Samsung Galaxy Z Flip3 5G Bespoke Edition kini rasmi – 49 kombinasi warna panel belakang dan hadapan
Samsung secara rasminya telah mengumumkan Samsung Galaxy Z Flip3 5G Bespoke Edition yang membolehkan anda memilih warna panel hadapan, panel belakang dan warna rangka telefon pintar anda. Galaxy Bespoke Studio juga ditawarkan kepada Galaxy Watch4 Series namun tidak bagi Galaxy Z Fold3.
Samsung Galaxy Bespoke Edition menawarkan 5 pilihan warna bagi panel hadapan, 5 pilihan warna bagi panel belakang dan 2 warna rangka yang membolehkan 49 kombinasi warna yang berbeza dihasilkan.
Selain itu, Samsung juga menawarkan anda pilihan untuk membeli panel yang berlainan secara berasingan dan digantikan dengan panel yang dipasang sebelum ini namun pilihan ini hanya ditawarkan kepada Galaxy Z Flip3 Bespoke Edition.
Inovasi ini membolehkan barisan pembekal Samsung memenuhi pesanan Galaxy Bespoke Edition mengikut kemahuan pengguna dan buat masa ini ianya ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, Perancis dan Korea Selatan namun ianya akan dikembangkan ke lebih banyak negara pada masa hadapan.
Selain itu, jam pintar Samsung Galaxy Watch4 Series juga ditawarkan didalam edisi Bespoke yang membolehkan anda memilih salah satu daripada dua model dan saiz model sebelum memilih tali.
Bercakap mengenai harga, Samsung Galaxy Z Flip3 ini ditawarkan pada harga $1,100 iaitu $50 lebih berbanding Galaxy Z Flip3 yang biasa dan ianya hanya ditawarkan dalam varian 8/256GB. Harga Galaxy Watch4 Series Bespoke Edition kekal sama seperti model biasa.