realme X2 Pro vs vivo NEX 3 – yang mana terbaik?
Seperti yang dijanjikan, realme secara rasminya telah melancarkan telefon pintar kelas flagship syarikat ini ke pasaran Malaysia pada 2 Disember yang lalu.
Dengan harga penjualan paling kompetitif bagi sebuah telefon pintar kelas flaghsip, realme X2 Pro hadir dengan reputasi yang sangat menggagumkan dengan pujian dari kebanyakkan pengguna di pasaran Antarabangsa.
Dengan harga penjualan RM 2,399 iaitu bagi varian paling atas yang memiliki 12GB RAM dan 256GB storan dalaman, realme X2 Pro dilihat sebagai salah satu pencabar kepada telefon pintar 5G vivo yang pertama di Malaysia iaitu vivo NEX 3.
Walaubagaimanapun teknologi 5G di Malaysia masih diperingkat ujian dengan pelancaran komersial kepada pengguna mungkin hanya berlaku lewat tahun 2020 atau awal tahun 2021
Skrin paparan 90Hz vs Skrin paparan 60Hz
realme X2 Pro hadir dengan skrin paparan Super AMOLED berukuran 6.5-inci yang menolak resolusi FHD+ 2340 x 1080.
Walaubagaimanapun tumpuan pada skrin bukan lah pada resolusi namun pada kadar segar semula 90Hz yang memberikan pengguna pengalaman dan animasi pada skrin yang sangat lancar.
realme X2 Pro juga disertakan dengan sokongan HDR10+ dan telah mendapat pensijilan Full Care Display dari TÜV Rheinland.
Vivo NEX 3 juga hadir dengan teknologi skrin Super AMOLED 6.89” dengan reka bentuk skrin melengkung pada kedua-dua sisi ‘waterfall display’. Ianya juga membawa resolusi FHD+ 1080 x 2256.
Perbezaan utama antara skrin paparan realme X2 Pro dan vivo NEX 3 adalah kadar segar semula skrin dimana X2 Pro membawakan skrin dengan kadar segar semula 90Hz manakala Vivo NEX 3 hadir dengan skrin yang menawarkan kadar segar semula 60Hz.
Ini bermaksud setiap animasi dan gambar yang dipaparkan pada skrin realme X2 mempunyai kadar bingkai yang 50% lebih tinggi berbanding pada skrin vivo NEX 3.
Pengecasan Pantas 50W SuperVOOC Flash Charge vs Vivo Flash Charge 22.5W
Walaupun realme X2 Pro (4,000mAh) hadir dengan kapasiti bateri yang lebih rendah apabila dibandingkan dengan vivo NEX 3 (4,500mAh), realme X2 Pro dengan teknologi pengecasan pantas 50W Super VOOC Flash Charge yang membolehkan anda mengecas penuh peranti didalam masa 35 minit sahaja (secara purata).
Vivo NEX 3 pula hanya disertakan dengan pengecasan pantas Vivo Flash Charge 22.5W yang sudah pasti mengambil masa yang lebih lama untuk memenuhkan bateri 4,500mAh yang dimilikinya.
12GB RAM & 256GB (UFS 3.0) vs 8GB RAM & 256GB (UFS 2.1)
realme X2 Pro hadir dengan kapasiti 12GB RAM manakala vivo NEX 3 pula hanya memiliki 8GB RAM.
Walaupun menawarkan jumlah storan dalaman yang sama (256GB), realme X2 Pro telah memilih untuk menggunakan jenis storan UFS 3.0 yang menawarkan dua kali kepantasan membaca dan menulis berbanding jenis storan UFS 2.1 yang digunakan pada Vivo NEX 3.
64MP Hawk-Eye Quad-Kamera vs Tri-Kamera AI 64MP
realme X2 Pro hadir dengan tetapan quad-kamera 64MP + sensor telefoto 13MP + sensor Ultrawide 8MP + 2MP lensa potret. Pakej kamera ini membolehkan realme X2 Pro hadir dengan sokongan pengzooman sehingga 20x.
Vivo NEX 3 hadir dengan sensor utama 64MP + sensor telefoto 13MP + sensor ultrawide 13MP. vivo NEX 3 tidak mempunyai sensor khas untuk mod potret.
Harga
Akhir sekali, realme X2 Pro hadir dengan harga penjualan RM 2,399 sahaja manakala Vivo NEX 3 hadir dengan harga penjualan RM 3,899.
Dengan perbezaan harga sekitar RM 1,500, realme X2 Pro dilihat sebagai pembelian yang lebih berbaloi berbanding Vivo NEX 3.