Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HONOR X9b 5G – Kalau Power cuba pecahkan

Honor X9b 5G MalaysiaPengenalan

Telefon pintar adalah satu peranti yang kini mempunyai pelbagai fungsi melebihi tujuan asal ianya dilancarkan iaitu sebagai alat komunikasi.

Sehubungan dengan itu, kita mungkin menghabiskan sekurang-kurangnya 5-6 jam sehari menggunakan telefon pintar dan ianya akan bersama anda kemana sahaja. Ini bermaksud telefon pintar sentiasa terdedah kepada risiko jatuhan dan keretakan skrin atau panel belakang yang tidak disengajakan.

Atas sebab ini penggunaan gelas perlindungan tambahan dan selongsong@casing adalah satu kemestian namun ianya mungkin menjadikan peranti menjadi berat dan tidak lagi kelihatan premium.

Jika anda sedang mencari sebuah telefon pintar yang dapat memberikan perlindungan maksima tanpa sebarang aksesori tambahan, HONOR X9b 5G adalah telefon pintar yang patut anda beli kerana ianya adalah telefon pintar yang tampil dengan jolokan All-angle Ultra Tough.

Ini adalah ulasan HONOR X9b 5G yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,499.

Reka Bentuk

HONOR X9b 5G ini mempunyai rekaan yang sama seperti HONOR X9a 5G yang dilancarkan pada awal tahun ini yang bermaksud ianya tampil premium dan lebih penting tahan lasak.

HONOR X9b 5G tampil dengan reka bentuk skrin yang melengkung pada kedua-dua sisi yang mana rekaan skrin ini biasanya  digunakan pada model premium namun ianya mungkin tidak diminati ramai kerana kesukaran untuk menggunakan gelas perlindungan. Walaubagaimanapun, alasan ini tidak boleh digunapakai pada HONOR X9b 5G kerana skrin ini adalah sangat tahan lasak.

HONOR telah menyertakan teknologi gelas keselamatan Ultra-Bounce Anti-Drop yang memberikan pengguna ketenangan minda daripada sebarang insiden yang mungkin menyebabkan skrin melengkung ini retak atau pecah.

Bercakap mengenai panel belakang HONOR X9b 5G ini, ianya tampil dengan modul kamera gergasi seperti pada HONOR Magic5 Pro  dan ianya terdapat penjenamaan kamera Matrix.

Selain itu, HONOR X9b 5G tampil dengan kombinasi kerangka yang diperbuat daripada keluli dengan kemasan berwarna krom dan panel belakang yang diperbuat daripada plastik dan ianya turut menampilkan penarafan IP54.

Seterusnya, HONOR X9b 5G ini akan ditawarkan didalam tiga kemasan warna iaitu Sunrise Orange, Titanium Silver dan Midnight Black.

Pada bahagian sisi kanan, HONOR X9b 5G mempunyai butang kuasa dan butang pelaras kelantangan bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat slot SIM, slot USB-C, satu mikrofon dan gril pembesar suara mono.

Bercakap mengenai dimensi pula, HONOR X9b 5G tampil dengan ukuran dimensi 163.6 x 75.5 x 7.98mm manakala berat adalah 185 gram iaitu 10 gram lebih berat berbanding HONOR X9a 5G.

Skrin Paparan

HONOR X9b 5G menampilkan skrin paparan yang terbukti sebagai paparan yang mempunyai ketahanan daripada rintangan jatuh yang terkemuka dalam industri

Ini menjadi realiti apbila paparan HONOR X9b menggabungkan teknologi Anti-Drop HONOR Ultra-Bounce.

Hasilnya, HONOR X9b 5G telah menerima penarafan Lima Bintang SGS dan ianya merupakan telefon pintar pertama didunia untuk menerima pensijilan sedemikian.

Seterusnya, paparan Anti-Drop HONOR Ultra-Bounce menggunakan teknologi kusyen termaju menggunakan bahan yang baru dibangunkan, yang meningkatkan kapasiti penyerapan hentakan sehingga 1.2 kali lebih baik, memastikan ketahanan yang terbaik walaupun dijatuhkan dari ketinggian 1.5 meter.

Dalam pada ituX HONOR X9b 5G tampil dengan skrin paparan OLED Curved berukuran 6.78-inci yang mempunyai resolusi 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz.

Selain itu, panel OLED yang digunakan oleh HONOR X9b 5G adalah paparan yang menyokong 1.07 bilion warna dengan liputan gamut warna DCI-P3 100%.

Seterusnya, skrin paparan HONOR X9a 5G juga memiliki teknologi 1920Hz PWM dimming , Low Blue Light, Dynamic Dimming, dan Circadian Night Display untuk perlindungan dari ketegangan mata yang maksimum.

Selain itu, panel skrin HONOR X9b 5G juga memiliki kepadatan piksel 429ppi, kecerahan maksima 1200nits, dan sensor capjari terbina dalam skrin.

Untuk ketenangan minda tambahan, HONOR juga menjadi syarikat pertama untuk menawarkan gantian skrin dan panel belakang percuma untuk tempoh 365 hari dan ini membuktikan bahawa HONOR amat yakin dengan ketahanan skrin telefon pintar ini.

Secara keseluruhan, penggguna akan disajikan dengan pengalaman visual yang sangat premium setara flagship dengan skrin paparan Retina Resolution Display yang mempunyai resolusi 1.5K dan kecerahan sehingga 1,200nits.

Pemproses

HONOR X9b dilengkapi dengan cipset Snapdragon 6 Gen 1 yang dilengkapi dengan CPU Qualcomm Kryo dan GPU Adreno yang masing-masing adalah sehingga 40% dan 35% lebih pantas berbanding  pendahulunya dan ini turut memberikan prestasi pemprosesan AI yang lebih baik. HONOR adalah syarikat pertama untuk menggunakan cipset 4nm terbaru daripada Qualcomm ini.

Selain itu, HONOR X9b 5G ini juga tampil dengan antaramuka MagicOS 7.2 yang terbaharu berasaskan Android 13, X9b 5G turut menyediakan akses kepada pelbagai ciri yang dipertingkatkan dan diperibadikan, seperti HONOR Docs Suite yang membolehkan menikmati pengalaman kerja jarak jauh yang lebih pintar dan mudah.

Dalam pada itu, X9b 5G juga disertakan dengan 12GB RAM (LPDDR4X) bersama teknologi HONOR RAM Turbo yang memberikan tambahan 8GB RAM untuk pembukaan lebih banyak aplikasi dilatar belakang tanpa sebarang lag. Ianya juga memiliki storan dalaman 256GB jenis UFS 3.1

Penggunaan cipset 4nm terbaru daripada Qualcomm ini membolehkan HONOR X9b 5G menawarkan pengguna sebuah telefon pintar yang bukan hanya mampu menawarkan prestasi yang stabil malah ianya turut berkeupayaan untuk menyokong permainan video yang memerlukan kuasa pemprosesan lebih tinggi.

Kamera

HONOR X9b 5G dilengkapi dengan tetapan tri-kamera yang menggunakan terdiri daripada satu sensor utama 108MP 1/1.67″, satu sensor ultrawide 5MP dan satu sensor makro 2MP.

Di atas kertas, kamera HONOR X9b 5G ini mampu memberikan anda prestasi yang agak mencukupi bagi peranti kelas pertengahan dan ternyata kualiti gambar yang terhasil dari telefon pintar ini tidak mengecewakan kami.

Kami berpendapat sensor utama HONOR X9b 5G mampu boleh mengambil gambar dengan baik namun prestasi dua lagi sensor yang disertakan adalah tidak begitu mencapai kepuasan.

Selain itu, HONOR X9b 5G juga dilengkapi kamera selfie 16MP yang dilihat mencukupi untuk memenuhi keperluan selfie pengguna yang boleh digunakan untuk memuatnaik ke laman media sosial anda.

Berikut adalah hasil gambar dari Honor X9b 5G :

Bateri

HONOR X9b 5G menampilkan kapasiti bateri terbesar didalam kelas harganya iaitu 5,800mAh dan ianya berjaya dimuatkan pada kerangka yang nipis dan premium.

Bersama bateri 5,800mAh, telefon pintar ini juga membawakan sokongan pengecasan pantas 33W dan ianya juga memiliki  pengiktirafan Gold Label daripada DXOMARK yang menyokong penggunaan 3 hari untuk kerja, bermain dan hiburan tanpa gangguan semasa dalam perjalanan.

Dengan satu pengecasan penuh, HONOR X9b menawarkan anda tontonan video sehingga 19 jam, 12 jam permainan atau 22 jam pelayaran laman media sosial.

Akhir sekali, bateri HONOR X9b 5G ini juga akan mengekalkan 80% kapasitinya walaupun selepas 1,000 kitaran pengecasan, menjadikannya salah satu bateri peranti yang paling tahan lama di pasaran.

Penutup

HONOR X9b 5G telah membuktikan bahawa sebuah telefon pintar harus mempunyai ketahanan tinggi yang bukan hanya eksklusif pada model lasak. HONOR X9b 5G juga menjadi contoh terbaik bahawa teknologi perlindungan telefon pintar sudah maju dan kami sudah pastinya mahu melihat lebih banyak pengeluar mengikut jejak langkah HONOR ini.

HONOR X9b 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga  RM 1,499 dan pembeli akan turut menerima hadiah bernilai sehingga RM 978 – termasuk Penggantian Skrin hadapan & panel belakang dalam tempoh 365 Hari, HONOR CHOICE Earbuds X5 dan HONOR CHOICE MOECEN Band.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.