Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Pandang Pertama Samsung Galaxy S22 Ultra – Kembalinya Legasi Galaxy Note


Jika anda peminat telefon pintar flagship Samsung Galaxy S Series, anda pasti sudah sedia maklum bahawa telefon pintar ini telah dilancarkan beberapa hari lalu dan watak utama yang menjadi tumpuan adalah Samsung Galaxy S22 Ultra.

Samsung Galaxy S22 Ultra mungkin hadir dengan nama Galaxy S namun ianya tampil dengan DNA ‘Galaxy Note’ dan bukti pertama adalah ia hadir dengan reka bentuk yang berbeza daripada Samsung Galaxy S22 dan Galaxy S22+.

Kami telah meluangkan sedikit masa dengan Samsung Galaxy S22 Ultra dan berikut adalah pandang pertama telefon pintar ini.

Reka Bentuk Ikonik Note Series

Siri Samsung Galaxy Note mungkin sudah tiada, namun legasi telefon pintar ini masih ada pada Galaxy S22 Ultra dan ianya hadir dengan reka bentuk yang hampir sama seperti Galaxy Note20 Ultra.

Samsung juga telah membawa teknologi rangka Armor Aluminum yang diperkenalkan pada Galaxy Z Series dan ianya ditambah dengan lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus+ yang eksklusif kepada telefon pintar Galaxy S22 Series sahaja.

Beralih kepada panel belakang yang menempatkan modul kamera tanpa sebarang bongol kamera yang besar namun telefon pintar kini lebih tebal dengan ukuran 8.9mm namun masih pada berat yang ideal iaitu hanya 229 gram.


Samsung Galaxy S22 Ultra ditawarkan didalam 4 warna iaitu Phantom Black, Phantom White, Burgundy dan Green yang mana kesemuanya memiliki kemasan matte. Kami amat tertarik dengan warna Burgundy.


Kembalinya S-Pen

Samsung Galaxy S22 Ultra kini mempunyai S Pen dan ianya hadir dengan S Pen yang mempunyai latensi paling rendah iaitu hanya 2.8ms.

Selain itu, S Pen juga bermaksud segala pengalaman Galaxy Note kini ditawarkan pada Galaxy S22 Series dan tidak kira warna apa yang anda pilih, S Pen ini akan hadir didalam warna hitam dengan hanya hujung pen mengikut warna peranti.

Dalam pada itu, slot S Pen pada Galaxy S22 Ultra adalah pada bahagian bawah kiri peranti yang mana bagi kami ianya terasa sedikit janggal ketika hendak mengeluarkan  S Pen.

Cipset Snapdragon 8 Gen 1

Samsung Galaxy S22 Ultra di Malaysia ditawarkan dengan pemproses 4nm Snapdragon 8 Gen 1 dan ini bermaksud Samsung Malaysia telah memenuhi permintaan peminat telefon pintar Samsung untuk memiliki peranti flagship dengan cip terbaik daripada Qualcomm.

Samsung Galaxy S22 Ultra ditawarkan didalam tiga versi iaitu 8GB RAM/128GB storan dalaman, 12GB RAM/256GB storan dalaman dan 12GB RAM/512GB storan dalaman.

Buat masa ini versi 1TB tidak akan ditawarkan di Malaysia.

Sistem Kamera terbaik

Di atas kertas, Samsung Galaxy S22 Ultra mungkin mempunyai sensor kamera yang sama seperti Galaxy S21 Ultra, namun penggunaan cipset dan NPU yang lebih memastikan kamera Samsung Galaxy S22 mampu menawarkan anda fotografi terbaik pada waktu siang dan malam. Selain itu, Samsung Galaxy S22 Ultra juga memfokuskan kepada videografi yang lebih baik dan terdapat juga aplikai Expert RAW untuk gambar dengan kebolehan untuk proses edit yang lebih meluas.

Buat masa ini kami belum ada sebarang hasil gambar daripada Galaxy S22 Ultra namun kami akan menguji kemampun kamera telefon pintar ini pada ulasan penuh.

Pra-tempah Samsung Galaxy S22 Ultra

Samsung telah mengumumkan setiap pembelian Samsung Galaxy S22 Ultra akan menerima e-baucar Samsung bernilai RM 800 yang boleh digunakan di Samsung Malaysia Online Store, Galaxy S22 Ultra 5G Silicone Case dengan Strap bernilai RM 169, 1x Lucky Box (1x wide strap untuk Silicone Cover dengan Strap) bernilai RM79 dan 1x Galaxy X LAMY Safari Twin Pen bernilai RM269.

Berikut adalah harga Samsung Galaxy S22 Series di Malaysia :

Samsung Galaxy S22 Ultra 8/128GB – RM 5,099
Samsung Galaxy S22 Ultra 12/256GB – RM 5,499

Samsung Galaxy S22 Ultra 12/512GB – RM 5,899

Pra-tempah Samsung Galaxy S22 Ultra di Samsung Online Store sekarang

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.