Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy Tab S9 FE – Tablet Premium Berpatutan dengan S Pen dan Pakej Hiburan yang memuaskan

Pengenalan

Samsung Galaxy Fan Edition Series yang dilancarkan buat julung kali menawarkan portfolio produk yang menyeluruh daripada telefon pintar, earbuds dan tablet.

Menariknya, Galaxy Fan Edition menawarkan pengguna pakej peranti yang premium pada harga lebih berpatutan dan satu lagi produk didalam Fan Edition yang patut diberi perhatian adalah Galaxy Tab S9 FE.

Selain itu, Samsung boleh dikatakan mendominasi pasaran tablet Android sejak beberapa tahun dan Galaxy Tab S9 FE mungkin akan mengukuhkan kedudukan Samsung sebagai peneraju pasaran tablet.

Tanpa membazir ‘perkataan’, jom kita terus ke ulasan Samsung Galaxy Tab S9 FE yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 2,099.

Reka Bentuk

Rekaan tablet Samsung Galaxy Tab S9 FE adalah hasil daripada evolusi beberapa generasi rekaan tablet Samsung dan Tab S9 FE mewarisi rekaan yang sama seperti Galaxy Tab S9.

Samsung Galaxy Tab S9 FE menampilkan rekaan berasaskan kerangka aluminium yang nipis dengan beberapa pilihan warna seperti Lavender, Gray, Silver dan Mint seperti unit ulasan kami.

Samsung Galaxy Tab S9 FE Malaysia

Bercakap mengenai sisi tablet ini, terdapat jalur antena yang turut melalui bahagian atas dan bawah panel belakang, Ianya juga menempatkan butang kuasa yang memiliki sensor capjari dan butang kelantangan suara pada sisi kanan. Pada bahagian bawah pula terdapat slot USB-C dan grill pembesar suara.

Dalam pada itu, ketika tablet ini berada pada posisi landskap, terdapat 3-pin untuk penyambungan papan kekunci pintar Samsung pada sisi bawah manakala sisi atas juga mempunyai kawasan magnetik untuk melekapkan S-Pen yang ditawarkan percuma didalam kotak pembelian.

Seterusnya, Samsung Galaxy Tab S9 FE juga memiliki penarafan kalis air dan habuk IP68 dan tablet ini mempunyai berat sekitar 523 gram dengan ketebalan 6.5mm sahaja.

Secara keseluruhan, Tab S9 FE adalah tablet yang sangat ergonomik untuk digunakan kerana profilnya nipis  namun masih tampil dengan imej premium seperti Galaxy Tab S9 Series.

Skrin Paparan

Samsung Galaxy Tab S9 FE tampil dengan skrin paparan  berukuran 10.9-inci yang menawarkan kadar segar semula 90Hz. Ianya adalah panel TFT yang mungkin tidak setaraf seperti apa yang ditawarkan pada panel AMOLED namun panel LCD seperti pada Tab S9 FE masih mampu menawarkan anda pengalaman visual yang baik.

Selain itu, panel ini memiliki resolusi 2304 x 1440 piksel yang turut disertakan dengan kadar penyegaran dinamik yang disesuaikan mengikut kandungan sehingga kadar 90Hz. Panel skrin juga memiliki ciri Vision Booster yang meningkatkan keterlihatan pada persekitaran luar dibawah cahaya matahari terik dengan mengoptimumkan warna dan kontras terutamanya pada bahagian skrin yang memaparkan warna gelap.

Walaubagaimanapun, terdapat keadaan dimana ciri adaptive brightness tidak mampu menawarkan kadar kecerahan yang diperlukan untuk kami lihat peranti lihat dengan jelas.

Walaupun tidak sehebat panel AMOLED, paparan Tab S9 FE dilihat sangat memadai bagi pengguna menikmati kandungan hiburan dan kerja pada visual yang memuaskan dan mendalam.

Pemproses

Samsung Galaxy Tab S9 FE dikuasakan dengan cip Exynos 1380 yang ditawarkan didalam dua konfigurasi iaitu 6GB RAM/128GB storan dalaman atau 8GB RAM/256GB storan dalaman.

Cip Exynos 1380 mungkin tidak berada didalam senarai cipset terbaik daripada Samsung namun ianya dilihat mampu menjalankan kesemua tugas harian pengguna tanpa sebarang masalah.

Dari segi perisian pula, Tab S9 FE menjalankan antaramuka One UI 5 yang berasaskan Android 13 dan ianya menawarkan ekosistem yang hampir sama dengan apa yang ditawarkan pada telefon pintar Galaxy.

Selain daripada itu, ia bukan sahaja menyokong pengambilan nota tradisional; ia adalah sebuah hub terbaik untuk menunjukkan kreativiti anda. Bayangkan anda sedang menghadiri kuliah dalam talian. Dengan S pen dan ciri terbina Tab S9 FE, anda boleh mencatat nota dengan cara yang sesuai dengan gaya pembelajaran unik anda. Sama ada peta minda yang berwarna-warni, gambar rajah yang kompleks atau hanya mencatatkan perkara penting dengan pelbagai pilihan warna, anda mempunyai kebebasan kreatif untuk membuat nota anda bermaklumat dan menarik secara visual.

Secara keseluruhan, prestasi Tab S9 FE ini adalah sangat memuaskan bagi rata-rata pengguna yang mencari sebuah tablet yang mampu menawarkan anda pengalaman multimedia dan kerja yang memuaskan tanpa memerlukan bajet yang tinggi.

Bateri

Samsung Galaxy Tab S9 FE dilengkapi bateri berkapasiti 8,000mAh yang dilihat mencukupi untuk segala keperluan harian anda dan ianya turut disertakan dengan teknologi pengecasan pantas yang mampu mengecas penuh bateri ini didalam waktu yang singkat.

Selain itu, ianya juga boleh digunakan untuk mengecas peranti Galaxy yang terpilih menggunakan kabel USB-C pada kadar 15W dan senarai model yang boleh dicaj adalah Galaxy Z Flip4, Galaxy Z Fold4, Galaxy S23, Galaxy S22, Galaxy A53, Galaxy A33 dan Galaxy Tab S8 series.

 

Cara untuk mengecas S Pen pada Galaxy Tab S9 FE

Cara mengecas S Pen

Anda pasti tertanya-tanya bagaimana untuk mengecas S  Pen yang disertakan didalam kotak kerana ianya sebarang slot untuk pengecasan. Jawapanya adalah, ianya perlu diletakkan pada bahagian belakang yang berhampiran dengan kamera. Untuk melihat peratusan pengecasan S Pen , tekan butang S Pen sehingga kadar peratusan bateri dipaparkan pada skrin.

Penutup

Samsung Galaxy Tab S9 FE adalah sebuah tablet yang menawarkan anda kombinasi peranti hiburan dan kerja yang seimbang dan premium pada harga lebih berpatutan.

Tidak ramai pengguna yang memerlukan tablet berkuasa tinggi seperti Galaxy Tab S9 yang mana kehadiran Galaxy Tab S9 FE atau Galaxy Tab S9 FE+ kini memberikan pengguna satu tablet yang masih didalam kategori flagship namun pada harga yang mesra poket.

Samsung Galaxy Tab S9 FE kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 2,099 dan anda boleh mendapatkanya di Samsung Experience Store atau Samsung Online Store.

Samsung Galaxy Tab S9 FE kini ditawarkan di Malaysia dengan promosi hebat seperti dibawah sehingga 30 November 2023  :

  • percuma Smart Book Cover bernilai RM 389
  • diskaun sehingga 30%  pembelian dengan pembelian (PWP) bagi Samsung Care+, Galaxy Tab Series, Galaxy Buds Series yang terpilih dan Aksesori Samsung.
  • Daftar sebagai #GalaxyTroop dan dapatkan diskaun sebanyak RM 300
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.