Samsung akan mengeluarkan pemproses Exynos 8870
Samsung dikatakan sedang membangunkan pemproses Exynos 8870 yang lebih rendah kuasa dan akan diposisikan dibawah pemproses Exynos 8890. Tujuan Samsung membangun Exynos 8870 ini adalah untuk dibekalkan kepada pengeluar lain seperti Meizu.
Pemproses Exynos 8870 yang baru ini dijangka akan digunakan pada telefon pintar Meizu Pro 6 tahun hadapan dan prestasi pemproses Exynos 8870 ini dikatakan mampu menyamai prestasi yang ditawarkan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 820.
Buat masa ini tidak banyak maklumat cipset pemproses terbaru ini diketahui namun lebih banyak pengetahuan mengenainya akan mula dikeluarkan apabila Samsung telah memulakan proses ujian.
Selain itu, MyDrivers.com juga telah bertindak mengeluarkan satu carta khas yang membandingkan semua pemproses utama di pasaran.
Graf ini memperlihatkan prestasi pemproses utama seperti Samsung Exynos 8890, Qualcomm Snapdragon 820, Kirin 950, Helio X20 dan Apple A9 yang telah melalui ujian GFXBench untuk menilai prestasi GPU dan ujian Geekbench 3 untuk ujian ketahanan CPU.
Dari segi prestasi CPU, pemproses Apple A9 yang digunakan pada iPhone 6s dan iPhone 6s Plus mendahului dengan 2546 mata diikuti oleh Snapdragon 820, Exynos 8890 dan Helio X20 pada ujian satu teras namun pada ujian dua teras, Exynos 8890 mendahului pencabar lain diikuti oleh Helio X20 dan Kirin 950.
Bercakap mengenai prestasi GPU pula, GPU Adreno 530 yang dimiliki oleh pemproses Snapdragon 820 mendahului diikuti oleh GPU Mali-T880 yang dimiliki oleh Samsung Exynos 8890. GPU yang dimiliki oleh Apple A9 berada di tempat ketiga.
Tahun 2016 yang bakal tiba pasti akan menyaksikan lebih banyak pengeluar cipset bertarung dengan hebat untuk mendominasi pasaran pemproses ini.