Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Persaingan Memperkukuh Masa Depan Telefon Pintar Foldable

Persaingan Memperkukuh Masa Depan Telefon Pintar Foldable 1

Persaingan Memperkukuh Masa Depan Telefon Pintar Foldable 2

Telefon pintar boleh lipat atau foldable pernah dianggap sebagai produk niche yang hanya menarik perhatian segelintir pengguna. Namun, persepsi itu kini semakin berubah apabila lebih banyak jenama teknologi utama mula memasuki pasaran ini.

Bagi Samsung, yang memperkenalkan Galaxy Fold pertama pada 2019, perkembangan tersebut merupakan petanda bahawa idea telefon pintar boleh lipat yang diperjuangkan sejak awal semakin mendapat tempat dalam industri mudah alih.

Kemasukan lebih banyak jenama ke dalam kategori ini turut membawa perkembangan positif kepada industri. Persaingan yang semakin rancak membantu meningkatkan kesedaran pengguna terhadap teknologi foldable, termasuk memahami keupayaannya serta bagaimana ia boleh memberikan nilai tambah dalam kehidupan seharian.

Persaingan Memperkukuh Masa Depan Telefon Pintar Foldable 3

Daripada persoalan “Bolehkah telefon dilipat?” kepada “Mengapa saya memerlukannya?”

Masa depan telefon pintar foldable seharusnya memberikan kebebasan kepada pengguna untuk menentukan sendiri bagaimana peranti ini dapat memenuhi keperluan dan gaya hidup masing-masing.

Bagi sesetengah pengguna, skrin nisbah 4:3 pada Galaxy Z Fold8 menawarkan ruang paparan lebih luas untuk menonton video, membaca atau bermain permainan, sebelum dilipat menjadi peranti yang mudah dibawa ke mana-mana.

Bagi pengguna yang mengutamakan produktiviti dan multitasking pula, peranti seperti Galaxy Z Fold8 Ultra menawarkan pengalaman penggunaan serba lengkap dalam satu peranti. Sementara itu, Galaxy Z Flip8 memberikan pilihan lebih kompak, selain membuka peluang kepada pengguna untuk meneroka cara baharu menghasilkan kandungan.

Perubahan ini menunjukkan bahawa telefon pintar foldable kini beralih daripada sekadar teknologi yang mencetuskan rasa ingin tahu kepada produk yang benar-benar dipertimbangkan oleh pengguna.

Malaysia menyaksikan perubahan daripada rasa ingin tahu kepada minat membeli

Malaysia merupakan antara pasaran yang menarik untuk melihat perkembangan ini.

Data nasional terkini mengenai teknologi maklumat dan komunikasi menunjukkan bahawa penggunaan telefon mudah alih dalam kalangan individu di Malaysia mencapai 99.6% pada 2025, manakala penggunaan internet mencecah 98.3%.

Angka ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sudah terbiasa menggunakan teknologi mudah alih dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk pekerjaan, hiburan, komunikasi dan aktiviti harian.

Apabila hampir semua orang sudah memiliki telefon pintar, keadaan ini membuka peluang kepada pengenalan reka bentuk peranti yang berbeza. Persoalannya kini ialah sama ada reka bentuk baharu itu mampu memberikan pengalaman yang lebih baik berbanding telefon pintar konvensional.

Perkara ini turut dapat dilihat menerusi kajian pasaran pengguna Samsung pada 2024 selepas pelancaran produknya di Asia Tenggara dan Oceania, yang melibatkan 300 responden dari Malaysia.

Kajian tersebut mendapati minat untuk membeli siri Galaxy Z adalah tinggi dalam kalangan pengguna muda, khususnya generasi Milenial dan Gen Z. Telefon pintar foldable turut dikaitkan dengan produktiviti, kreativiti dan fotografi.

Dapatan ini menunjukkan bahawa pengguna bukan lagi melihat telefon pintar foldable sebagai teknologi yang sekadar menarik dari sudut inovasi. Sebaliknya, mereka mula mempertimbangkan bagaimana teknologi tersebut boleh memberikan manfaat dalam kehidupan seharian.

Kehadiran lebih banyak jenama dalam kategori ini dijangka menjadikan pertimbangan sedemikian semakin meluas.

Persaingan mendorong peningkatan teknologi foldable

Pembangunan telefon pintar foldable merupakan cabaran kejuruteraan yang kompleks. Menghasilkan skrin yang boleh dilipat hanyalah langkah pertama, manakala aspek ketahanan, berat, engsel, perisian, paparan dan pengalaman penggunaan perlu terus dipertingkatkan.

Pada masa sama, pengeluar juga perlu memastikan ciri utama yang menjadi keutamaan pengguna telefon pintar, seperti kapasiti bateri dan keupayaan kamera, terus berkembang tanpa mengira reka bentuk peranti.

Walaupun Samsung sudah menerajui pembangunan teknologi foldable selama beberapa tahun, persaingan dilihat sebagai faktor penting yang mendorong syarikat itu untuk terus belajar dan melakukan penambahbaikan pada setiap generasi Galaxy Z.

Sebagai perbandingan, Galaxy Fold generasi pertama mempunyai berat 276 gram, manakala Galaxy Z Fold8 kini hadir dengan berat 201 gram, sekali gus menjadikannya model Fold paling ringan daripada Samsung setakat ini.

Galaxy Z Fold8 juga memperkenalkan reka bentuk baharu sambil membawa penambahbaikan pada paparan, engsel dan seni bina dalaman peranti.

Menerusi Galaxy Z Fold8, Fold8 Ultra dan Flip8, Samsung turut memperluas pilihan telefon pintar foldable berdasarkan keperluan pengguna yang berbeza. Setiap model menawarkan pendekatan tersendiri, sama ada untuk pengalaman penggunaan yang lebih imersif, produktiviti dan penciptaan kandungan, mahupun reka bentuk kompak yang menonjolkan ekspresi diri.

Perkembangan siri Galaxy Z ini turut dipengaruhi maklum balas pengguna, sama ada secara langsung atau tidak langsung, mengenai ciri yang boleh menjadikan telefon pintar foldable lebih praktikal dalam kehidupan seharian.

Pengguna bakal menentukan hala tuju telefon pintar foldable

Persaingan yang semakin sengit dijangka meningkatkan pengetahuan pengguna tentang pelbagai pendekatan reka bentuk foldable dan kesesuaiannya dengan keperluan masing-masing.

Pengguna kini mempunyai lebih banyak perkara untuk dipertimbangkan. Adakah telefon pintar foldable benar-benar berguna? Bolehkah ia membantu meningkatkan produktiviti? Adakah reka bentuknya sesuai dengan rutin harian? Sejauh manakah ketahanannya? Dan adakah saiz serta bentuknya memberikan perbezaan yang ketara?

Persoalan inilah yang bakal menentukan hala tuju kategori telefon pintar foldable pada masa hadapan.

Di Malaysia dan rantau Asia Tenggara serta Oceania, Samsung turut melihat petanda perubahan tersebut menerusi sambutan terhadap siri Galaxy Z8 terbaharu.

Dalam tempoh kurang sebulan selepas siri berkenaan diperkenalkan di acara Galaxy Unpacked, siri Galaxy Z8 merekodkan permintaan yang kukuh di rantau ini. Tempahan awal Galaxy Z Fold8 dan Fold8 Ultra meningkat kira-kira 60% berbanding generasi sebelumnya.

Samsung turut mencatatkan peningkatan lebih 60% dalam kalangan pengguna yang beralih daripada jenama lain kepada generasi Fold terbaharu.

Angka tersebut memberikan petunjuk bahawa tingkah laku pengguna semakin berubah. Jika suatu ketika dahulu telefon pintar skrin sentuh yang nipis menjadi sesuatu yang baharu selepas era telefon dengan papan kekunci angka fizikal, pengguna akhirnya menerima reka bentuk itu sebagai kebiasaan.

Kini, situasi yang hampir sama sedang berlaku apabila pengguna semakin terbuka kepada idea bahawa telefon pintar tidak semestinya perlu mengekalkan reka bentuk yang sama seperti sedekad lalu.

Kategori yang semakin berkembang membawa tanggungjawab lebih besar

Bagi Samsung, menjadi perintis dalam teknologi foldable tidak bermakna syarikat itu menjangkakan dirinya sebagai satu-satunya pemain dalam kategori berkenaan.

Sebaliknya, kategori produk yang berkembang pesat memerlukan pelbagai idea, pendekatan dan perspektif. Apabila lebih banyak syarikat mencabar pendekatan sedia ada, jurutera mempunyai lebih banyak masalah untuk diselesaikan, pereka memperoleh ruang untuk meneroka kemungkinan baharu, manakala pembangun perisian terdorong untuk memikirkan semula cara perisian berinteraksi dengan perkakasan.

Akhirnya, pengguna menjadi pihak yang paling mendapat manfaat daripada perkembangan ini.

Selepas tujuh generasi inovasi Galaxy Z dan kini memasuki generasi kelapan, Samsung menyatakan bahawa syarikat itu telah mengumpulkan pengalaman selama bertahun-tahun untuk memahami perkara yang dihargai pengguna serta aspek yang masih perlu diperbaiki.

Samsung juga menegaskan komitmennya untuk terus melabur, mendengar maklum balas, belajar dan berinovasi. Usaha tersebut bukan semata-mata kerana persaingan semakin meningkat, tetapi juga kerana persaingan memberikan alasan kepada seluruh industri untuk terus melangkah lebih jauh.

Perkembangan ini turut membawa tanggungjawab yang lebih besar kepada pengeluar untuk memastikan teknologi foldable terus memberikan nilai sebenar kepada pengguna.

Masa depan foldable bukan lagi sekadar tentang telefon yang boleh dilipat

Melihat kepada perkembangan semasa, masa depan telefon pintar foldable dijangka menjadi semakin menarik apabila lebih banyak jenama memperkenalkan pendekatan dan inovasi masing-masing.

Bagi Samsung, fasa seterusnya bukan lagi tentang membuktikan bahawa telefon pintar boleh dilipat, tetapi meneroka pelbagai kemungkinan baharu yang boleh ditawarkan melalui reka bentuk tersebut.

Persaingan yang semakin berkembang, kesedaran pengguna yang meningkat dan penambahbaikan teknologi secara berterusan dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan telefon pintar foldable pada masa hadapan.

Persoalannya kini bukan lagi sama ada telefon pintar boleh dilipat, tetapi sejauh mana reka bentuk tersebut mampu mengubah cara pengguna bekerja, berhibur dan menjalani kehidupan seharian.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.