Samsung Galaxy A8s akan hadir dengan reka bentuk skrin Infinity-O
Pengeluar telefon pintar terkemuka dunia, Samsung dilaporkan akan menggunakan panel skrin Infinity-O pada Galaxy A8s yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Panel Infinity-O pada Samsung Galaxy A8s ini dikatakan akan dibekalkan oleh pengeluar panel skrin yang berpangkalan di China iaitu BOE yang juga merupakan pembekal skrin kepada Huawei Mate 20 Pro.
Selain itu, sebagai pengurangan kos, Samsung juga dijangka akan menggunakan panel LCD berbanding panel OLED yang lebih mahal.
Menghasilkan panel LCD dengan satu lubang untuk kamera adalah lebih sukar berbanding pada panel OLED dan disebabkan ini, potongan ini dijangka lebih besar iaitu sekitar 6.7mm berbanding Galaxy S10 yang akan mempunyai ukuran 2.3mm sahaja.
Bercakap mengenai Galaxy S10, ianya dikatakan akan hadir didalam versi 5G yang akan memiliki 12GB RAM dan 4 kamera dibelakang
Kembali semula kepada Galaxy A8s ini, ianya akan turut memiliki pemproses Snapdragon 710,6GB RAM dan bateri berkapasiti 3,000mAh.
Samsung Galaxy A8s dilaporkan akan dilancarkan pada bulan Januari 2019 namun terdapat juga kemungkinan ianya dilancarkan lebih awal iaitu pada bulan hadapan.