Cip MediaTek Helio G100 kini rasmi – membawakan sokongan sensor 200MP untuk peranti lebih murah
MediaTek secara rasminya telah mengumumkan cipset Helio G100 selang 8 hari selepas telefon pintar dengan cipset ini dilancarkan iaitu Tecno Camon 30S Pro.
Walaubagaimanapun, spesifikasi cipset yang dikongsi oleh MediaTek mendedahkan bahawa ianya mempunyai persamaan dengan Helio G99 dari segi CPU dan GPU dengan perbezaan yang paling ketara adalah sokongan sensor 200MP.
Selain itu, MediaTek G100 mempunyai CPU 8 teras dengan dua teras Cortex-A76 (2.2GHz) dan 6 teras Cortex-A55 (2.0GHz). Ianya memiliki RAM jenis LPDDR4X, storan UFS 2.2 dan sokongan resolusi maksima sehingga 2,520 x 1,080 piksel.
Seterusnya, Helio G99 amat popular pada pasaran telefon pintar midrange LTE dengan harga yang berpatutan dan pelancaran Helio G100 ini adalah untuk meneruskan permintaan cipset ini namun dengan sokongan sensor kamera yang lebih baik iaitu sehingga 200MP.
Cip baharu itu turut membawakan apa yang dipanggil “Mod Elevator,” yang menjanjikan untuk memulihkan sambungan selular dengan pantas apabila keluar dari kawasan tanpa liputan, seperti terowong atau lif. Ia menyokong dwi SIM 4G dengan VoLTE dan ViLTE.
Mediatek sudah mula membekalkan Helio G100 kepada syarikat pengeluar yang bermaksud lebih banyak telefon pintar dengan cipset ini akan dilancarkan tidak lama lagi.