ULASAN : HUAWEI Mate 50 Pro – Reka Bentuk Klasik dengan Teknologi Pengimejan XMAGE
Pengenalan
Pelancaran telefon pintar HUAWEI adalah sesuatu yang pasti mendapat perhatian khususnya dikalangan peminat telefon pintar HUAWEI yang sinonim dengan kemajuan teknologi dan kemampuan fotografi yang luar biasa.
Telefon pintar HUAWEI Mate Series yang kembali selepas tidak dilancarkan sejak dua tahun lalu kini telah berusia hampir 10 tahun sejak model pertama dilancarkan dan tahun ini HUAWEI mempertaruhkan HUAWEI Mate 50 dan HUAWEI Mate 50 Pro.
HUAWEI Mate 50 Series telah dilancarkan di China pada bulan September yang lalu dan ianya kini bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Pihak HUAWEI Malaysia telah memberikan kami akses awal kepada HUAWEI Mate 50 Pro yang membolehkan kami melakukan ulasan komprehensif yang tidak kurang eksklusif kepada pembaca www.mobilefokus.com.
Buat masa ini kami masih belum mempunyai sebarang maklumat mengenai harga jualan HUAWEI Mate 50 dan HUAWEI Mate 50 Pro namun apa yang kami boleh umumkan adalah pra-tempahan kini telah dibuka dengan bayaran deposit RM 1 sahaja.
Tanpa membuang masa, kita teruskan dengan ulasan HUAWEI Mate 50 Pro yang akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Reka Bentuk
HUAWEI Mate 50 Pro tampil didalam reka bentuk yang sangat ‘HUAWEI’ yang mana ianya mempunyai rekaan yang hampir sama seperti telefon pintar HUAWEI yang lain terutamanya Mate 40 yang dilancarkan pada tahun 2020.
Tumpuan sudah pastinya diberikan kepada rekaan panel belakang HUAWEI Mate 50 Pro yang diperbuat daripada gelas dengan kemasan yang berkilat. Ikon utama pada panel belakang ini adalah modul kameranya yang menampilkan teknologi kamera terbaru syarikat ini iaitu XMAGE.
HUAWEI menamakan reka bentuk modul kamera ini sebagai Space Ring Design yang mana ianya tampil dengan rekaan yang simetri . Untuk memberikan pengguna pengalaman yang lebih premium, modul kamera ini juga tampil dengan gelung berwarna krom dengan ukiran istimewa yang dikenali sebagai Clous de Paris.
Ini jelas membuktikan bahawa HUAWEI Mate 50 Pro adalah sebuah produk dengan ketukangan yang eksklusif dan amat jarang untuk dilihat pada telefon pintar.
Bercakap lebih lanjut tentang panel belakang ini, ianya ternyata agak mudah untuk mempunyai kesan capjari namun HUAWEI juga menyertakan satu bekas silikon untuk memberikan perlindungan tambahan kepada telefon pintar ini.
Unit ulasan kami hadir didalam warna Black dan dua lagi warna yang ditawarkan adalah Silver dan Orange (kulit vegan) yang eksklusif pada HUAWEI Mate 50 Pro Kunlun Edition.
Telefon Pintar HUAWEI Mate 50 Pro juga tampil dengan pensijilan IP68 yang bermaksud telefon pintar ini boleh digunakan pada kedalaman sehingga 6 meter (30 minit).
Bercakap mengenai rangka HUAWEI Mate 50 Pro ini, ianya diperbuat daripada keluli yang menyamai warna peranti dan terdapat butang kuasa dan kelantangan bunyi pada sisi kanan yang bermaksud tiada sebarang butang pada sisi kiri.
Pada bahagian bawah pula, terdapat slot SIM, slot USB-C dan gril pembesar suara stereo dengan HUAWEI HISTEN.
Secara keseluruhan, HUAWEI Mate 50 Pro ternyata berada didalam kelas yang tersendiri dari rekaan dan ianya mempunyai berat sekitar 209 gram yang meletakkanya setaraf dengan kebanykkan telefon pintar flagship lain dipasaran.
Skrin Paparan
HUAWEI Mate 50 Pro menampilkan skrin paparan OLED 1 bilion warna yang berukuran 6.74-inci (QHD+) dengan takukan terbesar yang kita boleh lihat pada telefon pintar kelas flagship pada tahun 2022.
HUAWEI mempunyai alasan tersendiri untuk menyertakan takukan sebesar ini iaitu pengecaman wajah yang selamat dengan sensor tambahan untuk memastikan ianya tampil dengan ciri biometrik setaraf Face ID.
Rekaan dengan takukan ini kembali ke telefon pintar HUAWEI Mate 50 Pro selepas ianya digunakan pada Mate 30 Pro namun rekaan generasi kali ini adalah lebih kemas.
Selain itu, skrin paparan HUAWEI Mate 50 Pro ini juga mempunyai sokongan kadar segar semula 120Hz bersama-sama 1440 Hz PWM dimming dan kadar pensampelan sentuhan 300Hz. Terdapat tiga tetapan kadar segar semula yang disokong pada Mate 50 Pro iaitu Dynamic, High dan Standard.
Seterusnya, skrin paparan ini juga melengkung pada kedua-dua sisi dan ini digandingkan dengan panel belakang yang juga melengkung pada sisi untuk pengalaman penggunaan yang lebih selesa.
Dalam pada itu, HUAWEI Mate 50 Pro ini juga dilapisi gelas keselamatan terbaik daripada Corning namun jenis gelas tersebut tidak didedahkan secara rasmi.
Paling mencuri tumpuan adalah HUAWEI Mate 50 Pro Kunlun Edition yang dilapisi gelas keselamatan Kunlun yang ternyata sangat tahan lasak iaitu hampir 10 kali ganda berbanding gelas keselamatan lain dipasaran.
Seperti pada rekaan peranti, kemahiran HUAWEI didalam teknologi paparan pada telefon pintar keluaran mereka adalah sesuatu yang masih boleh dikategorikan sebagai antara yang terbaik dipasaran.
Pemproses
HUAWEI Mate 50 Pro dilengkapi cip pemprosesan kelas flagship Android terbaik dipasaran iaitu Snapdragon 8+ Gen 1.
Walaubagaimanapun, cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang digunakan pada HUAWEI Mate 50 Pro ini hanya menyokong rangkaian 4G dan ini adalah disebabkan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
Bersama-sama cip Snapdragon 8+ Gen 1 ini, HUAWEI Mate 50 Pro disertakan dengan 8GB RAM dan storan dalaman 256GB ( terdapat juga versi 8/512GB).
Bercakap mengenai antaramuka yang digunakan pada HUAWEI P50 ini, ianya adalah EMUI 13 yang berasaskan Android 13 dan tampil dengan ekosistem HUAWEI Mobile Services (HMS) bersama AppGallery.
Selepas beberapa tahun ketinggalan dari penawaran aplikasi, HUAWEI AppGallery kini menampilkan pelbagai aplikasi popular yang ada di Google Play Store termasuk aplikasi perbankan tempatan seperti Maybank MAE, Cimb Clicks dan banyak lagi.
Selain itu, pertumbuhan HUAWEI AppGallery dipasaran global juga telah meningkat dengan mendadak iaitu sebanyak 57% dan HUAWEI AppGallery kini mempunyai lebih 730 juta pengguna aktif setiap bulan.
HUAWEI Mate 50 Pro menjadi peranti pertama HUAWEI untuk menggunakan EMUI13 untuk yang pengguna pengalaman Super Device dengan reka bentuk estetik dan menyeluruh.
EMUI 13 ini dilengkapi dengan ciri-ciri baru untuk pengalaman yang lebih mesra pengguna. Anda boleh meleret ke atas pada ikon aplikasi tertentu untuk menjana Service Widget pada skrin utama telefon.
Service Widget mengandungi maklumat dalam aplikasi yang dapat memaparkan semua maklumat yang diperlukan oleh pengguna.
Di samping itu, EMUI13 akan membantu mengosongkan ruang storan sehingga 20GB dengan teknologi SuperStorage yang berfungsi menyusun fail pendua, memampatkan aplikasi yang kurang digunakan, dan membuang muat turun yang tidak diperlukan, memberikan lebih banyak storan untuk perkara yang anda suka.
Kamera
HUAWEI Mate 50 Pro tampil teknologi pengimejan kamera yang dibangunkan oleh HUAWEI sendiri iaitu XMAGE dengan membina empat tonggak teknikal iaitu sistem optik, struktur mekanikal, teknologi pengimejan dan pemprosesan pengimejan, yang memecah standard sistem pengimejan mudah alih.
Sistem kamera XMAGE mempunyai Sistem Kamera Ultra Aperture yang terkemuka dalam industri dengan aperture fizikal boleh laras 10 saiz yang dilengkapi dengan aperture terbesar dalam industri telefon pintar iaitu F1.4, Super Night Mode, Potret Profesional dan Super Makro –melangkaui model terdahulu untuk memberi anda kualiti imej yang terbaik dan tajam pada setiap gambar.
Penawaran sensor yang boleh melaras aperture ini membolehkan anda memperoleh gambar bokeh dan portret yang lebih professional dan HUAWEI juga telah menyertakan mod Aperture pada aplikasi kamera untuk memaksimakan fungsi sensor ini.
Pengambilan gambar pada mod ini juga memberikan anda pilihan untuk menggunakan kesan aperture fizikal atau virtual yang membolehkan anda melaras kesan kabur walaupun selepas gambar diambil.
Sistem kamera XMAGE ini terdiri daripada satu sensor utama 50MP yang memiliki OIS, satu sensor ultrawide 13MP dan satu sensor periskop telefoto 64MP yang turut mempunyai OIS.
Walaupun tiada sensor makro khas, HUAWEI Mate 50 Pro turut menyokong mod Super Makro yang memberikan hasil gambar makro yang sangat baik.
Hasil gambar yang diperoleh melalui sistem kamera HUAWEI Mate 50 Pro adalah sesuatu yang cukup menggagumkan dan kualiti imej yang diperoleh juga beresolusi tinggi dan teliti.
Walaupun tiada lagi penggunaan teknologi kamera Leica, sistem kamera XMAGE pada HUAWEI Mate 50 Pro ternyata mampu menawarkan teknologi pengimejan yang setaraf malah lebih baik pada beberapa aspek.
Berikut adalah koleksi gambar yang diambil menggunakan HUAWEI Mate 50 Pro untuk tatapan anda.
Bateri
HUAWEI Mate 50 Pro turut dilengkapi dengan 4,700mAh bersama pengecasan pantas 66W HUAWEI SuperCharge, bagi mencapai keseimbangan optimum antara hayat bateri, pengecasan pantas dan mudah alih.
Kali ini, HUAWEI telah melancarkan Mod Kecemasan Bateri Rendah yang menggabungkan bateri spesifikasi tinggi dengan algoritma EMUI 13 yang berkuasa dan teknologi SuperEnergy Boosting untuk memaksimumkan penggunaan bateri telefon anda.
Teknologi ini membolehkan anda menggunakan 1% terakhir selama 3 jam atau panggilan telefon selama 12 minit.
Selain itu, HUAWEI Mate 50 Pro juga menyokong pengecasan tanpa wayar kadar 50W yang memberikan anda alternatif pengecasan yang hampir setaraf dengan pengecasan berwayar.
Penutup
Selepas dua tahun, HUAWEI telah membuat keputusan tepat untuk kembali menawarkan sebuah telefon pintar flagship Mate Series yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan kebanyakkan gergasi telefon pintar flagship lain dipasaran.
Walaupun ketiadaan GMS masih dirasai, HUAWEI Mate 50 Pro boleh dikatakan sebagai versi terbaik untuk pengguna merasai sendiri ekosistem HUAWEI Mobile Services yang semakin kukuh terutamanya dipasaran global.
HUAWEI Mate 50 Pro akan dilancarkan di Malaysia didalam waktu terdekat dan pra-tempahan bagi HUAWEI Mate Series ini kini telah dibuka dengan deposit serendah RM 1 sahaja.
Pra-tempah HUAWEI Mate 50 Series di SINI