Oppo F7 dengan kamera selfie AI 25MP akan dilancarkan secara rasmi pada 19 April
Selepas hangat diperkatakan sejak beberapa hari kebelakangan ini, Oppo telah mengesahkan bahawa Oppo F7 akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 19 April ini.
Oppo F7 akan hadir dengan reka bentuk skrin dengan takukan ‘notch’ yang merupakan antara ciri wajib pada model telefon pintar tahun ini.
Oppo F7 hadir dengan skrin paparan FHD+ berukuran 6.23-inci yang mana Oppo mengelarnya sebagai Full Screen 2.0 dengan nisbah 19:9 pada resolusi 1080 x 2280 piksel.
Beralih kepada spesifikasi dalaman, Oppo F7 akan memiliki pemproses 64-bit MediaTek Helio P60 yang dipadankan dengan 4GB/6GB RAM dengan kapasiti memori dalaman adalah 64GB/128GB.
Sebagai telefon pintar pro selfie, Oppo F7 hadir dengan kamera selfie 25MP dengan aperture f/2.0 yang merupakan sensor IMX576 yang dibekalkan oleh Sony.
Kamera selfie ini juga dipadankan dengan aplikasi AI Beauty 2.0 yang mengesan 296 titik pda wajah yang memberikan pengesanan wajah yang lebih tepat dan sempurna.
Dengan AI Beauty 2.0, Oppo F7 mampu mengesan umur, jantina, tona kulit dan jenis kulit sehingga empat subjek individu dengan lebih tepat.
Kamera hadapan Oppo F7 adalah unit 16MP dengan aperture f/1.8 yang turut mempunyai teknologi pengesanan wajah AI.
Oppo F7 juga hadir dengan sokongan dwi-SIM, 4G VoLTE, Wi-Fi, Bluetooth, USB OTG, sensor capjari pada panel belakang dan sokongan ‘Face Unlock’.
Selain itu, Oppo F7 juga hadir dengan bateri berkapasiti 3,400mAh, UI ColorOS 5.0 berasaskan Android 8.1 Oreo dan slot microSD.
Majlis pelancaran Oppo F7 ini juga akan menyaksikan kehadiran Hebe Tien sebagai duta Oppo F7 bersama-sama Neelofa.