Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy A80 – telefon pintar unik dengan kamera berputar

Samsung Galaxy A80 Malaysia

ULASAN : Samsung Galaxy A80 – telefon pintar unik dengan kamera berputar

Pengenalan

Reka bentuk bagi sesuatu model telefon pintar adalah satu perkara yang subjektif kerana tidak semua mempunyai citarasa yang sama.

Tahun 2019 telah menyaksikan banyak pengeluar telefon pintar cuba menerapkan reka bentuk yang baru dengan perubahan yang dilakukan kebiasaanya bagaimana kamera selfie dipersembahkan.

Samsung dalam pada itu telah mencuba sesuatu yang berbeza pada Galaxy A80 yang mana kamera belakang telefon pintar ini juga akan mempunyai tugas sebagai kamera hadapan.

Samsung menggunakan mekanasima kamera rotasi pada Galaxy A80 yang merupakan sesuatu yang unik namun ianya boleh dikatakan adalah berinspirasikan reka bentuk kamera Oppo N1 yang dilancarkan kira-kira 5 tahun lalu.

Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy A80 yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga penjualan RM 2,499.

Samsung Galaxy A80 Malaysia

Reka Bentuk dan Skrin Paparan

Samsung Galaxy A80 hadir dengan reka bentuk yang boleh dijadikan rujukan bagi pengeluar telefon pintar yang ingin menawarkan kelainan kepada pengguna.

Samsung Galaxy A80 Malaysia

Dari segi hadapan, Galaxy A80 merupakan satu telefon pintar gergasi yang memiliki skrin paparan Super AMOLED FHD+ berukuran 6.7-inci dengan nisbah 20:7.

Skrin menawarkan resolusi 1080 x 2400 piksel dengan kepadatan piksel 391ppi dan panel skrin ini juga dilapisi dengan gelas keselamatan Corning Glass generasi ke-3.

Samsung Galaxy A80 Malaysia

Bercakap mengenai panel belakang, Galaxy A80 hadir dengan panel belakang berasakan gelas dan gelas ini turut dilapisi dengan gelas keselamatan Corning Gorilla 6 yang terbaru.

Chasis Galaxy A80 adalah berasaskan keluli dan dengan mekanisma kamera berputar ini, Galaxy A80 mempunyai berat sekitar 220gram dan kami secara peribadi merasakan beban apabila digunakan pada sebelah tangan.

Samsung Galaxy A80 Malaysia

Samsung Galaxy A80 memiliki butang kuasa dibahagian kanan, butang bunyi di kiri dan Galaxy A80 tidak mempunyai slot bicu audio 3.5mm.

Snapdragon 730 Galaxy A80

Pemproses

Samsung Galaxy A80 dipadankan dengan pemproses kelas pertengahan atasan daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 730.

Snapdragon 730 adalah pemproses yang diletakkan betul-betul dibawah cip flagship siri 800 dan ianya tidak mengecewakan.

Selain itu, pemproses Snapdragon 730 ini turut dipadankan dengan 8GB RAM dan 128GB memori dalaman namun tiada sokongan slot microSD.

Bercakap mengenai unit pemprosesan grafik atau GPU, ianya hadir dengan GPU Adreno 618 yang membolehkan Samsung menawarkan prestasi grafik premium pada Galaxy A80.

Samsung Galaxy A80 Malaysia
Galaxy A80 juga hadir dengan sensor capjari terbina pada skrin

Dengan skrin paparan tanpa takukan ditambah dengan pemproses dalaman yang baik Galaxy A80 dilihat telah dioptimasi untuk menawarkan prestasi gaming kelas-atas dan aplikasi permainan video seperti PUBG boleh dimainkan pada tetapan maksima dan tanpa sebarang ‘lag’.

Bercakap mengenai antaramuka, Samsung Galaxy A80 di pra muat dengan OneUI yang berasaskan Android Pie.

Salah satu kekurangan Galaxy A80 adalah, walaupun hanya hadir dengan pemproses Snapdragon 730, anda boleh mendapatkan telefon pintar dengan pemproses Snapdragon 855 pada harga yang lebih kurang sama dengan telefon pintar ini namun anda akan terlepas inovasi kamera unik Galaxy A80 ini.

Samsung Galaxy A80 Malaysia

Kamera

Dengan kamera berputar, Samsung Galaxy A80 menawarkan kebolehan fotografi yang sama pada bahagian hadapan dan belakang.

Samsung Galaxy A80 dilengkapi dengan tiga kamera iaitu sensor utama 48MP Sony IMX586, sensor lensa lebar 8MP yang mempunyai FOV 123 darjah dan lensa ToF yang diberi nama glamor 3D Depth Camera.

Samsung Galaxy A80 Malaysia camera sample

UI Aplikasi kamera yang disertakan pada Galaxy A80 ini masih sama seperti pada telefon pintar Samsung yang lain.

Galaxy A80 ini menawarkan fungsi Live Focus seperti pada telefon pintar siri flagship Samsung dan terdapat juga mod Live Focus Video dan mod malam khas.

Samsung Galaxy A80

Seperti pada telefon pintar dengan sensor kamera 48MP, Galaxy A80 menawarkan prestasi fotografi yang baik pada waktu siang dengan resolusi gambar adalah 12MP.

Mod gambar 48MP juga ditawarkan namun kami tidak melihat terlalu banyak perbezaan dengan gambar yang diambil dengan mod biasa.

Samsung Galaxy A80

Sensor lensa lebar yang disertakan pada Galaxy A80 mampu melaksanakan tugas fotografi lebar dengan baik namun resolusi 8MP memberikan hasil gambar yang kurang memuaskan apabila dibandingkan dengan sensor utama.

Mod malam yang disertakan pada Galaxy A80 adalah satu ciri tambahan yang berguna dan ianya boleh digunakan bersama-sama sensor utama mahupun sensor kanta lebar 8MP namun hasil pada sensor kanta lebar adalah sedikit mengecewakan.

Samsung Galaxy A80

Mod potrait yang ditawarkan pada Galaxy A80 lebih efektif dengan penawaran kamera 3D ToF. Kamera pada Samsung Galaxy A80 juga menyokong pengambilan gambar potrait objek dan tidak terhad kepada gambar orang sahaja.

Hasil ketika mengambil gambar selfie juga sama dan anda tahu kenapa.

Samsung Galaxy A80 Malaysia

Bateri

Samsung Galaxy A80 disertakan dengan bateri berkapasiti 3,700mAh yang mana ianya bukanlah sesuatu yang kecil namun kami merasakan ianya tidak memadai bagi telefon pintar gergasi ini.

Samsung Galaxy A80 hadir dengan sokongan pengecasan pantas 25W yang mana anda boleh mengecas penuh bateri ini didalam masa sekitar 1 jam 30 minit dengan pengecasan ke tahap 50% mengambil masa sekitar 30 minit.

Ketahanan bateri yang ditawarkan pada Galaxy A80 adalah sekitar 10-12 jam bagi pengunaan purata namun jangka hayat bateri adalah bergantung kepada cara pengunaan.

Samsung Galaxy A80 Malaysia

Penutup

Samsung Galaxy A80 adalah satu telefon pintar yang berjaya membuka mata dunia khususnya kerana inovasi kamera yang unik.

Walaubagaimanapun, harga penjualan sekitar RM 2,499 bagi telefon pintar kelas pertengahan Samsung dilihat sebagai salah satu kelemahan telefon pintar ini.

Jika anda ingin memiliki satu telefon pintar yang mampu menawarkan teknologi kamera hadapan dan belakang yang sama selain prestasi keseluruhan yang memuaskan, Galaxy A80 adalah telefon pintar yang patut anda lihat.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.