Pandang Pertama Honor Magic4 Pro – peranti flagship premium HONOR
Persoalan mengenai pelancaran telefon pintar flagship HONOR di Malaysia iaitu HONOR Magic4 Pro telah terjawab selepas syarikat ini mengesahkan pelancaran akan berlangsung pada 1 Jun ini.
HONOR Magic4 Pro merupakan telefon pintar flagship pertama syarikat ini setelah sekian lama dan ianya telah diperkenalkan di Mobile World Congress pada awal tahun ini.
Sebelum melakukan ulasan penuh HONOR Magic4 Pro, kami telah berpeluang untuk melihat dan mencuba sendiri kemampuan telefon pintar ini.
Berikut adalah pandang pertama HONOR Magic4 Pro.
Rekaan & Skrin
HONOR Magic4 Pro tampil dengan reka bentuk yang premium sesuai dengan reputasi peranti ini dan ianya menggunakan panel skrin hadapan yang melengkung.
Penggunaan panel skrin melengkung memberikan kemasan yang cantik namun kekurangan utama yang ada pada panel seperti ini adalah pengalaman skrin yang kurang memuaskan dan kesukaran untuk memasang gelas perlindungan.
Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan skrin paparan HONOR Magic4 Pro menepati piawaian flagship iaitu panel LTPO berukuran 6.81-inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz.
HONOR Magic4 Pro juga merupakan satu-satunya telefon pintar untuk hadir dengan panel 1920Hz PWM Dimming.
Selain itu, HONOR Magic4 Pro juga memiliki rangka aluminium dan panel belakang gelas yang mempunyai modul kamera gergasi “Eye of the Muse” serta pengesahan kalis air dan habuk IP68.
Reaksi awal kepada reka bentuk HONOR Magic4 Pro ini adalah ianya sangat selesa untuk digunakan dan ianya mempunyai dimensi yang hampir sama seperti Samsung Galaxy S22 Ultra.
Kamera flagship Ultra Fusion Photography
HONOR Magic4 Pro menaikkan penanda aras industri dengan menampilkan Kamera Wide 50MP, Kamera Ultrawide 122° 50MP serta Kamera Telefoto Periskop 64MP yang kesemuanya dikuasakan oleh Ultra Fusion Photography bagi menghasilkan imej berdefinisi tinggi dan jelas.
Ultra Fusion Photography ini bermaksud setiap imej yang diambil menggunakan lebih dari satu sensor dan proses yang terlibat memastikan imej yang terhasil mempunyai kadar ketelitian dan kualiti yang lebih tinggi (tanpa kabur).
Cip Snapdragon 8 Gen 1 dan Magic UI 6.0
HONOR Magic4 Pro menjadi satu lagi telefon pintar flagship yang dikuasakan dengan cip 4nm daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 1 yang berkuasa tinggi.
Ianya juga dipadankan dengan Magic UI 6 untuk pengalaman peranti yang sangat memuaskan dan mesra pengguna.
Selain itu, HONOR Magic4 Pro juga membawakan sokongan Wi-Fi 6, 8GB RAM dan storan dalaman 256GB.
Bateri 4,600mAh dan pengecasan 100W
HONOR Magic4 Pro memiliki bateri berkapasiti 4,600mAh yang sedikit kurang apabila dibandingkan dengan peranti flagship lain dipasaran namun ianya ditebus dengan teknologi pengecasan pantas 100W HONOR Wired SuperCharge (berwayar) dan 100W HONOR Wireless SuperCharge.
Harga
Buat masa ini harga bagi HONOR Magic4 Pro masih belum diketahui namun sebagai sebuah telefon pintar flagship, ianya mungkin akan ditawarkan di Malaysia pada harga sekitar RM 3,999 sehingga RM 4,999 tapi kalau lagi berpatutan mesti ramai yang berminat.
Nantikan pelancaran HONOR Magic4 Pro yang akan dilancarkan di Malaysia pada 1 Jun 2022.