Pengeluaran dan penjualan Samsung Galaxy Note 7 ditamatkan secara kekal
Pengeluaran dan penjualan Samsung Galaxy Note 7 ditamatkan secara kekal, pengguna di Malaysia boleh dapatkan tunai kembali atau tukar peranti lain
Samsung telah menamatkan pengeluaran dan penjualan Galaxy Note 7 secara kekal selepas masalah berkaitan dengan Galaxy Note 7 di seluruh dunia dilaporkan meletup dan terbakar.
Walaupun Samsung telah menarik kembali peranti berkenaan dan menggantikan ia dengan set baru, namun beberapa peranti baru dikatakan turut terbakar dan meletup secara tiba-tiba.
Oleh itu, Samsung mengeluarkan kenyataan pada 11 Oktober menyatakan bahawa mereka telah memutuskan untuk menghentikan penjualan Galaxy Note 7 secara kekal.
Hari ini, Samsung Malaysia telah mengeluarkan kenyataan dengan menawarkan dua usaha untuk menyelesaikan masalah Galaxy Note 7 untuk pasaran tempatan iaitu tukar ke peranti lain atau dapatkan semula wang tunai.
Bagi mereka yang telah memiliki Galaxy Note 7 sekarang, mereka boleh mendapatkan kembali wang tunai penuh, ataupun ditukarkan kepada telefon pintar Samsung Galaxy S7 edge.
Pemilik Galaxy Note 7 akan dihubungi oleh Pusat Khidmat Pelanggan Samsung untuk maklumat lanjut. Anda boleh hubungi Samsung Malaysia Careline di talian 1-800-88-7799 jika terdapat persoalan atau lain-lain pertanyaan.