Gambar lakaran rasmi OnePlus 3 didedahkan oleh @evleaks
Beberapa hari lalu kami telah melaporkan bahawa terdapat gambar-gambar satu telefon pintar yang didakwa OnePlus 3 telah mula tersebar dan kini Evan Blass dari @evleaks telah memberikan kita lakaran rasmi telefon pintar OnePlus ini.
Berdasarkan gambar resolusi tinggi ini, OnePlus 3 dilihat hadir dengan reka bentuk berasaskan keluli yang dilihat hampir sama seperti model telefon pintar yang dikeluarkan oleh HTC dan Huawei.
Selain itu, lakaran ini juga menunjukkan posisi butang suara dan butang notifikasi pada sisi kiri telefon manakala pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan slot SIM dan slot microSD.
Pada bahagian belakang, kita boleh melihat OnePlus 3 ini hadir dengan kamera dan flash LED ( dwi-tona) selain jalur antenna pada bahagian atas dan bawah.
Bercakap mengenai spesifikasi, OnePlus 3 dijangka akan hadir dengan skrin paparan AMOLED ( kesemua telefon pintar OnePlus yang dilancarkan sebelum ini hadir dengan skrin paparan IPS LCD) , pemproses Qualcomm Snapdragon 820, dua kapasiti RAM dan ROM iaitu 4GB RAM/32GB ROM dan 6GB RAM dan 64GB ROM.
Selain itu, OnePlus 3 juga dijangka akan memiliki kamera utama 16MP, kamera selfie 8MP, bateri berkapasiti 3000mAh, sistem operasi Oxygen OS yang berasaskan Android 6.0 Marshmallow.
OnePlus 3 dijangka akan mula memasuki pasaran tidak lama lagi dan masih belum dapat kami pastikan samada telefon pintar ini akan turut ditawarkan melalui sistem pembelian secara jemputan.