ULASAN : Samsung Galaxy S24 Ultra – Premium dengan Titanium, Pintar dengan Galaxy AI
Pengenalan
Jika anda mengikuti perkembangan pasaran telefon pintar, anda pasti maklum bahawa pertumbuhan pasaran sektor ini boleh dikatakan semakin perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Selain itu, penambahbaikan sesuatu model telefon pintar dari satu generasi ke generasi yang lain juga sangat minima kerana teknologi yang digunakan sudah terlalu maju.
Seterusnya, tahun 2024 telah menyaksikan kebanyakkan pengeluar telefon pintar memperkenalkan generasi baharu telefon pintar flagship mereka lebih awal berbanding sebelum ini dan Samsung juga tidak terkecuali.
Samsung Galaxy S24 Series telah dilancarkan secara rasmi hanya beberapa hari lalu dan model yang pasti menarik perhatian semua adalah Samsung Galaxy S24 Ultra.
Walaupun menampilkan beberapa penambahbaikan seperti bingkai titanium, sistem kamera Quad-Tele 200MP dan banyak lagi, penambahbaik terbesar pada generasi baharu Galaxy S Series adalah Galaxy AI.
Untuk merungkai kehebatan telefon pintar flagship terbaru Samsung ini, kami telah menerima unit ulasan Galaxy S24 Ultra didalam warna titanium black yang elegan dan segak.
Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy S24 Ultra yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 6,299.
Reka Bentuk
Rekaan Samsung Galaxy S24 Ultra tidak begitu berbeza jika dibandingkan dengan Galaxy S23 Ultra atau Galaxy S22 Ultra. Ianya tampil dengan rekaan ikonik Galaxy Note dan ini adalah generasi ketiga rekaan ini diadaptasi pada Galaxy S24 Ultra.
Walaubagaimanapun, Samsung Galaxy S24 Ultra menjadi telefon pintar Samsung untuk tampil dengan bingkai yang diperbuat daripada titanium dan ini meningkatkan lagi ketahanan peranti
Selain itu, penggunaan titanium juga memberikan Galaxy S24 Ultra penampilan yang lebih premium sambil mengekalkan ciri penting penarafan kalis air dan habuk IP68. Samsung juga mengekalkan rekaan panel belakang (kini tampil dengan sisi yang rata) bersama kombinasi modul kamera Floating Camera.
Bercakap mengenai pilihan warna yang ditawarkan pada Galaxy S24 Ultra, pengguna boleh memilih dari 7 warna titanium iaitu Titanium Gray, Titanium Black, Titanium Violet, Titanium Yellow, Titanium Blue, Titanium Green dan Titanium Orange.
Selain itu, Galaxy S24 Ultra juga dilengkapi lapisan Gorilla Armor Glass yang ditawarkan secara eksklusif pada telefon pintar ini dan ianya juga meningkatkan ketahanan dan mengurangkan silau sehingga 75% pada pelbagai keadaan cahaya. Ianya juga 4x lebih kalis calar berbanding generasi sebelum ini.
Ini membawa kita kepada bahagian hadapan, Samsung Galaxy S24 Ultra juga menyaksikan syarikat gergasi Korea ini beralih kepada penggunaan paparan yang rata mengikut jejak dua model Galaxy S Series yang lain. Ianya adalah kali pertama didalam tempoh hampir satu dekad, tiada telefon pintar flagship Samsung dengan paparan curved.
Dalam pada itu, paparan yang rata membolehkan S Pen digunakan dengan lebih menyeluruh termasuk pada sisi dan ini juga menjadikan pemasangan filem atau gelas perlindungan skrin lebih mudah.
Ke bahagian sisi, S24 Ultra memiliki butang kelantangan suara dan butang kuasa pada sisi kanan yang mana ianya mempunyai kemasan berkualiti tinggi setimpal dengan status peranti flagship ini. Pada bahagian bawah terdapat slot S Pen, satu potongan untuk pembesar suara stereo, port pengecasan USB-C dan slot SIM serta mikrofon.
Seterusnya, bahagian sisi atas telefon pintar ini juga mempunyai dua lagi mikrofon manakala tiada sebarang slot atau butang pada sisi kiri. Kesemua sisi juga mempunyai jalur antena yang agak minimalistik.
Lebih lanjut, Samsung Galaxy S24 Ultra memiliki berat 232gram bersama ukuran dimensi 162.3 x 79.0 x 8.6mm yang mana ianya adalah lebih rendah dan lebih nipis berbanding Galaxy S24 Ultra namun generasi baharu ini adalah lebih lebar. (Ukuran dimensi Galaxy S23 Ultra adalah 163.34 x 78.1 x 8.9mm).
Sedikit mengejutkan adalah penggunaan bingkai titanium pada S24 Ultra tidak membawa perubahan berat yang ketara kerana telefon pintar ini hanya 2 gram lebih ringan berbanding Galaxy S23 Ultra namun titanium mempunyai ‘feel’ yang sejuk dan sedap dipegang.
Secara keseluruhan, rekaan Samsung Galaxy S24 Ultra mungkin nampak sama dengan S23 Ultra, namun penggunaan titanium dan paparan rata menjadikan telefon pintar ini lebih selesa untuk digunakan.
Skrin Paparan
Samsung Galaxy S24 Ultra menampilkan penggunaan skrin paparan Dynamic AMOLED 2x yang mempunyai saiz yang sama iaitu 6.8-inci dengan resolusi QHD+ (3120 x 1440 piksel) dan kepadatan piksel 501ppi.
Seterusnya, Samsung telah meningkatkan kecerahan maksima skrin ini ke 2,600nits berbanding 1,750nits pada Galaxy S23 Ultra dan ini membolehkan keterlihatan skrin dibawah cahaya matahari yang lebih baik.
Selain itu, Samsung Galaxy 24 Ultra juga memiliki skrin paparan AMOLED LTPO 2 yang bermaksud kadar segar semula telefon pintar ini adalah dinamik antara 1Hz sehingga 120Hz bergantung kepada kandungan pada skrin dan ini memberikan penjimatan bateri yang lebih tinggi.
Lebih-lebih lagi, Samsung Galaxy S24 Ultra adalah telefon pintar pertama pertama dipasaran dan satu-satunya model Galaxy S24 Series untuk hadir dengan gelas keselamatan Gorilla Armor yang dipertingkatkan untuk memberikan ketahanan tertinggi terhadap kerosakan dan calar . Ia juga berupaya mengurangkan kesan pantulan sehingga 75% dalam pelbagai keadaan pencahayaan untuk menjamin pengalaman menonton yang jelas lagi selesa.
Dalam pada itu, Samsung juga telah meningkatkan tindak balas sentuhan skrin sebanyak 12%, ini membolehkan pemprosesan input dan tindak balas yang lebih pantas semasa bermain permainan video. Tidak lupa juga sensor capjari ultrasonic terbina dalam skrin yang pantas dan efisien.
Selain itu, Galaxy S24 juga memiliki bezel yang lebih nipis yang simetri pada setiap bahagian dan penggunaan paparan flat juga bermaksud anda dapat memaksimakan setiap inci skrin samada melalui sentuhan atau S Pen.
Pada bahagian tetapan skrin, Samsung juga menyertakan ciri Eye Comfort Shield yang melindungi mata daripada cahaya biru dan didalam tetapan ini terdapat pilihan untuk menetapkanya sebagai adaptive atau custom mengikut kehendak pengguna. Tetapan Enhanced Comfort turut disertakan dan ia melaras tona warna dan kontras skrin untuk penggunaan yang lebih selesa pada waktu malam.
Satu lagi tetapan untuk skrin adalah ciri Adaptive colour tone yang melaras warna mengikut keadaan cahaya persekitaran.
Bercakap mengenai tetapan kadar segar semula, Samsung menawarkan dua tetapan iaitu Adaptive yang menawarkan pengguna kadar segar semula dinamik antara 1-120Hz mengikut kandungan pada skrin manakala Standard akan menetapkan kadar segar semula pada 60Hz. Resolusi skrin juga boleh ditetapkan antara HD, FHD+ atau QHD+.
Dalam pada itu, ciri Always On Display kini ditambah baik dimana anda boleh menetapkanya untuk memaparkan wallpaper atau seperti sebelum ini.
Secara keseluruhanya, paparan yang digunakan pada Galaxy S24 Ultra adalah antara yang terbaik dipasaran dan Samsung sudah pastinya menggunakan teknologi yang terbaik keluaran Samsung Display untuk peranti flagship mereka.
Pemproses
Jika tahun lalu Samsung telah menggunakan cipset Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy pada kesemua model Galaxy S Series, Samsung telah menggunakan pendekatan berbeza pada siri telefon pintar flagship mereka tahun ini.
Samsung Galaxy S24 Ultra akan tampil secara eksklusif dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 manakala Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+ pula hadir dengan cip Exynos 2400 dan Snapdragon 8 Gen 3 yang mana ianya bergantung kepada pasaran. Bagi pasaran Malaysia, dua adik beradik S24 Ultra ini menerima versi Exynos 2400.
Di atas kertas Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy membawakan peningkatan drastik apabila dibandingkan dengan S23 Ultra (Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy) dimana pemprosesan NPU adalah 41% lebih baik dengan AI, prestasi GPU meningkat 30% dan ianya turut membawakan ciri Ray Tracing untuk bayang-bayang hiper-realistik dan pantulan pada permainan video manakala prestasi CPU adalah 20% lebih baik.
Selain itu, Samsung Galaxy S24 Ultra tampil dengan 12GB RAM bersama tiga storan dalaman iaitu 256GB, 512GB dan 1TB. Ciri RAM Plus juga disertakan dan ini memberikan sehingga 8GB tambahan RAM maya yang pasti anda tahu kegunaanya.
Tahun ini, Galaxy AI adalah fokus utama adalah kecerdasan buatan yang dibawakan oleh Samsung adalah antara yang paling berkuasa pada industri telefon pintar. AI bukanlah sesuatu yang baharu, malah terdapat beberapa ciri Galaxy AI pada Google Pixel 8 namun ianya tidak menyeluruh seperti yang disampaikan oleh Samsung.
Galaxy AI memperkenalkan kecerdasan yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti setiap aspek kehidupan, terutamanya peranan telefon pintar yang paling asas iaitu komunikasi.
Ciri pertama Galaxy AI yang boleh kita perkatakan adalah Live Translate, iaitu suatu penyelesaian penterjemahan suara dan teks masa nyata dua hala,bagi panggilan telefon terbina pada aplikasi panggilan . Pengguna tidak memerlukan sebarang aplikasi pihak ketiga dan AI terbina akan memastikan perbualan pengguna adalah selamat dengan sepenuhnya.
Ciri ini sudah pastinya berguna apabila anda menghadapi kekangan bertutur bahasa asing, samada semasa berbual dengan pelajar atau rakan sekerja lain dari luar negara selain mempermudahkan proses membuat tempahan semasa bercuti di negara lain.
Selain itu, ciri Interpreter pula membolehkan perbualan diterjemahkan dengan serta-merta menerusi transkripsi teks yang tertera pada paparan skrin terpisah supaya orang yang berdepan boleh saling memahami. Ia juga berfungsi tanpa data selular atau Wi-Fi.
Untuk mesej dan aplikasi lain, Chat Assist boleh membantu menyempurnakan nada perbualan untuk memastikan komunikasi kedengaran seperti yang diinginkan: seperti sapaan sopan kepada rakan sekerja ataupun frasa pendek yang menarik untuk kapsyen media sosial.
Dalam pada itu, Samsung juga boleh menterjemahkan mesej secara langsung ke dalam 13 bahasa dan ianya turut disokong pada aplikasi permesejan seperti WhatsApp dan banyak lagi.
Beralih kepada ciri Note Assist dalam Samsung Notes, ianya menampilkan ringkasan yang dihasilkan oleh AI, penciptaan templat yang mengolah nota mengikut format tersedia, dan mengarang muka nota untuk memudahkan imbasan maklumat.
Untuk rakaman suara, ciri Transcript Assist akan menggunakan kecerdasan buatan dan teknologi Speech-to-Text untuk mentranskrips, merumus, dan juga menterjemahkan rakaman. Ciri ini juga dapat membezakan jika terdapat lebih dari satu orang yang bercakap.
Lebih lanjut, Samsung Galaxy S24 Series juga menjadi telefon pintar pertama didunia untuk hadir dengan ciri Circle to Search yang mana sesuai dengan namanya, anda boleh memulakan carian dengan menekan lama butang utama, pengguna boleh membulatkan sesuatu yang hendak dicari untuk melihat hasil carian berkualiti tinggi. Ianya lebih mudah daripada carian search by image yang memerlukan anda melakukan screenshot dan memuatnaik gambar tersebut.
Bercakap mengenai kerjasama dengan Google, Samsung telah mengesahkan bahawa Galaxy S24 Series akan menerima sehingga 7 kemaskini Android dan 7 tahun kemaskini keselamatan yang menjadikanya setaraf dengan apa yang ditawarkan pada peranti Google Pixel.
Selain daripada itu, Samsung Galaxy 24 Ultra di Malaysia juga disertakan dengan sokongan 5G, Wi-Fi 7, dual-band GPS, Bluetooth 5.3 dan UWB.
Ke bahagian antaramuka, Samsung Galaxy S24 Ultra tampil dengan One UI 6.1 yang berasaskan Android 14 dan kematangan Samsung didalam penawaran UI yang memenuhi keperluan penggunaan jelas untuk dirasai. Ianya sama seperti generasi One UI yang lain namun penambahbaikan dari segi visual dan dalaman telah diberikan.
Satu lagi aspek yang akan memastikan Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy berfungsi pada pretasi terbaik adalah sistem penyejukan dan Galaxy S24 Ultra mempunyai sistem penyejukan yang dioptimumkan dengan ruang wap yang hampir dua kali ganda (1.9x) lebih besar berbanding pada Galaxy S23 Ultra untuk mengawal suhu peranti sambil memaksimumkan kuasa prestasi
Tidak dilupakan, S Pen pada Galaxy S24 Ultra boleh dikatakan langsung tidak disebut pada Unpacked tahun ini namun pengalaman menggunakan stylus ikonik Samsung ini sudah pastinya lebih baik dengan paparan flat dan ianya tampil dengan semua ciri S Pen seperti pada generasi sebelum ini.
Secara keseluruhan, penggunaan cip flagship terbaru dipasaran yang dipertingkatkan prestasi untuk Galaxy sudah pastinya meletakkan S24 Ultra sebagai antara telefon pintar paling berkuasa dipasaran dan ianya dijangka akan kekal pada kedudukan ini bagi sepanjang tahun 2024.
Kamera
Samsung Galaxy S24 Ultra menampilkan sistem kamera yang hampir sama seperti Galaxy S23 Ultra namun terdapat penambahbaikan ketara yang telah dilakukan oleh syarikat ini.
Menariknya, kami kagum dengan aplikasi kamera pada Galaxy S24 Ultra dimana setiap operasi kamera kelihatan lebih lancar tanpa sebarang lag atau isu yang boleh dilihat pada model-model sebelum ini.
Samsung Galaxy S24 Ultra menampilkan teknologi ProVisual Engine yang dikuasan AI yang meningkatkan kebolehan menangkap imej dan memaksimumkan kebebasan pengguna untuk lebih kreatif.
Nikmati pencahayaan tinggi walaupun didalam keadaan malap dengan saiz piksel Galaxy S24 Ultra yang lebih besar, iaitu 1.4 μm, di mana ianya 60% lebih besar berbanding dengan model sebelumnya.
Samsung Galaxy S24 Ultra menampilkan sistem kamera quad-tele yang menampilkan sensor 200MP dengan aperture f/1.7 yang sedikit berbeza berbanding sensor kamera 200MP yang digunakan pada Galaxy S23 Ultra. Sensor ini memiliki OIS dan 85° FoV untuk hasil gambar yang boleh dikatakan antara yang terbaik dipasaran dan dijangka kekal terbaik sepanjang tahun 2024.
Sensor Ultrawide
Galaxy S24 Ultra masih mewarisi sensor ultra wide 12MP, yang sama seperti pada Galaxy S22 Ultra iaitu dengan aperture f/2.2 dan bidang pandangan 120° dan ianya juga mempunyai pemfokusan auto.
Seperti pada generasi sebelum ini, sensor ultrawide Galaxy S24 Ultra ini berupaya memberikan anda hasil gambar kanta lebar yang cukup baik.
Sensor Telefoto
Selain teknologi ProVisual Engine yang dikuasan AI , sensor telefoto yang digunakan pada Galaxy S24 Ultra adalah antara perubahan terbesar pada sistem kamera telefon pintar flagship Samsung ini.
Samsung telah menggunakkan sensor periskop telefoto 50MP yang menawarkan 5x zoom optikal menggantikan sensor telefoto periskop 12MP yang menawarkan 10x zoom optikal. Ini bermaksud zoom 10x yang ditawarkan pada Galaxy S24 Ultra bukan lagi zoom optikal namun Samsung yakin penggunaan sensor lebih besar mampu memberikan zoom 10x yang setaraf seperti zoom optikal.
Bagi kami, sensor 50MP dengan zoom optikal 5x adalah lebih sesuai untuk fotografi peranti mudah alih kepada penggunaan zoom pada 10x boleh dikatakan tidak mempunyai terlalu banyak kegunaanya kerana rata-rata pengguna gemar mengambil gambar pada jarak sederhana sahaja. Dengan sensor yang lebih berkuasa, kualiti zoom optikal 5x ini juga lebih baik dan Samsung masih mampu menawarkan anda hasil imej pada 10x zoom yang setaraf zoom optikal.
Tidak lupa, Samsung juga menyertakan satu lagi sensor telefoto yang menawarkan 3x zoom dan ianya adalah sensor yang sama seperti pada generasi sebelum ini.
Fotografi Makro
Samsung Galaxy S24 Ultra juga menyokong pengambilan gambar makro yang mana aplikasi kamera akan mengesan keperluan fotografi makro apabila sensor berada dekat dengan sesuatu objek namun pastikan Focus enhancer diaktifkan.
Hasil gambar makro dari Samsung Galaxy S24 Ultra ternyata sangat menarik dan anda boleh mengambil gambar makro yang sangat dekat dengan objek yang diambil.
Nightography
Selain itu, keupayaan Nightography juga trlah dipertingkatkan, foto dan video yang dirakam dengan Galaxy S24 Space Zoom kini tampil lebih cerah dalam sebarang keadaan, termasuk juga gambar atau rakaman yang telah dizum melalui sensor telefoto 50MP 5x yang baharu
Selfie
Bercakap mengenai kamera selfie, Samsung Galaxy S24 Ultra tampil dengan sensor kamera 12MP yang mana ianya adalah sama seperti pada generasi sebelum ini dan ianya menawarkan hasil gambar selfie yang cukup baik walaupun pada waktu malam khususnya dengan ISP yang baharu.
Videografi
Selain itu, Samsung juga telah meningkatkan kemampuan videografi Samsung Galaxy S24 Ultra dimana rakaman video 8K pada kadar 30fps, 4K pada kadar 60fps. Paling mencuri tumpuan adalah Samsung Galaxy S24 Ultra kini menyokong rakaman video slow-mo pada kadar 120fps yang boleh dikatakan mampu memberikan anda hasil video slow-motion terbaik dipasaran.
Selain itu, pengguna juga diberikan pilihan untuk memperlahakan rakaman video pada aplikasi galeri melalui ciri Instant Slow-mo baharu yang akan menjana bingkai tambahan berdasarkan pergerakan bagi memperlahankan video tersebut untuk penampilan yang lebih terperinci.
Galaxy AI pada Kamera
Untuk pengoptimuman yang lebih mudah dan lebih cekap, ciri Edit Suggestion yang berasaskan Galaxy AI untuk mencadangkan suntingan yang paling sesuai untuk setiap foto. Untuk memberikannya kawalan kreativit sepenuhnya kepada pengguna, ciri Generative Edit boleh mengisi bahagian latar belakang imej dengan AI generatif.
Bagi gambar yang tercondong, AI akan mengisi semula sempadan untuk mendatarkan imej tersebut. Apabila objek perlu digerakkan sedikit untuk berada dalam kedudukan yang diingini, AI membolehkan pengguna melaraskan kedudukan subjek tersebut dan kemudiannya mengisi semula latar belakang.
Selain itu, gambar Super HDR kini juga boleh dikongsi pada aplikasi Instagram yang memanfaatkan dengan sepenuhnya sistem kamera berkuasa AI Galaxy. Instagram Feed dan Reels, foto dan video akan dipaparkan dalam Super HDR dengan kecerahan, warna dan kontras yang diperbetulkan mengikut analisis bahagian imej yang terpilih.
Bateri
Samsung Galaxy S24 Ultra mengekalkan kapasiti bateri yang sama seperti generasi sebelum ini iaitu 5,000mAh dan Samsung telah mengekalkan kapasiti yang sama pada rangka yang lebih nipis dan sedikit ringan.
Walaubagaimanapun, dengan penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy dan beberapa penambahbaikan lain, jangka hayat bateri pada Samsung Galaxy S24 Ultra adalah lebih baik iaitu hampir 15% lebih baik berbanding Galaxy S23 Ultra.
Bercakap mengenai pengecasan pantas pada Samsung Galaxy S24 Ultra, ianya disertakan dengan teknologi pengecasan Super Fast Charging 2.0 pada kadar 45W. Umum diketahui bahawa Samsung tidak menyertakan sebarang adapter pengecasan didalam kotak namun kabel USB-C to USB-C disertakan.
Selain pengecasan berwayar, Samsung Galaxy S24 Ultra juga tampil dengan pengecasan tanpa wayar Fast Wireless Charging 2.0 pada kadar 15W seperti sebelum ini dan tidak lupa ciri Wireless Power Share.
Penutup
Samsung Galaxy S24 Ultra adalah telefon pintar yang akan merevolusikan bagaimana komunikasi tanpa batasan menjadi realiti dengan kuasa AI.
Galaxy AI pada Samsung Galaxy S24 Series adalah bukti bahawa teknologi AI menjadi semakin berkuasa dan kami tidak sabar untuk melihat potensinya pada generasi yang akan datang.
Selain itu, penggunaan titanium, cip Snapdragon 8 Gen 3 dan penambahbaikan kamera juga meletakkan telefon pintar flagship Samsung ini sebagai flagship terbaik setakat ini dan kemampuanya untuk menjadi yang terbaik bagi sepanjang tahun 2024 adalah sesuatu yang tidak boleh kami nafikan.
Samsung Galaxy S24 Ultra kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 6,299 namun anda pasti tidak mahu melepas tawaran hebat yang menawarkan eBaucar Samsung bernilai RM 500, gandaan storan dalaman percuma bernilai RM 500, diskaun PWP sehingga RM 800 bagi pembelian Galaxy Tab, Galaxy Watch atau Galaxy Buds yang terpilih dan potongan sehingga RM 650 jika anda ‘trade in’ peranti lama anda. Jangan lupa guna eBaucar bernilai RM 400 yang diterima jika anda membuat pendaftaran minat.
Promosi pra-tempahan ini akan ditawarkan dari 18 Januari sehingga 6 Februari 2024 atau sementara stok masih ada.
Pra-tempah Samsung Galaxy S24 Ultra di SINI