Samsung Galaxy Buds3 Pro dan Buds3 dilancarkan dengan rekaan baharu lebih premium
Pelancaran Samsung Unpacked juga telah menyaksikan Samsung memperkenalkan generasi baharu fon telinga syarikat ini iaitu Samsung Galaxy Buds3 dan Samsung Galaxy Buds3 Pro.
Samsung Galaxy Buds3 Pro dan Galaxy Buds3 berkongsi rekaan yang hampir sama pada bekas pengecasan namun menggunakan rekaan fon telinga yang berbeza.
Galaxy Buds3 menampilkan rekaan fon telinga Open Type manakala Galaxy Buds3 Pro tampil dengan rekaan Canal Type yang mempunyai Blade Lights. Kedua Buds3 Series ini juga memiliki penarafan IP57 bagi fon telinga sahaja.
Untuk memberikan pengalaman audio premium, Galaxy Buds3 Pro dilengkapi pembesar suara 2 hala yang dipertingkatkan dengan tweeter satah untuk pengeluaran bunyi yang canggih dan tepat serta Dual Amplifier untuk pengalaman bunyi sejelas kristal semasa dalam perjalanan. Ultra High Quality Audio yang menyokong kadar pensampelan dua kali ganda dengan codec SSC juga disertakan.
Selain itu, Galaxy Buds3 Pro dan Galaxy Buds3 memiliki bateri 515mAh pada bekas pengecasan namun bateri pada fon telinga adalah berbeza iaitu 53mAh pada Buds3 Pro dan 48mAh pada Buds3. Ini membolehkan anda menikmati sehingga 30 jam waktu pendengaran muzik.
Seterusnya, Galaxy Buds3 Series ini juga membawakan ciri Adaptive EQ, Adaptive ANC dan ciri Interpreter didalam mod Listening pada Galaxy Z Fold6 atau Flip6. ini membolehkan anda mendengar translasi terus pada fon telinga terbaru Samsung.
Samsung Galaxy Buds3 Series akan ditawarkan didalam dua warna iaitu Silver dan White pada harga RM 599 bagi Galaxy Buds 3 dan RM 999 bagi Galaxy Buds3 Pro.
Pra-tempah sekarang dan dapatkan Buds Case bernilai RM 169 secara percuma.