CES 2016 : Qualcomm mengumumkan LeTV Max Pro – peranti pertama SD820
Qualcomm secara rasminya telah mengumumkan bahawa LeTV Le Max Pro adalah telefon pintar pertama untuk hadir dengan pemproses generasi terbaru Qualcomm Snapdragon 820.
Pengumuman ini telah dibuat disidang media Qualcomm di CES 2016 awal pagi tadi dan ianya juga akan hadir dengan teknologi sensor capjari Qualcomm Snapdragon Sense ID yang disertakan khas dengan pemproses ini.
Memilih LeTV sebagai syarikat pertama untuk mendapat akses kepada teknologi Qualcomm Snapdragon Sense dan pemproses Snapdragon 820 ini membuktikan bahawa Qualcomm yakin dengan kebolehan syarikat pengeluar China ini.
Pemproses Snapdragon 820 ini hadir dengan pemproses 64-bit teras Kryo yang mempunyai kelajuan sehingga 2.2GHz, CPU ini dikatakan mempunyai prestasi hampir dua kali ganda lebih baik berbanding Snapdragon 810. Selain itu, Snapdragon 820 juga dikatakan akan menawarkan jangka hayat bateri yang lebih baik berbanding dengan pemproses Snapdragon 810.
Dari segi pemprosesan grafik pula, pengunaan GPU Adreno 530 dijangka akan menawarkan prestasi grafik dan tugas 40% lebih baik berbanding GPU Adreno 430 yang digunakan pada SD810.
Pemproses Snapdragon 820 ini juga hadir dengan modem LTE X12 yang menyokong Cat.12 bagi muat turun manakala LTE Cat.13 bagi muat naik. Dengan SD820 ini, kelajuan muat turun boleh mencapai sehingga 600Mbps manakala kelajuan muat naik boleh mencapai sehingga 150Mbps.
Cip bagi Wi-Fi pada SD820 juga adalah antara yang terpantas di pasaran iaitu 2×2 MU-MIMO 802.11ac namun buat masa ini tidak banyak router yang menyokong Wi-Fi ini.
Bercakap mengenai LeTV Le Max Pro, walaupun spesifikasi model ini tidak diumumkan secara menyeluruh ianya dijangka akan hadir dengan krin paparan QHD 5.5-inci, 4GB RAM, 64GB memori simpanan dalaman, kamera utama 21MP, kamera selfie 4MP dan tidak lupa sistem operasi Android 6.0 Marshmallow.
Qualcomm juga telah mengesahkan bahawa telefon pintar LeTV Le Max Pro ini akan mula dijual sebelum pertengahan tahun ini.