Xiaomi Mi 5 akan dilancarkan dengan teknologi capjari 3D Sense ID
Walaupun baru sahaja melancarkan Xiaomi Mi 4c ke pasaran China, peminat Xiaomi yang dikenali sebagai ‘Mi fans’ telah mula menumpukan perhatian kepada Xiaomi Mi 5 yang akan menjadi telefon pintar utama generasi terbaru daripada Xiaomi.
Satu laporan dari China mendedahkan bahawa Xiaomi Mi 5 akan menjadi telefon pintar pertama yang akan menggunakan teknologi pengesan capjari ultrasonic dari Qualcomm yang diperkenalkan pada bulan Mac yang lalu. Teknologi ini akan disertakan dengan pemproses Snapdragon 820 dan Qualcomm mendakwa teknologi pengesan cap jari ini lebih baik berbanding sensor pengesan cap jari lain yang kini berada di pasaran.
Teknologi ini yang dikenali sebagai Snapdragon Sense ID 3D juga mampu mengambil imbasan jari anda walaupun pada jari yang basah atau pun kotor.
Selain itu, sensor ultrasound yang digunakan pada Snapdragon Sense ID 3D ini juga telah disahkan mampu digunakan pada semua jenis telefon pintar yang mempunyai reka bentuk berasakan plastik, gelas mahupun besi.
Selain itu, sensori ini juga tidak memerlukan sebarang butang fizikal pada telefon pintar sebaliknya sensor ini boleh diletakkan dibahagian bawah skrin.
Xiaomi Mi 5 dijangka akan menjadi telefon pintar pertama di pasaran yang akan menggunakan teknologi ini dan kami pasti syarikat China ini pasti akan hadir dengan harga penjualan yang berpatutan bagi generasi terbaru ini.
sumber : PhoneArena