TechLife kini rasmi di Malaysia – lancar tablet Pad Neo dan Smart Watch P1
Anak syarikat realme iaitu TechLife kini secara rasminya telah memasuki pasaran Malaysia dengan beberapa produk iaitu TechLife Pad Neo dan Smart Watch P1.
TechLife Pad Neo
TechLife Pad Neo hadir dengan skrin paparan LCD berukuran 10.1-inci dengan resolusi 1290×800 dan kecerahan maksima sehingga 350 nits. Ianya dikuasakan cip MediaTek Helio G80, 8GB RAM dan storan dalaman 256GB selain sokongan LTE dan Wi-Fi.
Dari segi kamera, TechLife Pad Neo akan hadir dengan sensor 13MP pada bahagian belakang dan sensor 5MP pada bahagian hadapan. Ianya juga disertakan dengan bateri 6,000mAh, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara stereo.
TechLife Pad Neo akan ditawarkan di Malaysia didalam dua warna iaitu Sleek Grey dan Vibrant Blue pada harga RM 599 dimana setiap pembelian akan turut menerima TechLife Bluetooth Keyboard 2 bernilai RM 99 dan TechLife Pad Casing bernilai RM 79.
TechLife Smart Watch P1
TechLife Smart Watch P1 memiliki skrin paparan AMOLED berukuran 1.43-inci yang turut menyokong Always On Display dengan lebih dari 100 jenis watch faces yang boleh dipilih melalui aplikasi OnWear Pro.
Selain itu, jam tangan pintar ini juga memiliki ciri penjejakan kesihatan dan kecergasan yang menyeluruh, penarafan kalis air 5ATM, GPS terbina, mikrofon dan speaker terbina serta sokongan ChatGPT. Ianya juga menawarkan sehingga 5 hari jangka hayat bateri.
TechLife Smart Watch P1 akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM 299 sahaja.



