Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Samsung Perkenal Cermin Mata Pintar Dengan Gemini, Tampil Dalam 30 Reka Bentuk Gentle Monster dan Warby Parker

Samsung Perkenal Cermin Mata Pintar Dengan Gemini, Tampil Dalam 30 Reka Bentuk Gentle Monster dan Warby Parker 1

Samsung Perkenal Cermin Mata Pintar Dengan Gemini, Tampil Dalam 30 Reka Bentuk Gentle Monster dan Warby Parker 2

Samsung Electronics mengumumkan pelancaran rangkaian cermin mata pintar terbaharunya yang dibangunkan dengan kerjasama Google dan dilengkapi Gemini. Produk ini direka untuk menawarkan pengalaman AI secara hands-free, membolehkan pengguna mendapatkan maklumat, berkomunikasi dan kekal berhubung tanpa perlu sentiasa melihat telefon pintar.

Dijadualkan mula dijual pada 10 Disember 2026 di Amerika Syarikat dan Korea Selatan, rangkaian ini hadir menerusi dua kolaborasi fesyen bersama Gentle Monster dan Warby Parker, dengan keseluruhan 30 reka bentuk berbeza.

Samsung Perkenal Cermin Mata Pintar Dengan Gemini, Tampil Dalam 30 Reka Bentuk Gentle Monster dan Warby Parker 3

Kolaborasi bersama Gentle Monster menawarkan gaya yang lebih berani dan moden, manakala Warby Parker mengetengahkan rekaan klasik yang lebih minimalis. Pengguna boleh memilih daripada pelbagai bentuk bingkai, warna serta pilihan kanta optik dan sunglasses.

Dari segi binaan, Samsung menggabungkan kepakaran kejuruteraan mereka untuk menghasilkan bingkai yang ringan, kukuh dan selesa dipakai sepanjang hari. Cermin mata pintar ini mempunyai berat sekitar 41 gram.

Gemini memudahkan urusan harian

Dengan Gemini terbina dalam, pengguna boleh berinteraksi dengan AI melalui arahan suara tanpa perlu menggunakan tangan. Antaranya termasuk mendapatkan maklumat mengenai objek atau lokasi yang dilihat, serta mengemukakan soalan susulan secara semula jadi.

Ia turut boleh membantu tugasan harian seperti mengambil gambar papan putih ketika mesyuarat, meminta Gemini merumuskan isi penting dan menyimpannya terus ke Samsung Notes.

Selain itu, pengguna boleh menterjemah menu restoran, mendapatkan panduan navigasi melalui Google Maps serta mengurus notifikasi, panggilan dan mesej menggunakan arahan suara.

Samsung Perkenal Cermin Mata Pintar Dengan Gemini, Tampil Dalam 30 Reka Bentuk Gentle Monster dan Warby Parker 4

Kamera 12MP HDR dan bateri sehingga 9 jam

Dari aspek perkakasan, cermin mata pintar ini dilengkapi kamera 12MP HDR untuk mengambil gambar dan merakam video, selain membekalkan maklumat visual kepada Gemini.

Ia turut mempunyai pembesar suara jenis open-ear dan empat mikrofon bagi memastikan interaksi suara serta panggilan lebih jelas tanpa menghalang pengguna daripada mendengar bunyi persekitaran.

Dikuasakan platform Snapdragon AR1 Gen 1, peranti ini menawarkan hayat bateri sehingga sembilan jam dengan sekali pengecasan, manakala bekas pengecas menyediakan tambahan penggunaan sehingga 72 jam.

Samsung turut menggunakan sistem pemprosesan split-computing yang membahagikan sebahagian beban pemprosesan kepada telefon Galaxy yang disambungkan. Pendekatan ini membantu mengimbangi prestasi, penggunaan bateri dan pengurusan haba dalam reka bentuk yang ringan.

Utamakan privasi dan keselamatan pengguna

Samsung turut memberi perhatian kepada aspek privasi, khususnya bagi memastikan penggunaan kamera dan audio tidak mengganggu orang di sekeliling.

Antara ciri yang disediakan ialah lampu LED luaran sebagai petunjuk ketika kamera sedang digunakan. Pengguna juga akan menerima pemberitahuan melalui lampu dalaman dan bunyi. Sistem keselamatan terbina dalam turut direka untuk menyahaktifkan rakaman sekiranya LED luaran ditutup atau tidak berfungsi.

Bagi penggunaan Gemini, sistem turut direka untuk menapis suara persekitaran ketika perbualan Gemini Live dan mengaburkan wajah individu lain sebelum memberikan respons berdasarkan imej yang dirakam.

Pengguna juga mempunyai kawalan terhadap kebenaran aplikasi serta aktiviti Gemini. Samsung menyatakan imej yang dikumpulkan oleh Gemini tidak digunakan untuk melatih model AI atau tujuan penyasaran iklan.

Cermin mata pintar ini hanya ditawarkan kepada pengguna berusia 18 tahun ke atas, dengan pengesahan umur diperlukan sebelum pengaktifan peranti dan muat turun aplikasi.

Samsung Perkenal Cermin Mata Pintar Dengan Gemini, Tampil Dalam 30 Reka Bentuk Gentle Monster dan Warby Parker 5

Kedua-dua koleksi Gentle Monster Intelligent Eyewear dan Warby Parker Intelligent Eyewear akan mula ditawarkan di Amerika Syarikat pada 10 Disember 2026. Koleksi Gentle Monster turut dilancarkan di Korea Selatan.

Pra-tempahan telah dibuka, manakala jualan Warby Parker akan dibuat menerusi saluran fizikal dan dalam talian jenama tersebut. Gentle Monster pula akan menjual koleksinya melalui laman rasmi mereka.

Di Amerika Syarikat, harga Warby Parker Intelligent Eyewear bermula AS$395 (sekitar RM…), manakala koleksi Gentle Monster ditawarkan pada harga antara AS$449 hingga AS$489 mengikut model.

Demonstrasi produk juga akan disediakan di beberapa cawangan Samsung terpilih bermula 10 Disember 2026.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.