ULASAN : Samsung Galaxy S21 Ultra Malaysia – peranti flagship yang berciri Ultra pada semua aspek
Pengenalan
Tahun 2020 adalah tahun yang unik dan mencabar bagi kita atau semua penduduk dunia secara umumnya dan anda pasti tahu apakah yang dimaksudkan oleh kami.
Jika anda arif dengan dunia teknologi, Pelancaran Siri Galaxy S20 pada awal bulan Februari boleh dikatakan sebagai pelancaran flagship terakhir yang berlangsung sebelum pandemik covid-19 mula memberikan kepada kesan semua aktiviti harian kita.
Selain itu, Tahun 2020 juga menyaksikan telah melakukan loncatan dari Galaxy S10 pada 2019 kepada Galaxy S20 dan ianya turut ditambah dengan satu lagi model Ultra yang diletakkan sebagai taruhan terbaik bagi pasaran premium.
Kebetulan atau tidak, telefon pintar siri Galaxy S kini mempunyai nombor model yang sama dengan tahun ianya dilancarkan yang bermaksud Siri Galaxy S21 telah dilancarkan pada tahun ini iaitu hanya beberapa minggu lalu.
Siri Samsung Galaxy S21 tahun ini juga menampilkan tiga model iaitu Samsung Galaxy S21, Samsung Galaxy S21+ dan Samsung Galaxy S21 Ultra.
Sekali lagi, Samsung Galaxy S21 Ultra adalah model dengan spesifikasi terbaik dan Samsung juga memberikan janji bahawa cipset Exynos 2100 kini sudah mampu menawarkan prestasi yang hampir sama dengan cipset Snapdragon 888 yang diletakkan sebagai cipset terbaik dipasaran.
Kami telah menerima unit reviu Samsung Galaxy S21 Ultra iaitu sebelum penjualan rasmi bermula di Malaysia dan unit kami adalah versi 12/256GB yang ditawarkan pada harga RM 5,299.
Satu lagi nota penting yang harus kami perkatakan adalah bahawa siri Galaxy S21 kali ini kini tidak lagi disertakan dengan adapter pengecasan dan earphone yang mana penyingkiran ini secara tidak langsung memberikan kesan positif kepada alam sekitar selain penjimatan kos kepada pengeluar telefon pintar.
Walaupun ini adalah perkara yang baik, penjimatan yang dinikmati oleh syarikat ini sepatutnya disalurkan kepada pengguna yang bermaksud harga jualan peranti lebih berpatutan.
Reka Bentuk
Sekilas pandang, identiti Samsung Galaxy S21 Ultra masih menyerupai model Ultra yang pertama iaitu Galaxy S20 Ultra namun skrin paparan pada model tahun ini adalah lebih kecil berbanding tahun lalu (6.9-inci vs 6.8-inci) manakala berat kedua-dua telefon pintar ini hampir sama.
Samsung Galaxy S21 Ultra masih mengekalkan pengunaan panel gelas pada bahagian hadapan dan belakang manakala rangka yang digunakan adalah aluminium.
Selain itu, panel gelas yang digunakan Samsung Galaxy S21 Ultra kini adalah didalam kemasan matte yang mana ianya adalah penambahbaikan berbanding Galaxy S20 Ultra namun panel gelas ini masih licin untuk dipegang dan menggunakan casing adalah sangat dinasihati.
Samsung Galaxy S21 Ultra tampil didalam dua pilihan warna iaitu Phantom Black dan Phantom Silver yang mana unit reviu kami adalah didalam warna Phantom Silver.
Dalam pada itu, Samsung juga memberikan anda ketenangan minda maksima daripada perkara yang tidak diingini kerana Galaxy S21 Ultra dilapisi gelas keselamatan paling kukuh dipasaran iaitu Gorilla Glass Victus (2.5D) keluaran Corning.
Beralih kepada modul kamera Samsung Galaxy S21 Ultra, reka bentuk kali ini adalah berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya dimana modul kamera pada telefon pintar Ultra ini menampilkan kemasan yang terbina dengan rangka peranti.
Rangka sisi dan atas yang berhampiran dengan modul kamera telah dilebarkan sehingga mencapai modul kamera dan ini sedikit sebanyak menutup ‘camera bump’ telefon pintar ini.
Walaubagaimanapun, dengan modul kamera ini, Samsung Galaxy S21 Ultra tidak rata dan bahagian modul kamera ini adalah yang pertama menyentuh permukaan apabila diletakkan pada meja.
Beralih kepada bahagian hadapan pula, Samsung Galaxy S21 Ultra menampilkan reka bentuk skrin yang lebih rata dengan lengkungan minima pada sisi.
Panel yang digunakan Samsung ini adalah Infinity-O yang bermaksud kamera selfie adalah pada bahagian tengah.
Dalam pada itu, sisi skrin yang sedikit melengkung ini sangat membantu didalam memberikan cengkaman ketika anda memegang peranti dan Samsung juga telah memberikan filem perlindungan skrin yang disiap pasang dalam kotak.
Beralih kepada bahagian bawah peranti, Galaxy S21 Ultra menampilkan gril pembesar suara, slot USB-C dan slot dwi-SIM nano 5G namun menyedihkan tiada sokongan bagi kad microSD.
Pada bahagian sisi kanan, terdapat butang kuasa dan butang pembesar suara namun kami lebih gemar jika butang pembesar suara diletakkan dibahagian sisi kiri.
Menutup ulasan bahagian reka bentuk Galaxy S21 Ultra ini dengan ukuran dimensi telefon pintar ini iaitu 165.1×75.6×8.9mm manakala berat adalah 227 gram.
Sebagai perbandingan, model flagship Apple iaitu iPhone 12 Pro Max mempunyai berat 228gram.
Skrin Paparan 120Hz Dynamic AMOLED 2x
Samsung Galaxy S21 Ultra hadir dengan panel skrin Dynamic AMOLED 2x berukuran 6.8-inci dan merupakan satu-satunya model didalam keluarga S21 untuk menawarkan resolusi QHD+.
Lebih menarik, kesemua model didalam Samsung Galaxy S21 juga menyokong kadar segar semula 120Hz dan sebagai model flagship, Samsung Galaxy S21 Ultra menjadi telefon pintar pertama syarikat ini untuk menyokong kadar segar semula pada resolusi QHD+ dan ianya juga menyokong mod adaptive refresh rate untuk penjimatan bateri yang lebih baik.
Walaupun sudah ada syarikat yang menawarkan skrin dengan kadar segar semula yang lebih tinggi, 144H, panel Samsung Galaxy S21 Ultra adalah yang terbaik dipasaran dengan kecerahan skrin juga mencapai kadar 1500nits.
Selain itu, Samsung Galaxy S21 Ultra menyokong dua tetapan kadar segar semula iaitu Standard dan Adaptive.
Tetapan adaptive refresh rate yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S21 Ultra membolehkan skrin telefon pintar ini menyokong kadar segar semula serendah 10hz atau sehingga 120Hz bergantung kepada kandungan yang dipaparkan pada skrin dan semua ini berlaku secara automatik.
Jika anda mahukan kadar segar semula yang konsisten sepanjang masa namun menawarkan penjimatan bateri, anda boleh memilih mod standard yang mengekalkan kadar segar semula skrin pada 60Hz sepanjang masa sepanjang hayat.
Selain itu, Samsung Galaxy S21 Ultra juga hadir dengan sokongan HDR10+ yang bermaksud anda boleh menstrim pelbagai kandungan pada resolusi tinggi di platform penstrima terkemuka seperti Netflix, Amazon Prime, YouTube dan banyak lagi.
Satu tambahan terbaru pada Galaxy S21 Ultra adalah telefon pintar kini menyokong input dari stylus S-Pen namun ianya dijual berasingan dan tiada sebarang slot terbina pada terbina.
Lebih-lebih lagi, tahun ini juga menyaksikan Samsung memperkenalkan mod Eye Comfort Shield yang menghadkan jumlah pelepasan lampu biru yang diboleh ditetapkan untuk diaktifkan secara berkala mengikut waktu (adaptive mod) atau tetapan custom yang memberikan anda kebebasan untuk memilih suhu warna dan waktu fungsi ini diaktifkan.
Samsung Galaxy S21 Ultra juga tampil dengan sensor capjari terbina dalam skrin yang didakwa lebih besar iaitu 77% lebih besar daripada sensor yang digunakan pada Galaxy S20 Ultra.
Ini membolehkan kadar kepantasan pengecaman bimoterik pada S21 Ultra adalah lebih pantas selain ruang pengesanan yang lebih besar.
Menutup ulasan bahagian skrin Galaxy S21 Ultra ini dengan kadar kepadatan piksel telefon pintar ini iaitu 515ppi dan terdapat juga mod Always-on display.
Akhir kata, walaupun tempoh yang dihabiskan bersama Galaxy S21 Ultra ini adalah pendek, kami ternyata amat berpuas hati dengan kualiti skrin telefon pintar ini dan panel ini boleh diletakkan sebagai antara yang terbaik dipasaran setakat ini.
Pemproses & UI
Samsung Galaxy S21 Ultra hadir dengan cipset Exynos 2100 yang buat pertama kalinya dikatakan menawarkan prestasi yang hampir sama dengan cipset Snapdragon 888.
Samsung amat berbangga dengan apa yang mampu ditawarkan oleh cipset terbaru Exynos ini dan buat pertama kalinya juga telah mengadakan satu majlis pengumuman khas untuk memperkenalkan cipset flagship yang digunakan pada Siri Galaxy S21 ini.
Selain pasaran Amerika Utara dan China yang tampil dengan cipset Snapdragon 888, semua pasaran global menerima siri Galaxy S21 dengan cipset Exynos 2100.
Apa yang lebih menarik, kedua cipset ini dikilangkan oleh Samsung melalui proses fabrikasi 5nm selepas Qualcomm memutuskan untuk beralih dari TSMC bagi pembuatan cip tahun ini.
Beralih kepada GPU pula, Exynos 2100 tampil dengan unit pemprosesan grafik Mali-G78 yang menjanjikan 46% peningkatan prestasi berbanding generasi lalu.
Dalam pada itu, Samsung Galaxy S21 Ultra hadir dengan dua kapasiti RAM iaitu 12GB atau 16GB jenis LPDRR5 dan ianya dipadankan dengan storan dalaman jenis UFS 3.1 iaitu 256GB atau 512GB.
Unit reviu kami tampil dengan 12GB RAM dan 256GB storan namun bagi pasaran Malaysia, terdapat juga varian 16/512GB yang ditawarkan pada harga RM 5,899.
Selain itu, ujian AnTuTu Samsung Galaxy S21 Ultra juga meletakkan telefon pintar ini sebagai salah satu daripada peranti terbaik didalam senarai AnTuTu dengan jumlah mata melebihi 640,000.
Cipset Exynos 2100 yang digunakan ternyata adalah antara yang terbaik dipasaran dan ianya dijangka mampu kekal relevan untuk tempoh yang lama.
Secara keseluruhan, tidak sekali pun kami dapat merasakan bahawa Galaxy S21 Ultra seperti tidak mampu melakukan sesuatu tugas pada peranti yang jelas menunjukkan bahawa cipset Exynos 2100 mampu menawarkan anda prestasi cipset yang bersedia untuk dilemparkan dengan apa sahaja tugas samada untuk gaming atau lain-lain tugas berat.
One UI 3.1 & Android 11
Samsung Galaxy S21 Ultra dilancarkan dengan antaramuka OneUI 3.1 yang berasaskan sistem operasi Android 11.
Selain itu, komitmen terbaru Samsung juga mengesahkan S21 Ultra akan menerima 3 kemaskini OS, Galaxy S21 Ultra dijangka akan menerima kemaskini Android 12(2021), Android 13(2022) dan Android 14 (2023).
Selain itu, Samsung Galaxy S21 Ultra juga hadir dengan lapisan Wacom yang membawakan sokongan S-Pen dan selain semua stylus yang menyokong Wacom.
Sokongan S-Pen pada Galaxy S21 Ultra adalah pertama kali telefon pintar siri Galaxy S menyokong S-Pen namun S-Pen ini tidak hadir dengan sokongan Bluetooth dan untuk itu, anda boleh mendapatkan S-Pen Pro (Bluetooth) yang akan memasuki pasaran tidak lama lagi.
Kami tidak dibekalkan dengan S-Pen, oleh itu tidak mencuba dengan lebih lanjut kegunaan stylus Samsung ini pada Galaxy S21 Ultra.
Selain itu, walaupun OneUI 3.1 adalah antaramuka Samsung yang terkini, tidak banyak perbezaan ketara yang boleh diperkatakan pada generasi baharu ini.
Salah satu ciri yang kami suka adalah Smart Lock yang mana peranti Samsung Galaxy S21 Ultra anda akan kekal ‘unlock’ apabila ianya diaktifkan.
Terdapat tiga mekanisma yang memastikan Galaxy S21 Ultra anda kekal unlock iaitu apabila berada berhampiran anda ‘on-body detection’, trusted place – peranti tidak akan dikunci jika anda menyimpan sesuatu lokasi sebagai tempat yang dipercayai dan trusted device – apabil berhampiran peranti bluetooth seperti jam pintar atau sistem bluetooth kereta.
Kamera
Samsung Galaxy S21 Ultra tampil dengan teknologi kamera yang paling menggerunkan di pasaran dan tetapan kamera ini dilihat setimpal dengan nama Ultra yang dibawa oleh telefon pintar flaghsip Samsung ini.
Pada kepulauan kamera yang dimiliki Galaxy S21 Ultra, terdapat 5 bulatan yang menempatkan 4 sensor kamera dan satu sensor laser untuk tujuan pemfokusan.
Berikut adalah sensor-sensor yang ditawarkan pada Galaxy S21 Ultra :
Sensor utama 108MP – Samsung Galaxy S21 Ultra hadir dengan sensor kamera 108MP terbaru keluaran syarikat ini sendiri iaitu sensor ISOCELL HM3 yang menampilkan teknologi Nona-Pixel Bayer iaitu pixel binning 9-dalam-1 dengan resolusi akhir gambar yang diambil adalah 12MP (9x12MP = 108MP).
Sensor HM3 menampilkan beberapa penambahbaikan berbanding sensor HM1 yang digunakan pada S20 Ultra dan Note20 Ultra iaitu dari segi kebolehan HDR, prestasi cahaya rendah dan pretasi pemfokusan auto.
Selain itu, S21 Ultra juga hadir dengan mod Low Noise yang membantu sensor ini 50% lebih sensitif cahaya berbanding generasi sebelum ini.
Sensor Ultrawide 12MP – sensor ultrawide pada Galaxy S21 Ultra ini dikatakan adalah sensor yang sama seperti pada S20 Ultra dan Note20 Ultra yang tampil dengan 120° field of view.
Walaubagaimanapun satu perubahan terbesar dan yang sangat signifikan pada sensor ini adalah sensor ultrawide pada Galaxy S21 Ultra kini mempunyai pemfokusan auto yang membantu anda mengambil gambar jarak dekat dan sistem pemfokusan yang lebih mudah.
Berikut adalah sampel gambar dari sensor utama Samsung Galaxy S21 Ultra :
Sensor Telefoto – Zoom
Samsung meneruskan trend menawarkan teknologi zoom yang tinggi pada siri Galaxy S ini.
Untuk itu, Samsung telah menyertakan dua sensor telefoto yang mempunyai kemampuan yang berbeza namun saling melengkapi antara satu sama lain.
Sensor zoom yang pertama adalah telefoto 10MP yang menawarkan anda kadar zoom optikal 3x dan ianya juga dilengkapi OIS serta Dual-Pixel PDAF.
Sensor ini adalah senjata utama Samsung untuk menawarkan pengguna kebolehan zoom jarak dekat tanpa sebarang penglibatan komputasi digital.
Sensor telefoto kedua yang dimiliki Samsung Galaxy S21 Ultra ini adalah jenis persikop dengan resolusi 10MP.
Lensa ini menawarkan pengguna kadar zoom optik 10x atau sehingga 100x melalui teknologi Space Zoom.
Kegunaan zoom sehingga 100x membuktikan bahawa teknologi fotografi pada telefon pintar kini sangat maju namun kegunaan sensor ini adalah sangat terhad kecuali bagi mod untuk anda mengambil gambar bulan.
Walaupun pengambilan ditawarkan pada Samsung Galaxy S21 Ultra, syarikat ini tidak sedikit mengumumkan perkara ini pada majlis pelancaran mereka dan ianya mungkin kerana teknologi astrofotografi ini telah pun ditawarkan dipasaran beberapa tahun lalu.
Hasil gambar yang diambil pada Samsung Galaxy S21 ternyata setaraf dengan apa yang diatas kertas.
Berdasarkan pengunaan dan pemerhatian kami, hasil gambar yang dikeluarkan oleh sensor utama Galaxy S21 Ultra adalah sangat baik dan kelihatan lebih semula jadi.
Ini adalah penambahbaikan berbanding telefon pintar Samsung yang kebiasaanya akan menokok tambah warna yang menjadikan gambar kehilangan keaslian semulajadi.
Selain itu, Samsung juga menyertakan mod 108MP yang memberikan anda resolusi penuh gambar yang diambil namun kualiti gambar ini dilihat sedikit rendah kerana tiada sebarang proses fotografi dilakukan.
Beralih kepada sensor ultrawide pula, kami amat menyukai gambar yang diambil melalui sensor ini namun anda harus memilih sudut dan keadaan yang sesuai untuk menggunakan sensor ultrawide ini.
Berikut adalah gambar yang diambil menggunakan sensor telefoto 3x dan 10x :
Selain itu, sensor ultrawide pada Galaxy S21 Ultra ini juga boleh digunakan untuk mod makro dan ianya turut dibantu dengan ciri focus enhancer yang membantu didalam proses pemfokusan imej dekat.
Mod makro pada Samsung Galaxy S21 boleh diangkat sebagai yang terbaik dipasaran kerana kebanyakkan sensor makro dipasaran tidak mampu menawarkan resolusi fotografi makro setaraf peranti flagship Samsung ini.
Berikut adalah sample gambar dari Lensa ultrawide yang juga berfungsi sebagai sensor makro :
Beralih kepada dua sensor telefoto yang ditawarkan pada Galaxy S21 Ultra ini, kualiti gambar 3x pada sensor telefoto 10MP adalah baik tanpa sebarang kekurangan yang ketara.
Hal ini juga sama bagi sensor telefoto periskop 10x namun kadar ketelitian gambar adalah sedikit rendah walaupun ianya membantu anda mengambil gambar jarak jauh dengan lebih baik.
Selain itu, kadar Space Zoom 100x yang ditawarkan pada Galaxy S21 Ultra mempunyai kegunaan yang tersendiri dan sentiasa bersedia apabila diperlukan.
Dalam pada itu, mod potret pada Samsung Galaxy S21 Ultra kini dikenali sebagai mod Potrait dan bukanya mod Live Focus seperti sebelum ini.
Berikut adalah sample gambar potret yang diambil menggunakan Galaxy S21 Ultra :
Kualiti gambar potret yang diambil oleh Galaxy S21 juga memuaskan dengan pengkaburan latar belakang dan pemfokusan subjek dilakukan dengan baik.
Beralih kepada mod malam pula, gambar yang diambil dengan mod ini memberikan anda satu hasil gambar malam yang terang dan tanpa kekaburan yang keterlaluan.
Selain itu, sensor ultrawide 12MP juga boleh digunakan untuk gambar mod malam namun kualiti dan maklumat pada gambar adalah rendah berbanding sensor utama.
Jika anda tertanya sama ada mod malam juga boleh digunakan bersama sensor telefoto 3x dan telefoto 10x, jawapanya adalah ya dan hasil gambar adalah memuaskan.
Berikut adalah sample gambar mod malam :
Mod malam ini juga membuka lembaran untuk anda melakukan fotografi bulan yang pasti memberikan anda satu pengalaman fotografi yang baru.
Dengan Galaxy S21 Ultra, pengambilan gambar bulan ternyata sangat mudah dan anda tidak memerlukan peralatan yang berkos tinggi.
Walaubagaimanapun, hasil gambar bulan yang diperoleh melalui proses AI yang sangat banyak dan anda pasti ragu-ragu akan hasil gambar ini namun komputasi kompleks yang terlibat memastikan gambar bulan yang anda ambil adalah sesuatu yang benar dan tulen.
Kamera Selfie 40MP
Kamera selfie Galaxy S21 Ultra adalah yang dipinjam terus dari Galaxy S20 iaitu sensor 40MP Quad-Bayer dan kami amat gembira Samsung mengekalkan sensor yang sama kerana ianya boleh dikatakan cukup sempurna dan antara yang terbaik pernah kami lihat pada telefon pintar flagship.
Selain itu, mod potrait selfie juga memberikan anda gambar potret yang sangat cemerlang dengan pemisahan antara latar belakang dan subjek adalah tepat.
Video
Samsung Galaxy S21 Ultra menyokong rakaman video 4K pada keempat-empat kamera yang disertakan iaitu pada kadar 60fps.
Selain itu, rakaman video 8K juga ada pada S21 Ultra ini namun kadar bingkai yang disokong pada resolusi ini adalah 24fps.
Lebih-lebih lagi, mod pro video memberikan anda lebih banyak pilihan untuk rakaman video seperti 4K atau 1080p pada kadar cinematik 24fps dan video 1080p pada kadar 120fps.
Pro video juga memberikan anda lebih banyak kebebasan didalam penetapan sesuatu parameter dan anda juga boleh menggunakan peranti audio berasingan untuk merakam audio dengan lebih jelas.
Bateri
Samsung Galaxy S21 Ultra disertakan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang mana ianya adalah sama seperti pada Galaxy S20 Ultra namun harus diingat bahawa skrin paparan Galaxy S21 Ultra kini menyokong kadar segar semula 120Hz pada resolusi QHD+ dan bukanya FHD+ seperti pada generasi sebelum ini.
Walaubagaimanapun pengguna cipset Exynos 2100 dijangka memberikan Galaxy S21 Ultra kadar jangka hayat bateri yang baik.
Beralih kepada teknologi pengecasan pantas, Galaxy S21 Ultra hadir dengan pengecasan pantas 25W namun anda perlu membeli sendiri adapter pengecasan kerana Samsung tidak menyertakanya didalam kotak.
Didalam kotak, anda hanya menerima kabel USB-C ke USB-C yang bermaksud anda perlu membeli atau memiliki adapter USB-PD charge untuk telefon pintar terbaru anda ini.
Jika anda ingin mendapatkan adapter pengecasan 25W PD, Samsung menawarkanya pada harga RM 79 namun sudah pastinya ada adapter pihak ketiga yang dijual pada harga yang lebih murah,
Dengan adapter ini, bateri 5,000mAh yang dimiliki S21 Ultra boleh dicas ke tahap 54% dalam masa 30 minit manakala pengecasan penuh mengambil masa sekitar 1 jam 10 minit.
Selain itu, Samsung juga menawarkan pengecasan tanpa wayar pada kadar 10W manakala pengecasan berbalik juga disokong pada kadar 5W.
Pengecasan pantas yang ditawarkan Samsung ini bukan yang terpantas dipasaran namun ianya dilihat sebagai satu solusi yang mencukupi dan pada masa memberikan pengguna satu jangka hayat bateri yang baik.
Penutup
Akhir sekali, Samsung Galaxy S21 Ultra telah membetulkan banyak kekurangan yang pada Galaxy S20 Ultra dan kini hadir sebagai satu peranti flagship yang sangat lengkap.
Selain itu, pretasi cipset Exynos 2100 yang kini lebih setanding dengan cipset Snapdragon 888, Samsung Galaxy S21 Ultra sudah pasti dilihat sebagai satu peranti yang serba lengkap untuk semua keperluan anda.
Samsung Galaxy S21 Ultra kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 5,299 iaitu bagi versi 12/256GB manakala anda perlu mengeluarkan tambahan RM 600 jika ingin mendapatkan versi 16/512GB yang ditawarkan pada harga RM 5,899.
Selain itu, Samsung juga telah mengumumkan promosi pelancaran dimana dengan setiap pembelian telefon pintar siri Galaxy S21 akan menerima satu unit Galaxy Fit2 (RM 179), satu unit Galaxy SmartTag (RM 119) dan Wireless Charger Trio (RM 399) secara percuma (sehingga 31 Mac 2020).
Dapatkan Samsung Galaxy S21 Ultra di Samsung eStore