ULASAN : Neffos X9 – telefon pintar dwi-kamera dan skrin Fullview pertama Neffos
ULASAN : Neffos X9 – telefon pintar dwi-kamera dan skrin Fullview pertama Neffos
Pendahuluan
Neffos kembali lagi selepas pelancaran telefon pintar dwi-kamera pertama syarikat iaitu Neffos N1 beberapa bulan.
Kali ini, Neffos mengikut trend dipasaran dengan memperkenalkan telefon pintar pertama mereka dengan skrin paparan Fullview iaitu Neffos X9.
Selain itu, Neffos X9 juga memiliki teknologi dwi-kamera yang sama seperti N1.
Berikut adalah ulasan Neffos X9.
Reka bentuk
Seperti yang kami perkatakan, Neffos X9 merupakan telefon pintar pertama Neffos untuk hadir dengan skrin paparan Fullview namun syarikat ini juga harus dipuji kerana tidak terikut godaan syarikat-syarikat pengeluar telefon pintar Android yang lain dengan menyertakan takukan pada skrin.
Pada bahagian hadapan, keseluruhan permukaan hadapan Neffos X9 ini adalah skrin namun saiz bezel dibahagian atas dan bawah adalah sangat besar apabila dibandingkan dengan telefon pintar yang dilancarkan sepanjang tahun 2018.
Bahagian bawah panel hadapan juga menempatkan logo manakala sensor capjari telah diletakkan dibahagian belakang.
Pada bahagian belakang, Neffos X9 adalah berasaskan keluli dan terdapat jalur antena didalam warna krom yang kelihatan seperti jalur besi.
Pada bahagian belakang juga terdapat logo Neffos selain modul kamera yang diletakkan selari dengan sensor capjari tepat pada bahagian tengah panel belakang.
Skrin
Neffos X9 hadir dengan skrin paparan 18:9 Fullview berukuran 5.99-inci yang mempunyai nisbah skrin kepada badan 86.4% dan bezel yang nipis iaitu hanya 1.9mm.
Panel skrin ini adalah Full in-cell yang turut hadir dengan lapisan gelas 2.5D Corning Gorilla Glass.
Kami sedikit kecewa dengan resolusi skrin yang ditawarkan pada Neffos X9 ini kerana pada tahap harga yang sama, banyak syarikat yang mampu menawarkan teknologi skrin yang sama dengan resolusi FHD+.
Prestasi dalaman
Neffos X9 hadir dengan pemproses MediaTek MT6750 yang sudah hampir 24 bulan dipasaran.
Pemproses ini dilancarkan sebagai cipset kelas pertengahan yang kini boleh dianggap sebagai cipset kelas bawahan.
Apa pun prestasi yang ditawarkan pada Neffos X9 ini adalah ala kadar sahaja yang mana tidak terlalu meyakinkan kami.
Pretasi gaming pemproses ini juga sekadar memuaskan dan kami tidak mengesyorkan ianya digunakan untuk permainan video yang intensif grafik.
Bersama-sama pemproses ini turut disertakan GPU ARM Mali-T860 MP2, 3GB RAM dan 32GB memori simpanan dalaman.
Kamera
Neffox X9 adalah telefon pintar kedua Neffos untuk hadir dengan teknologi dwi-kamera selepas Neffos N1.
Ianya adalah kombinasi kamera 13MP f/2.0 dan 5MP yang mempunyai fungsi utama untuk mod bokeh.
Prestasi keseluruhan kamera Neffos X9 ini tidak begitu memberangsangkan namun anda ‘dapat apa yang anda bayar’.
Kamera selfie Neffos X9 adalah unit 8MP dengan aperture f/2.2 yang turut mempunyai mod beautify.
Penutup
Secara keseluruhan Neffos X9 adalah telefon pintar mampu milik yang mungkin menarik minat pengguna pertama khususnya golongan remaja yang memerlukan peranti yang mampu memenuhi keperluan asas harian.
Dengan harga penjualan dari RM 599, Neffos meletakkan X9 pada tahap harga yang kompetitif namun dengan spesifikasi yang jauh lebih rendah apabila dibandingkan dengan peranti dari Xiaomi atau Honor.
Beli Neffos X9 melalui stor online rasmi Neffos di Lazada.