Apple Watch Series 7 akan hadir dengan reka bentuk baharu dan bateri yang lebih besar
Bersama-sama generasi baharu iPhone yang akan dilancarkan pada bulan September, Apple dijangka akan melancarkan Apple Watch Series 7.
Sejak pelancaran Apple Watch Series 1 hingga Series 6, Apple menjanjikan jam pintar mereka mampu menawarkan sehingga 18 jam jangka hayat bateri.
Walaubagaimanapun, Apple berpendapat bahawa dengan menawarkan jangka hayat bateri yang lebih baik Apple Watch Series 7, pengguna Apple Watch lama mungkin akan beralih kepada model baharu.
Sehubungan dengan itu, Apple dikatakan akan memfokuskan untuk memberikan jangka hayat bateri yang lebih baik pada Apple Watch Series 7 tanpa menambah sebarang sensor baharu.
Selain itu, cip Apple S7 yang akan menguasakan jam pintar ini akan beralih kepada pakej reka bentuk (SiP) dual-sided yang lebih kompak dan ini membolehkan bateri yang lebih besar digunakan dengan saiz dan ketebalan yang hampir sama.
Satu lagi faktor yang mungkin menghalang pengguna Apple Watch sediada membeli model baharu adalah reka bentuk yang lebih kurang sama dan ini mungkin berubah pada Apple Watch Series 7.
Dalam pada itu, Apple Watch Series 7 juga akan memiliki sokongan UWB manakala pada model-model akan datang, syarikat ini juga merancang untuk menawarkan sensor bacaan gula dan alkohol.