Karya Seni Naga Honor Talents Malaysia Dipamerkan di Ibu Pejabat PBB, New York
Dua karya seni yang dihasilkan oleh pelajar universiti tempatan untuk HONOR Talents telah dipamerkan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat awal bulan ini.
Pelajar Universiti Teknologi MARA, Zyed Hamidi Zainal Abidin berserta pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman, Hoh Sheng Yue dan Sheanne Chin Seng Wei antara 28 pengkarya HONOR Talents terpilih dari pelbagai negara untuk menyertai pameran tersebut.
Pameran bertemakan Dragons Soaring Across Four Seas, Welcoming the Lunar New Year Together telah menghimpunkan karya seni naga masyarakat Cina yang mengetengahkan budaya, warisan, mercu tanda dan mitos setiap negara peserta.
HONOR bersama Kelab Buku Cina PBB, Global Times dan Central Academy of Fine Arts dengan sokongan Misi Tetap Republik Rakyat China ke PBB, telah kerjasama untuk memupuk pemahaman global tentang China melalui pelbagai perspektif pengkarya berbakat.
Karya seni Sheng Yue dan Sheanne berjudul Year of Dragon: Prosperity at Its Peak, adalah inspirasi daripada Yee Sang, hidangan tradisional masyarakat Cina Malaysia yang unik dan disajikan pada sambutan Tahun Baru Cina.
Pelajar Reka Bentuk Grafik dan Multimedia berkenaan ingin memperkenalkan hidangan ‘prosperity toss’ yang berasal dari Seremban ini kepada dunia. Menurut Sheng Yue, pameran ini terbaik untuk memperkenalkan hidangan istimewa tersebut. “Semakin tinggi Yee Sang diangkat, semakin banyak kekayaan dan tuah akan datang. Dalam karya seni kami, naga melempar bahan Yee Sang setinggi Menara KL, mercu tanda popular di Malaysia,” jelas Sheng Yue.
Pada 2022, Sheng Yue, Sheanne, dan rakan sekelas mereka, Yeoh Hui Qi telah memenangi tempat pertama dalam kategori Open Designs, Anugerah HONOR Talents Global Design 2022.
Sementara itu, karya seni Zyed Hamidi, berjudul Soaring in The Sky Together: A Memorial of Understanding and Friendship adalah bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China.
HONOR Talents ditubuhkan pada 2020 sebagai platform jenama HONOR untuk kumpulan belia. Acara ini memperjuangkan pemerkasaan belia dan mencungkil bakat muda di pelbagai bidang melalui pertandingan, selain menyediakan pentas bagi golongan muda untuk mempamerkan bakat mereka.
Pertandingan HONOR Global Design 2023 di bawah HONOR Talents mencatatkan rekod apabila menerima lebih 12,000 penyertaan. Sejak penganjurannya, pertandingan ini telah menerima lebih 25,000 karya seni dari 40 negara dan rantau serta 240 universiti.
Maklumat lanjut mengenai HONOR Talents boleh layari https://www.hihonor.com/global/honor-talents/2022/