Xiaomi Mi A3 akan dilancarkan di Malaysia pada 31 Julai ini
Xiaomi Mi A3 akan dilancarkan di Malaysia pada 31 Julai ini
Xiaomi Mi A3 yang dilancarkan secara rasmi dua hari lalu kini telah disahkan akan memasuki pasaran Malaysia pada 31 Julai 2019.
Mi A3 merupakan telefon pintar generasi ketiga Android One daripada Xiaomi dan ianya adalah berasaskan model Mi CC9e yang dilancarkan di China sebelum ini.
Terus kepada spesifikasi, Mi A3 hadir dengan skrin paparan OLED berukuran 6.1-inci yang dilapisi Corning Gorilla Glass 5 namun ianya hanya menawarkan resolusi HD+ 720 x 1560 yang mana resolusi skrinya adalah lebih rendah berbanding Mi A2 dan Mi A2 Lite.
Walaubagaimanapun, Xiaomi telah mengikut trend semasa dengan menawarkan teknologi sensor capjari terbina didalam skrin.
Mi A3 hadir dengan pemproses Snapdragon 665, 4GB RAM dengan dua pilihan memori dalaman iaitu 64GB atau 128GB.
Bahagian kamera Mi A3 telah mendapat penambahbaikan yang besar dimana ianya memiliki satu sensor Sony 48MP f/1.7, sensor lensar lebar 118° 8MP dan sensor kedalaman 2MP manakala kamera selfie adalah 32MP.
Selain itu, Mi A3 juga hadir dengan kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 4,030mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W melalui slot USB-C namun hanya plak 10W disertakan bersama pembelian.
Mi A3 juga hadir dengan slot microSD, bicu audio 3.5mm dan sokongan dwi-SIM.
Harga penjualan Mi A3 di Malaysia masih belum diumumkan.