONOR 200 Pro ditawarkan didalam beberapa pilihan warna seperti Ocean Cyan,Moonlight White dan Black yang kesemuanya tampil unik dengan kemasan yang berinspirasikan alam semula jadi.
Secara keseluruhanya, HONOR 200 Pro boleh diangkat sebagai sebuah telefon pintar yang paling cantik dipasaran lebih-lebih dipasaran kelas pertengahan.
Skrin Paparan
HONOR 200 Pro hadir dengan skrin paparan OLED berukuran 6.78-inci yang memiliki resolusi 2,700 x 1224 piksel yang mampu memaparkan 1.07 bilion (10-bit) warna dan HDR10.
Ianya menyokong kadar segar semula 120Hz dengan ciri 3840Hz PWM Dimming dan kecerahan skrin maksima mencecah 4,000 nits.
Selain itu, HONOR 200 Pro juga menampilkan beberapa teknologi yang melindungi mata anda daripada kelesuan mata seperti AI Circadian Night Display, Natural Tone 2.0, Dynamic Dimming dan Dual Sensor Adaptive Dimming. Ini telah membolehkan panel skrin ini menerima Gold Label dan Eye Comfort Display daripada DxOMark.
Dalam pada itu, HONOR 200 Pro ini menyokong kadar segar semula 120Hz yang mempunyai tiga pilihan tetapan iaitu Dynamic (berubah-ubah), High (120Hz sepanjang masa) dan Standard (60Hz sepanjang masa).
Selain itu, HONOR 200 Pro juga tampil dengan sokongan mod Always On Display tampil dengan pelbagai rekaan yang unik.
Seterusnya, skrin paparan HONOR 200 Pro ini juga mempunyai sisi bezel yang nipis dan terdapat juga sensor capjari dalam skrin yang agak pantas dan tepat sepanjang pengunaan kami.
Lebih-lebih lagi, panel paparan HONOR 200 Pro ini juga mempunyai lubang punch-hole ditengah yang menempatkan kamera selfie 50MP bersama animasi Magic Capsule.
Mengakses kepada ciri-ciri telefon yang biasa digunakan sering memerlukan beberapa sentuh untuk mengakses menu tambahan atau notifikasi. Magic Capsule membolehkan pengguna untuk hanya menekan pada notifikasi (disekeliling kamera selfie) dan terus mendapat akses kepada maklumat relevan serta fungsi penting bagi tindakan segera tanpa perlu melayari pelbagai menu pada aplikasi seperti Timer, Alarm, Screenshot, panggilan telefon dan banyak lagi.
Pemproses
HONOR 200 Pro dikuasakan cip Snapdragon 8s Gen 3 yang merupakan varian baharu cip flagship daripada Qualcomm bagi tahun 2024. Ianya diperbuat pada proses fabrikasi 4nm namun kuasa pemprosesan cip ini boleh dikatakan berada dibawah Snapdragon 8 Gen 3 dan Snapdragon 8 Gen 2.
Bersama cip flagship killer daripada Qualcomm ini, HONOR 200 Pro juga memiliki 12GB RAM dan storan dalaman 512GB dan ianya merupakan varian tunggal yang ditawarkan di Malaysia.
Dalam pada itu, cipset ini juga dipadankan dengan GPU Adreno 735 yang menawarkan kuasa grafik yang berprestasi tinggi hampir sama seperti Adreno 740 yang ditawarkan pada Snapdragon 8 Gen 2.
Walaubagaimanapun, tonggak utama dalam menyediakan pengalaman UI terbaik adalah MagicOS 8.0 yang berasaskan Android 14.
MagicOS 8.0 yang dibawa oleh HONOR 200 Pro ini amat bersandarkan Magic AI Experience dan terdapat pelbagai ciri baharu yang pasti membawa pengalaman penggunaan telefon pintar harian yang lebih mudah.
1. Magic Portal
Magic Portal memahami dan mentafsir mesej dan tingkah laku pengguna dengan bijak, membawa mereka mencari item seperti alamat dan imej secara mudah dengan hanya menyeret dan melepaskannya daripada satu aplikasi ke aplikasi yang lain. Sebagai contoh, apabila pengguna menjumpai gambar pakaian yang cantik di media sosial, Magic Portal membolehkan mereka mencari item sama di platform e-dagang dengan sangat mudah hanya melalui satu seretan, menjadikan membeli-belah lebih mudah kepada pengguna.
2. AI Air Gesture
Kesan minyak pada skrin telefon biasa berlaku ketika menggunakannya sambil makan dengan tangan. Dengan ciri AI Air Gesture, pengguna boleh menala aplikasi pilihan ke atas dan ke bawah, menangkap layar, menukar kamera depan dan belakang, atau juga mengambil gambar menggunakan ciri ini tanpa perlu menyentuh paparan tersebut.
3. AI Blur Private Info
Dalam era di mana media sosial menjadi sebahagian besar dalam kehidupan kita, sekeping imej boleh mendedahkan maklumat sensitif. Maka, amat penting untuk melindungi privasi pengguna. HONOR mengutamakan privasi pengguna dengan memproses data pada peranti secara selamat dan melengkapi HONOR 200 Pro ini dengan Blur Private Info. Ciri ini mengaburkan maklumat sensitif seperti nama, kata laluan, dan maklumat perhubungan secara terus daripada menu Share sebelum imej dihantar.
Secara keseluruhan, HONOR 200 Pro menawarkan pengguna sebuah cipset yang mampu memberikan anda antara prestasi paling berkuasa dipasaran dan MagicOS 8.0 meningkatkan lagi pengalaman dengan pelbagai ciri Magic AI Experience.
Kamera
HONOR 200 Pro dilengkapi kamera yang mewarisi sensor utama sama yang digunakan pada Magic6 Pro iaitu sensor 50MP Super Dynamic H9000 yang dibangunkan khas untuk HONOR berasaskan sensor OmniVision OV50H. Sensor ini mempunyai 2×2 OCL PDAF dan OIS.
Dalam pada itu, sensor telefoto yang digunakan HONOR 200 Pro ini juga adalah sensor 50MP iaitu sensor IMX856 daripada Sony yang mempunyai aperture f/2.4 dan OIS.Ianya menawarkan pengzooman optik 2.5x dan sehingga 50x pengzooman digital.
Sensor ketiga dan yang terakhir adalah sedikit dibawah sensor utama dan sensor telefoto dimana sensor ultrawide ini adalah sensor 12MP dengan pemfokusan auto yang membolehkanya anda mengambil fotografi makro.
_____________________________________
Potret Harcourt
Paling mencuri tumpuan pada bahagian fotografi pada HONOR 200 Pro ini adalah kolaborasi syarikat ini dengan studio fotografi terkemuka di Paris iaitu Studio Harcourt bagi membangunkan HONOR AI Portrait Engine secara bersama yang membolehkan Siri HONOR 200 menawarkan keupayaan fotografi potret bertaraf studio.
Pada aplikasi kamera, anda boleh melihat ikon Harcourt yang menawarkan anda tiga filter khas iaitu Classic, Color dan Vibrant yang dibangunkan oleh studio ini menggunakan kepakaran mereka didalam bidang potret bersama teknologi AI.
Satu lagi ciri yang patut diberikan perhatian adalah ciri AI Motion Sensing Capture. Dengan AI Motion Sensing Capture, HONOR 200 Pro mampu menangkap imej yang jelas dan teliti walaupun subjek sedang bergerak pantas. Mula diperkenalkan dalam siri HONOR Magic5, ciri ini membolehkan momen potret yang pergerakan laju seperti menyepak, melompat atau menari ditangkap dengan kejelasan dan ketelitian yang lebih jitu.
Bagi mod potret Harcourt, kami berpendapat bahawa hasil potret yang diambil pada mod ini memberikan imej potret yang sangat baik terutamanya didalam mod Classic (hitam & putih).
Dalam pada itu, kamera selfie HONOR 200 Pro juga adalah satu lagi sensor 50MP namun sedikit mengecewakan mod Harcourt tidak ditawarkan pada sensor ini.
Secara keseluruhanya, HONOR 200 Pro menawarkan anda sebuah pakej kamera kelas flagship yang ternyata memberikan anda hasil gambar yang sangat baik terutamanya menggunakan sensor utama dan sensor telefoto. Sensor ultrawide pada peranti ini boleh dikatakan berada pada tahap memuaskan dan ianya juga disertakan bersama mod makro.
Berikut adalah gambar-gambar yang diambil menggunakan HONOR 200 Pro :
Bateri
HONOR 200 Pro disertakan dengan bateri Silikon Karbon berkapasiti 5,200mAh yang mampu menawarkan anda satu hari penggunaan yang berat.
Selain itu, telefon pintar ini juga membawakan sokongan pengecasan HONOR 100W SuperCharge yang mampu memberikan pengecasan ke tahap 100% didalam masa 45 minit sahaja dan ianya disertakan didalam kotak tanpa sebarang caj tambahan.
Walaubagaimanapun, jika anda ingin menikmati ciri pengecasan tanpa wayar 66W Wireless SuperCharge, pad pengecasan khas ini harus dibeli berasingan namun tiada maklumat samada ianya akan ditawarkan di Malaysia ketika waktu penulisan.
Seterusnya, HONOR juga menyertakan beberapa ciri tambahan untuk meningkatkan jangka hayat bateri telefon pintar ini seperti ciri Smart Charge yang menghadkan pengecasan sehingga 80% sahaja dan Smart Capacity yang akan menghentikan pengecasan sebelum kapasiti maksimum.
Penutup
HONOR 200 Pro boleh dikategorikan sebagai sebuah telefon pintar flagship killer yang tampil dengan rekaan premium, paparan berkualiti dan kebolehan fotografi yang setaraf gred flagship yang turut ditambah dengan ciri potret Harcourt.
Selain itu, HONOR 200 Pro juga menawarkan jangka hayat bateri yang sangat baik dan pengecasan pantas 100W serta pengecasan tanpa wayar 66W adalah bonus yang jarang ditawarkan pada segmen harga ini.
Akhir kata, HONOR 200 Pro adalah telefon pintar flagship estetik AI yang sangat berbaloi untuk dimiliki.
HONOR 200 Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 2,699.